PELAKON dan pengacara Mira Filzah akhirnya mendedahkan status dirinya yang kini sudah pun berpunya dan mengakui hubungan tersebut turut diketahui keluarga kedua belah pihak.

Pendedahan tersebut dibuat oleh Mira atau nama lengkapnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 27, menerusi sebuah program live Bual Bicara Santai Bersama Ustazah Asma’ Harun di laman Facebook pada Ahad.

Persoalan berkenaan status dirinya yang ditanya secara spontan oleh Ustazah Asma’ dijawab oleh Mira sambil tersenyum malu.

“Iya dah berpunya. Bertunang? Kiranya kami sudah berjumpa dan berbincang sesama keluarga,” ujar Mira.

Mendengarkan jawapan tersebut, Ustazah Asma’ menyatakan sekiranya sudah berlaku perjanjian dan persetuajuan daripada keluarga kedua belah belah, ia sudah dikira sebagai tanda ikatan pertunangan dari sudut Islam.

"Kalau dalam Islam, bila ada persetujuan itu dikira sudah bertunang. Sudah ada ikatan perjanjian persetujuan keluarga, maksudnya Mira sudah bertunang menurut Islam. Mungkin dari sudut adat itu sajalah belum lagi.

“Insya-ALLAH kita doakan ALLAH permudahkan. Mudah-mudahan tahun ini Mira bakal bergelar isteri dan mendirikan rumah tangga,” katanya.

Pendedahan tersebut sekali gus menjawab segala teka-teki tentang status diri Mira yang sebelum ini dikatakan sedang menjalinkan hubungan istimewa dengan bekas rakan sekolahnya, Wan Emir Astar.

Wan Emir juga merupakan seorang arkitek adalah anak Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datin Mastura Mohd Yazid.

Difahamkan pasangan ini bakal melangsungkan perkahwinan mereka pada hujung Oktober depan.

 

(FOTO: Instagram Mira Filzah)