BIARPUN mempunyai vokal hebat dan pengalaman luas dalam bidang nyanyian, penyanyi Aishah mengakui tidak pernah berhenti untuk terus belajar demi menjadi lebih baik.

Malah penyanyi yang hampir empat dekad aktif dalam industri itu sedang giat menghadiri kelas vokal bersama cikgu Shafi sebagai persediaan beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) pada 14 Mac depan.

“Sebelum ini saya timba sikit-sikit ilmu vokal dengan cikgu Siti Hajar dan kali ini atas permintaan komposer lagu Aku Bidadari Syurgamu, saya belajar dengan cikgu Shafi pula.

“Proses pembelajaran tiada titik noktah. Walaupun kita sudah berada dalam satu-satu bidang itu berdekad-dekad.

“Itu saja cara untuk kita perbaiki kemahiran kita. Terimalah teguran daripada orang yang ahli dalam satu-satu bidang, walaupun cikgu Shafi sendiri cakap dia masih sekolah semasa saya muncul dengan Fan Club,” kongsi Aishah menerusi satu hantaran di laman Instagramnya.

Dalam pada itu, Juara program Gegar Vaganza musim keempat itu mengakui sangat menghormati insan bergelar guru yang banyak berkongsi ilmu meski dalam bidang apa pun.

“Memang saya orang yang sangat hormat kepada mereka yang bergelar guru. Saya tak tahu kenapa. Tak kiralah guru sekolah, guru mengaji, guru kraf, semua saya sangat hormati dan sayangi.

“Kenapa sayang? Kerana bila cikgu memberikan satu-satu ilmu pada kita, saya rasa macam dapat emas atau sesuatu yang sangat berharga.

“Malahan emas boleh habis kita belanjakan tetapi ilmu yang kita pelajari disimpan sampai akhir hayat,” katanya.

Iklan

Kata Aishah lagi, setiap kali belajar, dia sentiasa meletakkan dirinya seperti tidak mengetahui apa-apa agar lebih terbuka menerima ilmu yang dikongsikan.

“Bila saya pergi belajar dengan seseorang guru, saya selalu buat diri saya seperti tak tahu apa-apa.

“Setiap guru ada keistimewaan dia, pasti kita akan dapat sesuatu yang berharga. Letakkan ego ke tepi, insya-ALLAH kita akan lebih berjaya.

Iklan

“Seumpama kita mengumpul harta karun, sorang cikgu akan bagi kita emas, yang sorang lagi beri kita berlian, ada yang bawa permata dan lain-lain. No ‘doubt’ they are all special and I will always be in’debt’ed’ to my teachers,” katanya.

 

(FOTO: Instagram Aishah)