‘Nyawa saya bagai telur di hujung tanduk’

KEPADA yang memikirkan bahawa tugas anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) sesuatu yang mudah, singkirkan perspektif itu jauh-jauh.

Bertemu dengan Leftenan Muda Pertahanan Awam (PA) Kuala Selangor, Suzaini Sulaiman, 47, sememangnya membuatkan penulis kagum dengan pengorbanannya yang tidak berbelah bahagi demi masyarakat dan negara.

Enggan membuang masa, penulis menyogoknya dengan pertanyaan, apa perkara yang paling tidak boleh dilupakan sepanjang menjadi anggota APM sejak tiga tahun lalu?

Sambil menghela nafasnya, Suzaini berkata: “Nyawa saya hampir melayang dalam satu kemalangan pada tahun 2018.

“Ketika itu saya nyaris dilanggar sebuah kereta yang hilang kawalan ketika sedang menjalankan operasi bantuan kecemasan dan kawalan lalu lintas di laluan Kilometer 448 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Rawang, Selangor.

“Pada masa itu, saya sedang berdiri dan jarak saya dengan kereta yang terbabas itu tidak sampai satu meter.“