Cetus kontroversi bukan formula Mierul Aiman untuk cipta nama sebagai pelakon, pengacara

A
A
A

KATA budak-budak zaman sekarang, tinggi, gelap dan kacak merupakan pakej sempurna buat seorang lelaki. Namun, apa yang penulis boleh katakan, setiap individu mempunyai sudut pandang berbeza dan cita rasa masing-masing.

Untuk berkecimpung dalam bidang seni pula, tidak hanya penampilan luaran menjadi ukuran, tetapi personaliti yang elok diperlukan.

Masakan tidak, sudah resam dalam dunia hiburan dan seperti satu yang wajib untuk dipatuhi, seseorang selebriti wajib untuk tampil 'sempurna bak malaikat' tanpa cela mahupun khilaf, meskipun hanya berstatus manusia.

Ya, seperti tidak adil, namun begitulah realiti anak seni yang hidup dalam dunia glamor.

Wajah terpampang di sana sini. Jika tidak kena pada mata netizen, setiap inci gambar yang dimuat naik pasti akan menjadi 'bahan'.

Pendek kata, posisi sebagai selebriti membuatkan mereka menjadi sasaran mudah masyarakat yang seolah-olah berhak berkata apa sahaja walaupun pada dasarnya, ia perit untuk ditelan.

Apabila hal itu dibangkitkan, pemegang gelaran Juara Hero Remaja 2021, Mierul Aiman dengan tegas berkata, populariti yang diraih oleh mana-mana personaliti merupakan tanggungjawab dan amanah untuk menyebarkan hal-hal positif kepada semua orang.

Ujarnya, apabila menjadi pusat perhatian, khalayak sentiasa memiliki rasa ingin tahu tentang apa yang akan dilakukan oleh figura yang digemari mereka atau sebaliknya pada setiap hari.

"Artis menjadi terkenal kerana berjaya memberikan kualiti kerjaya terbaik kepada penonton, di samping artis itu perlu berusaha gigih untuk memperbaiki kelemahan diri. Peminat sentiasa ingin melihat kualiti kerja yang ditonjolkan selebriti yang diminati bagi mengetahui sama ada berbaloi atau tidak sokongan mereka selama ini," ujarnya.

Hindar kontroversi

Memiliki daya pandangan yang positif, penulis berpendapat Mierul atau nama lengkapnya Muhammad Amirul Aiman Norazman mungkin memahat 'ideologi' sebegitu kerana masih setahun jagung dalam industri.

Namun, melihat kepada renungan mata dan getar suaranya yang begitu bersemangat serta tegas, membuatkan penulis yakin penglibatan beliau sebagai anak seni bukan sekadar suka-suka.

Beritahu Mierul, sejak kecil dirinya sudah menanam impian untuk bergelar seorang artis. Bukan sekadar selebriti biasa, beliau memilih menjadi pengkarya yang serba boleh lantaran 'pekerjaan' itu memiliki tarikan dan kuasa tersendiri.

"Setiap orang mempunyai perancangan. Perspektif yang berbeza membuatkan mereka melihat kehidupan dari sudut yang berlainan. Ada yang memilih strategi kontroversi kerana percaya ia mampu menaikkan nama dengan pantas, namun sebahagiannya tidak memilih jalan itu.

"Sama juga dengan saya. Cara saya adalah memberikan hasil kerja yang bagus kerana ia secara tidak langsung akan membangkitkan kepercayaan dan keyakinan kepada pihak tertentu. Pendekatan ini juga merupakan satu refleksi yang positif.

"Saya juga percaya, dengan hasil kerja yang bagus, insya-ALLAH, kita mampu bertahan lebih lama dalam industri ini. Apabila peminat menghargai usaha kita, ia adalah satu kejayaan besar bagi saya," katanya ketika ditemui pada sesi fotografi di Studio Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Biarpun dikatakan mengambil masa yang agak lama untuk khalayak menyedari kewujudan beliau di pentas sseni, Mierul nampaknya tidak mengambil pusing mengenai pandangan tersebut.

Kata anak muda itu, apa yang pasti beliau mahu membebaskan diri daripada dibasahi kontroversi semata-mata ingin cepat naik. Cara tersebut jelas menyimpang dengan tujuan asalnya yang ingin mempamerkan kualiti diri dan bukannya mencari populariti.

"Saya nak jadi artis bukan untuk setahun dua, tetapi sampai ke hari tua. Kontroversi bukan formula saya. Apa yang pasti, saya perlu memberikan kualiti kerja terbaik. Sama juga analogi untuk membina sebuah bangunan. Asas dan bahan yang digunakan perlu berkualiti agar binaan kukuh.

"Sekiranya dibuat dengan sambil lewa dan tidak amanah, struktur (binaan) mungkin akan runtuh dan membahayakan nyawa orang sekeliling," ujarnya yang sering mengungkapkan kata-kata penuh metafora.

Pun demikian, kelantangan Mierul menuturkan bicara bukanlah bermakna empunya diri langsung tidak boleh diajak bercanda. Sesekali, terdengar juga ketawa kecil jejaka berusia 24 tahun itu yang diselang seli dengan penjelasan objektifnya berada dalam arena hiburan tanah air.

Beri peluang

Berketinggian 178 sentimeter telah memberi kelebihan untuk selebriti berdarah muda itu bergelar model peragaan, selain memilih untuk serius dalam bidang lakonan dan pengacaraan.

Berpeluang membintangi telefilem bertajuk Hierarki tayangan Astro Ria baru-baru ini merupakan satu agenda paling dinantikan oleh Mierul, apatah lagi sudah menjadi kecintaannya untuk berlakon sejak di bangku sekolah.

"Kemenangan sebagai Juara Hero Remaja 2021 merupakan platform untuk saya menceburi bidang seni. Saya sedar mungkin ada pandangan yang menilainya sebagai hal remeh, tetapi pada saya itu satu pencapaian paling baik dalam diri.

"Sebelum masuk pertandingan itu sebenarnya, saya sudah menghadiri kelas lakonan teater. Syukur pengalaman dan kemahiran yang dipelajari secara tidak langsung menguatkan lagi keyakinan saya. Tidak dinafikan, perancangan ALLAH itu ada makna di sebaliknya.

"Saya tidak pernah terlintas bahawa masuk ke kelas lakonan semata-mata untuk menang. Sejujurnya, saya memang meminati bidang ini dan itu yang membuatkan saya menyertai kelas demi mengasah bakat serta mempelajari ilmu baharu," jelasnya panjang lebar.

Anak kedua daripada lima adik beradik itu juga bersyukur kerana kelas tersebut banyak membantunya untuk membina kepercayaan dan hubungan serta memahami lagi selok-belok industri seni yang penuh pancaroba.

Selain itu, ia juga telah mengajar Mierul cara berinteraksi di hadapan kamera sebagai pelakon, mahupun pengacara.

Pastinya sebagai pendatang baharu, bukan mudah buat beliau ‘menjual’ diri tanpa mengetahui landskap lapangan hiburan.

"Setiap kritikan yang diterima telah membentuk jati diri dan menjadikan saya individu lebih baik daripada sebelumnya," ujarnya yang bijak menyusun kata.

'Kekasih' lain

Berkobar-kobar meluahkan perancangan masa depannya, Mierul juga mempunyai ‘kekasih’ lain, selain kecintaan dalam arena lakonan dan pengacaraan. Mungkin ada menelah bahawa imej maskulin beliau tidak memperlihatkan dirinya seorang yang gemarkan penulisan sastera.

Mierul sebenarnya telah menjinakkan diri dengan penulisan sejak tahun 2014 lagi. Meluahkan rasa terbuku dalam hati, membiarkan diri larut dengan lautan aksara, antara cara beliau membebaskan diri daripada penjara perasaan.

"Sama seperti penulisan diari, apa yang berlaku akan ditulis dan diluahkan. Begitu juga dengan saya yang suka menulis terutama saat fikiran bercelaru.

"Bagi saya, penulisan itu lebih bersifat ‘halus’ sehingga membuatkan mereka membacanya tertanya makna tersirat. Biarpun suka menulis, tetapi saya bukan seorang yang gemar menulis jurnal puisi. Sesekali idea datang, saya akan catat dalam telefon sehinggalah puisi tersebut lengkap.

"Bukan sekadar perkongsian biasa, saya mengharapkan ia akan menjadi ‘kotak simpanan’ kenangan jika saya tiada lagi di dunia, di samping mendidik diri saya menguasai bahasa Melayu," tuturnya lembut.

Mierul turut mengharapkan setiap apa yang dicatat akan menjadi inspirasi dan kekuatan bukan hanya kepadanya, malah individu yang berada di sekeliling.

 

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca