Pakar Audiologi, Dr Nur Sasha mahu masyarakat tidak ambil mudah masalah pendengaran. Impaknya bukan sembarangan

A
A
A

LAMARAN menjadikan pemilik nama Dr Nur Shasa Ain Abdul Aziz, 38, yang juga seorang pakar audiologi sebagai penghias muka depan SinarPlus diterima baik.

Wajah penatnya yang baru tiba dari Jerman sehari sebelum sesi fotografi jelas kelihatan. Namun, beliau tetap memberi kerjasama yang baik kepada kami.

Membahasakan diri sebagai Sha, pemegang Ijazah Audiologi dari University College of London, United Kingdom (UK) nyata mempunyai aura tersendiri.

Katanya, selain gemarkan seni, sejak kecil beliau memang menyasarkan untuk menceburkan diri dalam bidang kejuruteraan audio.

Menginjak ke alam dewasa, tuan punya badan cenderung untuk mendasari perkembangan manusia dan sains pula.

Baca ni 'Sebelum kaya duit, beliau kaya jiwa.' Guna bahasa Melayu sepenuhnya ketika berucap, sikap Khairul Aming raih pujian ramai

Seperti sudah tersurat, akhirnya salah satu cabang yang diminati iaitu audiologi menjadi fokus utama dan kerjayanya kini.

Bagi memastikan ilmu cukup bagi mendepani hal-hal mendatang, Sha menyambung pengajian hingga ke peringkat PhD.

Dari segi kerjaya, prestasi wanita itu memang cukup membanggakan. Berdasarkan rekod, beliau pernah bekerja di National Health Service, UK. Sebelum itu, Sha pernah berkhidmat di Royal Surrey County Hospital, Guildford dan di St Marys Hospital, Paddington.

"Bidang audiologi di UK sangat maju. Alat bantu dengar diberikan secara percuma kepada semua penduduk. Cuma, cabaran saya ketika itu adalah dari segi masa. Saya terpaksa bertugas 9 pagi hingga 5 petang tanpa henti. Pun begitu, saya bersyukur ketua saya masih membenarkan saya bersolat," ujarnya.

PENGIKTIRAFAN BAKAR SEMANGAT 

Sudah pasti enam tahun berkerja di lokasi berprestij, Sha memiliki segudang pengalaman yang cukup berharga.

Kepada penulis, wanita itu berkata, berurusan dengan pesakit dalam kalangan warga emas cukup mendakap hatinya.

"Mereka berjumpa dengan kami (pakar audiologi) untuk bercerita. Pada mereka, kami merupakan manusia yang sanggup mendengar cerita yang dititipkan.

"Selain itu, saya juga berbangga dapat bekerja bersama teman-teman yang datang daripada pelbagai latar belakang. Ada yang berasal dari Afrika, Filipina, Sepanyol, Bangladesh dan banyak lagi. Ini membuatkan saya rasa dunia ini sebenarnya tiada sempadan," ungkapnya.

Berasakan sudah cukup berkhidmat di rantau orang, Sha menerbangkan dirinya kembali ke tanah air. Beliau mahu menggunakan setiap ilmu pengetahuan yang diraihnya untuk rakyat Malaysia pula.

"Namun, permulaannya sedikit susah sebab saya tidak kenal sesiapa, tetapi kemudian, ALLAH buka jalan.

"Apabila dilantik menjadi Setiausaha di MANSA (Malaysian National Audiologist Association), saya mula mendapat rentak. Waktu itu, saya berkenalan dengan ramai pakar audiologi tempatan yang ketika itu hanya lebih kurang 300 orang sahaja," katanya yang mengakui tidak ramai individu yang menjadikan lapangan itu sebagai kerjaya disebabkan ia masih baharu dan belum berkembang.

Bersama rakan ketika mengikuti pengajisn di University College of London

Baca lagi 'Ibu ibu, adik datang ni.' Gelagat Nufail mengesot masuk bilik sambil cari ibunya yang koma bikin warga maya sebak!

Perjalanan waktu yang begitu pantas dan dalam diam tidak diam, Sha berjaya menubuhkan Eartistic Hearing and Physiotherapy Centre dan memiliki tujuh cawangan.

"Sebagai pakar vertigo (berkaitan gangguan keseimbangan) juga, saya antara yang terdahulu memulakan khidmat ini di Malaysia. Oleh kerana itu, saya menamakan syarikat saya dengan nama Eartistic Hearing and Physiotherapy Centre.

"Selain itu, kami juga berfungsi sebagai Eartistic Audiology dan Physiothreapy Centre. Tidak lama lagi, saya bakal menubuhkan Eartistic Studios pula. Doakan ya," katanya yang bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di syarikat kendaliannya itu.

Portfolio diri Sha semakin terserlah apabila anak kelahiran Kuala Lumpur itu tersenarai dalam 100 CEO Terbaik tempatan 2021 oleh IKON Magazine.

Kalau difikirkan semula, bukan mudah untuk memainkan peranan CEO, sementelah terpaksa mengurus tujuh cawangan yang didirikan. Namun, kata Sha, itu semua alah bisa tegal biasa.

"Saya tidak bergerak sendirian dan bersyukur mempunyai pasukan yang sangat bersungguh," katanya.

Nampaknya, 2021 merupakan tahun bertuah kepada Sha. Masakan tidak, kegigihannya membawa pembaharuan untuk masyarakat Malaysia melayakkan beliau menerima Anugerah Wanita Waja anjuran Kelab Wanita Ikon Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Baca ni 'Ibu berjiwa kental, memang iron lady betul.' Pilih kerjaya berisiko, ramai kagum dengan Maya 'tawan' puncak KLCC

Anak bongsu kepada bekas Menteri, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Tan Sri Abdul Aziz Shamsudin itu berkata, pengiktirafan yang diberikan membuatkan dirinya lebih bersemangat meneruskan perjuangan dalam bidang audiologi.

Pada masa sama, tuan punya badan turut memasang impian bergelar phylantropis (dermawan).

MUZIK DAN ANIMASI

Seperti yang diperkatakan pada awal perbualan kami, bidang audiologi di Malaysia masih tidak meluas lagi. Selari dengan itu, kesedaran masyarakat tentang isu pendengaran juga masih rendah.

Jadi, tidak hairanlah kalau kita mendengar cerita tentang individu yang sepatutnya sembuh dan telinga dapat berfungsi semula, tidak mendapat rawatan yang sewajarnya.

Itu satu hal. Lebih mengecewakan, wujud dalam kalangan ibu bapa yang tidak dapat menerima hakikat jika anak mereka mempunyai masalah berkenaan.

Kepada Sha, penulis mengajukan pertanyaan bagaimana untuk mengubah pandangan skeptikal itu dan apa cara terbaik untuk menangani isu tersebut?

Dengan panjang lebar beliau menjawab: "Kepada ibu bapa di luar sana, jika anak anda mempunyai masalah pendengaran, jangan ambil sikap berdiam diri. Anak anda perlu mendengar. Pendengaran sangat penting kerana ia merupakan pintu kejayaan si anak.

"Kena faham, isu pendengaran adalah masalah yang tidak dapat dilihat. Impaknya juga cukup besar. Boleh menyebabkan kemurungan, keretakan rumah tangga dan nyanyuk.

"Biasanya anak kecil yang berhadapan dengan isu ini, tidak dapat meneruskan persekolahan. Kita kena ada sifat empati dalam diri. Satu peringatan penting, jauhi sikap suka mengejek atau memandang sinis golongan itu. Ambil peduli masalah mereka!".

Ketegasan Sha dapat dirasai penulis. Bukan itu sahaja, 'keghairahannya’ dalam membantu golongan itu dilakukan dengan pelbagai metodologi. Antaranya dengan pendekatan seni.

Ibu kepada Zidane Abbas dan Safa Daniella berkata, beliau bersyukur kerana diberi peluang untuk menghasilkan satu travelog khas berkonsepkan animasi dan realiti tentang masalah pendengaran yang mesejnya disampaikan menerusi muzik dan animasi.

Kesempatan itu diperoleh pada saat dunia dilanda virus Covid-19. Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia membuka peluang kepada Sha menghasilkan karya berjudul Jom Kembara Utan.

"Naskhah ini memfokuskan kepada anak-anak dan saya pilih genre kesihatan. Saya menjadikan 'Utan' sebagai watak utama dan hero. Utan dipakaikan alat bantu dengar dan melihat bagaimana Utan meneruskan kelangsungan hidup dengan bantuan itu," tutur beliau yang kini sedang dalam proses menyediakan animasi penuh Jom Kembara Utan dan Interactive Education Games untuk kanak-kanak di negara ini.

Bagaikan tidak lengkap andai perkongsian tidak diselitkan dengan statusnya sebagai seorang isteri dan ibu.

Ketika ditanya, wanita itu menolak tanggapan penulis yang menyangka dirinya seorang yang mementingkan kesempurnaan dalam rumah tangga.

“Saya bukanlah seorang isteri atau ibu yang mahukan semuanya sempurna. Apa yang saya selalu lakukan rasanya sama seperti orang lain. Sebelum tidur, saya akan membaca buku bersama anak-anak terlebih dahulu,” katanya.

Pun demikian, watak Sha berbeza ketika bertugas. Dalam urusan kerja, beliau mempraktikkan sistem berjadual untuk memudahkan segala urusan.

Begitu juga dengan bab penjagaan diri, usahawan muda itu cukup konsisten dan sangat berdisiplin.

“Sebelum tidur, saya akan siapkan jadual kerja. Untuk rutin kecantikan pula, sejak dulu lagi, saya ambil makanan tambahan dan mempraktikkan teknik intermittent fasting.

“Saya juga banyakkan berjalan dan berzumba. Kalau tidak sempat, saya akan menari dengan anak-anak sampai peluh,” kongsi Sha yang akan meninggalkan telefon bimbit sekurang-kurangnya sejam apabila berada bersama keluarga.

Layari portal SinarPlus, sinarplus.sinarharian.com.my untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami untuk info dan kisah penuh inspirasi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca