SIAPA yang tidak kenal dengan pempengaruh yang juga usahawan terkenal bernama Hafiz Mahamad ini.

Setiap kali memuat naik perkongsian menerusi laman Instagramnya, pasti meraih perhatian ramai.

Terbaharu, suami kesayangan Aina Syafiqah ini memuat naik sepotong video yang memaparkan kejutan istimewa buat ibu bapanya.

Menerusi video tersebut, Hafiz menghadiahkan sebuah kereta Vellfire yang diletakkan di dalam sebuah lori yang terhias cantik di dalamnya.

Lalu, kereta tersebut dibawa ke tempat kerja ibunya yang bekerja sebagai jururawat.

Menurut Hafiz, hadiah tersebut adalah bersempena persaraan ibu bapanya.

Menerusi kapsyen yang dimuat naik, usahawan berkenaan menitipkan kata-kata yang cukup meruntun hati tatkala mengimbas kembali zaman kecilnya yang terpaksa berjauhan dengan mak ayah dek kerana tuntutan kerja.

“Hari ini hari terakhir mama bekerja, dalam lori ni, ada hadiah bersara untuk mama dan abah. Tiga bulan saya persiapkan untuk ‘hari bahagia’ ini.

“Semalam saya datang buat kejutan di tempat kerja mama. Sebak sangat rasa dan kejutan paling bermakna. Mama besarkan saya dan adik dengan bekerja sebagai jururawat. Bila dah besar ni, saya mula sedar. Bukan mudah untuk besarkan kami.

Baca ni Makan nasi cuma 2 sudu, petua Azah Aziz kekal awet muda pada usia 50 tahun

“Ingat lagi waktu kecil dahulu, kami minta apa pun, mama dan abah cuba sediakan tanpa ada air muka yang menunjukkan dia tak mampu. Walhal saya tahu, mama perlu berkira-kira. Itu yang saya mula sedar sekarang,” kongsi Hafiz sambil memberitahu, beliau membesar di kuarters kerajaan dan sampai masa akan berpindah ke tempat lain.

MENDAPAT SEMULA’ MAMA DAN ABAH

Tambah bapa kepada dua cahaya mata itu lagi, hari tersebut juga cukup bermakna kerana beliau seolah-olah seperti ‘mendapat semula’ ibu bapanya.

Sewaktu umur 13 tahun sehinggalah besar, Hafiz dan adiknya terpaksa hidup berjauhan dengan mereka lantaran bertugas di negeri yang berbeza.

“Jika orang lain boleh rasa masakan ibu setiap hari, tapi saya menjemput mama setiap kali beliau datang di stesen kereta api. Daripada kecil sampailah besar. Itu saat saya paling bahagia

“Apa yang saya boleh banggakan mama? Tak terbalas semuanya. Mama dan abah selalu doakan perniagaan AINAA Beauty maju. Saya bangga dibesarkan dengan didikan abah dan mama. Saya bangga dengan usaha abah dan mama besarkan saya,” ungkapnya lagi.

Iklan

TIDAK MEMBAZIR DAN BERMEWAH

Beliau pada masa sama turut menitipkan ucapan terima kasih buat isteri kesayangannya serta tim yang banyak membantu.

“Terima kasih untuk isteriku, sayang tanpa awak abang bukan siapa-siapa dan abang hanya menumpang rezeki awak. Terima kasih juga buat tim yang sampai pukul empat pagi bantu saya siapkan kejutan ni.

“Terima kasih rakan sekerja mama yang mencipta kenangan ini serta terima kasih Hafis Naserr permudahkan saya untuk hadiahkan kereta ini,” tulisnya lagi.

Di samping itu juga, influencer terkenal itu turut berkongsi kata-kata yang sungguh menyentuh perasaan yang berbunyi:

“Selepas abah mama bersara, kami hanya ada 10 tahun sahaja lagi, pada saat kami berusia 70 tahun nanti. Selepas pada umur tu, semua hanyalah bonus.

Iklan

Baca lagi Penampilan sulung karya anak dalam koleksi fesyen terbaru, Melinda Looi luah rasa bangga dan terharu

“Abah dan mama, saya tak membazir dan bermewah selama ni. Semuanya untuk abah dan mama. Saya dan adik akan usaha untuk bahagiakan Mama Abah,” titip Hafiz sambil berjanji akan menjadi anak yang sentiasa sebarkan kejayaan demi kebahagiaan.

Bahagia bila SinarPlus lihat cara Hafiz membalas jasa ibu dan bapanya. Kalaulah semua anak begini, dunia ini aman, bukan?

Sumber: Instagram Hafizmahamad

Layari portal SinarPlus, sinarplus.sinarharian.com.my untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami untuk info dan kisah penuh inspirasi