Johan tilawah al-Quran, Sofizah Mousin belajar taranum sejak kecil. Mahu perluaskan ilmu dan kembara dakwah

LEMAH lembut tutur bicaranya. Kelunakan suara yang dianugerahkan ILAHI adalah kelebihan empunya diri.

Selain sentiasa membasahkan lidah membaca kitabullah, Sofizah Mousin, 33, juga belajar bertaranum sejak dari usia yang masih mentah.

Baca ni Wajah comel terpapar pada botol kordial F&N hampir 2 dekad, ini wajah terkini Madihah ‘si gadis sirap’

Kerajinan itu bukan hanya membutirkan pahala, tetapi melayakkan beliau meraih johan qariah pada Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-62 tahun lalu. Sebelum itu, banyak lagi pertandingan yang menyebelahi Sofizah.

Sejak dari awal lagi, kami memang terpanggil untuk mengabdikan wajahnya sebagai penghias wajah SinarPlus.

Selepas dicongak, aturan pada bulan Ramadan difikirkan sangat bersesuaian kerana kami percaya, banyak ilmu dan panduan yang akan dikongsikan Sofi.

Apa yang penulis boleh katakan, setiap kata-kata yang terpacul dari mulutnya sangat bermanfaat.

Berawal, penulis tanyakan bagaimana beliau mula bersahabat baik dengan al-Quran? Ini reaksi segeranya:

“Sejak kecil saya suka seni suara. Saya selalu masuk pertandingan menyanyi. Selepas mendaftar sekolah agama dan kelas kemahiran al-Quran tingkatan satu, minat saya terarah kepada ilmu taranum pula. Saya jatuh hati dan terus timbul keinginan untuk belajar.“

Sejak kecil Sofizah sudah mula memberanikan diri menyertai pertandingan Tilawah al-Quran.

Menyambung kata, Sofi memberitahu, bapa saudaranya termasuk Ustaz Haji Yahya Daud, Ustaz Haji Anwar Ghazali dan beberapa guru lain merupakan insan yang membuka ruang untuk beliau mencintai kalam ALLAH.

“Terima kasih kepada semua kerana telah membantu saya mencapai tahap sekarang,“ luahnya dengan telus.

Ramai sedia maklum, Sofi merupakan seorang guru Geografi di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya, Selangor. Mungkin ramai mengandaikan subjek Pendidikan Islam lebih sesuai dengan jati dirinya.

Soalan itu dijawab tenang. Beritahu beliau, Geografi merupakan salah satu mata pelajaran kegemaran, selain Bahasa Arab.

Semasa belajar di universiti dan mengikuti jurusan Pendidikan Sains Sosial, subjek geografi termasuk sejarah menjadi sebahagian daripada tematik pengajian.

Pun demikian, minatnya tidak pernah padam untuk mendalami ilmu taranum lebih-lebih lagi selepas menonton majlis tilawah al-Quran.

“Mendengar orang bertaranum, sesungguhnya telah membawa banyak perubahan pada diri saya. Dengan bertaranum ia menambahkan lagi rasa khusyuk dan buat saya tenang,“ ungkapnya memahat kata.

Tantangan & usaha dakwah

Firmah ALLAH SWT dalam Surah al-Mujadalah, ayat 11 berbunyi: “Nescaya ALLAH akan mengangkat darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), ALLAH MAHA TELITI terhadap apa yang kamu kerjakan.“

Kalimah itu semestinya membuatkan sesiapa akan bermuhasabah diri. Bagi Sofi, beliau tidak kisah untuk melakukan apa sahaja, asalkan matlamatnya mendekati al-Quran dipermudahkan.

Ahli keluarga antara tulang belakang dalam kejayaan Sofizah menggapai impian untuk bergelar Johan Qariah Tilawah al-Quran peringkat Antarabangsa 2022.

Pun demikian, untuk sampai ke tahap itu, tidak mudah.

“Berbelas tahun saya belajar dan selepas 20 tahun baru saya berjaya,“ katanya yang masih belum menoktahkan bicara.

Cabaran bermula ketika personaliti itu berada di Sabah lagi. Memandangkan khidmat guru al-Quran sukar dicari di negeri kelahiran, beliau telah mengorbankan duit kemenangan salah satu pertandingan dimenanginya.

“Saya guna duit itu membeli tiket ke Kelantan untuk mencari guru dan pernah duduk dua minggu di rumah guru di sana,“ dedahnya yang sentiasa mempraktikkan ayat daripada Surah Yunus, berselawat ke junjungan besar Rasulullah SAW dan mengamalkan surah tiga Qul apabila berdepan sebarang ranjau.

Tantangan terus menerjahnya. Apabila mendirikan rumah tangga dan punya dua anak pula, beliau perlu melakukan banyak pertimbangan.

Antara tugas hakiki sebagai pendidik serta aktif dalam menyebarkan dakwah, Sofizah tetap memberi keutamaan kepada anak-anaknya yang masih kecil.

Masakan tidak, Sofi perlu membahagikan tugasnya sebagai seorang guru, ibu termasuk memenuhi limpahan tawaran selepas menjuarai pertandingan berprestij.

“Komitmen dengan anak-anak adalah keutamaan saya lebih-lebih lagi kalau mereka jatuh sakit. Saya akui selepas menjadi johan qariah pada MTHQA, jemputan dari stesen televisyen dan akhbar memang banyak.

“Disebabkan saya mengajar sesi pagi, jadi waktu petang atau hujung minggu sahaja saya penuhi pelawaan,“ ujarnya sambil berterima kasih kepada suami tersayang, Ahmad Asrol Saidi yang banyak membantu beliau.

Selain segalanya datang daripada ALLAH YANG MAHA PENYAYANG, Sofi dengan jujurnya berkata, beliau bukan sesiapa tanpa sokongan dan dukungan daripada keluarga.

“Syukur ke hadrat ILAHI, mereka terutama ibu dan suami sentiasa menunaikan solat tahajud dan solat hajat hampir setiap hari demi mendoakan perjuangan saya dalam memartabatkan al-Quran,“ katanya.

Seorang cendekiawan Islam, Muadz bin Jabal pernah mewariskan kata-kata hikmah: “Pelajarilah ilmu kerana menuntut ilmu kerana ALLAH itu menimbulkan rasa takut kepada-NYA. Mencari ilmu juga merupakan ibadat. Mengingatnya adalah sama dengan bertasbih.

Mengkajinya merupakan suatu jihad, mengajarkannya kepada orang yang tidak tahu merupakan suatu sedekah.“

Frasa itu barangkali sesuai diabadikan kepada mereka yang mencintai ilmu termasuk Sofi.
Ungkap wanita itu, menjuarai beberapa pertandingan telah menyuburkan kegembiraan dalam atmanya. Namun, beliau sedar tanggungjawab berat untuk terus mengembangkan lagi ilmu dan kembara dakwah.

“Insya-ALLAH, dengan pengetahuan dan bakat dipinjamkan-NYA, saya akan berkongsi dan menyampaikannya kepada masyarakat sebaik mungkin,“ katanya penuh tekad.

Baca ni Eleena Sui pilih untuk berhijab penuh, tekad mahu terus kekal istiqamah. Ini cerita pilu di sebalik penghijrahannya

Iklan

Jaga pergaulan
Sofi turut ditanya bagaimana beliau memastikan konsistensi taranumnya berada pada tahap terbaik? Tutur beliau, ia memerlukan latihan dan memang memakan masa.

“Kita kena sentiasa latih diri menyebut huruf dan sebutan dengan betul. Selain itu, kena juga kuasai tajwid dan baca al-Quran dengan baik, barulah boleh belajar cara berlagu.

“Latihan sangat penting untuk pernafasan, vokal, suara dan sebagainya. Saya sendiri ambil masa bertahun-tahun untuk belajar. Pun begitu, jangan mengalah dan terus berusaha sehingga berjaya,“ katanya.

Serentak dengan itu, Sofi amat menitikberatkan soal kesihatan diri sendiri terutama penjagaan suara.

“Apabila memasuki mana-mana pertandingan, saya kurangkan makan makanan berminyak, berlemak, elakkan minuman ais, selain tidur yang cukup,“ katanya.

Apabila wanita bertentang dengan wanita, pastinya kami mempunyai topik lain untuk dibincangkan.

Penulis secara spontan bertanya kepada beliau mengenai isu kecurangan dan main kayu tiga yang masih hangat diperkatakan kini.

Bukan mahu menyokong pihak ketiga (wanita), namun lumrah setiap kali isu tersebut dibangkitkan, kaum Hawa yang akan dipersalahkan, bukan lelaki. Buka apa, kata pepatah, bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.’

Sambil tersenyum, Sofi melayangkan perspektifnya: “Terpulang kepada situasi. Kita tidak berada dalam situasi tersebut, tapi bagi saya, kedua-dua pihak baik lelaki atau wanita kalau sudah berkahwin, perlu ada batas dalam pergaulan.

“Lelaki perlu sedar tanggungjawab sebagai suami, manakala pihak ketiga perlu menjauhkan diri jika ada orang lain yang cuba mendekati.“

Pesan Sofi, jangan sampai terdetik hati suka kepada pasangan orang lain. Perlu matang dan berfikir sedalam-dalamnya sebelum berlaku curang yang merupakan satu perbuatan ditegah agama.

“Anda kena tahu apa kesan kepada diri, keluarga atau tanggungan. Fikirkan masa depan anak-anak dan pandang wajah pasangan yang bersusah payah bersama kita selama ini,“ tegasnya.

Iklan

Baca ni ‘Untung isteri, rumah lawa suami baik.’ Black Hanafiah kongsi suasana kediaman raih pujian. Kemas & tenang jer!

Khatam al-Quran
Seboleh-bolehnya kita semua mengharapkan Ramadan berlangsung sepanjang tahun kerana nikmat dan rahmatnya yang tidak terhingga.

Apatah lagi, Ramadan sering diumpamakan sebagai bulan al-Quran. Kepada kami, Sofi secara tulusnya berharap untuk khatam 30 juzuk al-Quran.

“Insya-ALLAH inilah harapan saya, sementelah pada masa sama, saya terbabit dalam beberapa program televisyen hingga akhir Ramadan. Doakan agar misi saya tercapai,“ katanya.

Bagaimana pula jangkaan sambutan Aidilfitri nanti? Ujar beliau, semuanya serba sederhana.

“Satu lagi, kami sudah membeli baju sedondon satu famili. Bimbang kalut dan tidak mahu menjejaskan ibadah puasa nanti,“ ujarnya yang memilih rona krim lembut dengan corak hijau dan juga warna terang serta emas untuk seisi keluarga.

Bercerita sedikit tentang momen manis menyambut lebaran, Sofi berkongsi nostalgia berkumpul bersama seluruh keluarga besar di Sabah.

“Saya masih ingat lagi, ada sekali tu kakak minta arwah ayah belikan barang masakan yang tak cukup. Salah satunya ialah laksa penang. Lucunya, bila sampai, kami tengok ada buah pinang. Terus bapa saya cakap, kan ada tulis ‘laksa penang‘ terus kami gelak,“ ujarnya sambil tertawa.

Baca lagi ‘Lawanya rumah, ingat dekat luar negara.’ Isteri Rahim Sepahtu kongsi gambar rumah, siap ada mini golf bikin ramai teruja!

Sebelum kami betul-betul mengucapkan salam perpisahan, wanita yang redup wajahnya itu menyampaikan nasihat penting kepada kaum Hawa di luar sana.

Tegasnya, golongan berhijab tiada masalah untuk bergaya dan berfesyen, namun biarlah menutup aurat seperti yang disyaratkan agama suci ini.

“Kita kena ingat dan fahami bahawa niat berpakaian adalah untuk mencari reda ALLAH SWT,“ kata Sofi menitipkan pesanan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.