7 petua ikan dimasak rangup yang penting tak melekat dan meletop dikuali!

A
A
A

SEDAP betul ratah ikan goreng. Antara yang menjadi kesukaan termasuklah ikan keli, bawal, siakap, dan selar.

Kebanyakkan akan cakap “alah ikan goreng je pun” tapi bukan senang nak menggoreng ikan kalau tak tahu caranya. Lebih-lebih lagi ikan yang berlendir seperti ikan keli.

Memang meletup-letuplah jawabnya. Boleh terus meluru lari keluar dari dapur!

Masalah lain, kulit ikan yang digoreng melekat-lekat pada kuali. Bila nak diangkat, habis hancur isinya. Memang boleh makan, tapi malulah nak hidang kan? Kalau makan sendiri tak apalah.

Di sini ada beberapa petua goreng ikan yang boleh dipraktikkan di rumah. Semoga ia membantu mendapatkan hasil yang lebih cantik dan rasanya pun bertambah enak.

1. CUCI IKAN DENGAN CERMAT SEBELUM DIGORENG

Salah satu sebab ikan meletup-letup apabila digoreng adalah kerana ianya masih mempunyai banyak cairan di dalamnya, seperti ikan keli yang biasanya berlendir.

Untuk membersihkan lendir pada ikan ini, ada 2 cara:

i) Limau nipis – Gunakan sedikit limau nipis bersama sedikit garam halus.

ii) Tepung Gandum – Cuci ikan dengan tepung gandum. Elok juga kalau dapat perapkan ikan dengan tepung gandum selama lebih kurang 15 minit.

Selain mengurangkan lendirnya, bau hanyir juga dapat dibuang dengan lebih berkesan melalui 2 kaedah di atas.

2. PERAP DENGAN ASAM JAWA

Anda boleh juga menggunakan asam jawa sebagai perapan supaya isi ikan lebih enak dan tidak melekat. Selain itu, asam jawa dikatakan dapat memejalkan isi ikan. Jadi, tidaklah isi ikan hancur berderai atau meletup-letup nanti.

Cara ini selalunya digunaan untuk ikan yang sudah kurang segar atau sudah berada lama di dalam tempat sejuk beku.

3. PASTIKAN MINYAK CUKUP BANYAK

Penggunaan minyak yang agak banyak dapat membuat ikan mengembang dengan elok dan tidak menyentuh dasar kuali. Jadi, kurang risiko ikan melekat pada kuali. Barulah ikan akan masak dengan sempurna pada semua bahagian.

4. PANASKAN KUALI DAN MINYAK DENGAN SEMPURNA

Panaskan kuali terlebih dahulu, baru tuang minyaknya dan biarkan dulu hingga minyaknya cukup panas. Inilah saat yang tepat untuk kita masukkan ikan ke dalam kuali supaya ia tidak melekat. Tapi, jangan sampai ia terlalu panas kerana minyak yang terlalu panas pun boleh menyebabkan ikan melekat pada kuali.

5. BAHAN SALUT SECUKUPNYA

Bagi yang suka hasil gorengan ikan yang rangup, tambahkan sedikit tepung beras. Bahan ini juga membantu mengelakkan ikan daripada melekat pada kuali sewaktu menggoreng. Boleh juga menggunakan serbuk kunyit yang secukupnya supaya membaluti ikan.

Celupan telur turut membantu memberi hasil gorengan yang lebih cantik. Selepas celup telur, salutkan ikan dengan tepung atau serbuk roti.

6. SEBELUM MENGGORENG

Terdapat beberapa bahan yang boleh digunakan untuk mengelakkan ikan daripada meletup. Antaranya:

i) Asam Keping – Sebelum menggoreng ikan, gorengkan beberapa asam keping.

ii) Garam – Taburkan sedikit garam dalam minyak panas. Selepas itu, goreng ikan seperti biasa.

iii) Halia – Gorengkan beberapa hiris halia sebelum menggoreng ikan.

iv) Kulit Bawang – Kulit bawang dikatakan dapat membuatkan ikan goreng tidak melekat pada kuali. Masukkan kulit bawang bersama ikan semasa menggoreng.

7. BUNGKUS DAUN PISANG

Jika anda menggoreng ikan yang bersaiz besar, boleh gunakan petua goreng ikan yang satu ini agar hasil gorengan merata ke semua bahagian dengan sempurna.

Caranya mudah, bungkuskan ikan dengan daun pisang yang telah dibersihkan. Goreng dalam minyak panas seperti biasa. Daun pisang juga berfungsi menyerap panasnya minyak sehingga letupan juga akan menghilang. Apabila cukup masak, daun pisang akan terlerai sendirinya daripada ikan goreng tersebut.

8. GUNA PENUTUP PERIUK

Sediakan penutup periuk berdekatan untuk menutup ikan yang telah diletakkan ke dalam kuali jika anda khuatir minyaknya akan terpercik. Masa nak terbalikkan ikan, rendahkan sedikit suhu api sebelum membukan penutup periuk.

Jangan terlalu awal dan jangan terlalu lambat ikan tersebut. .Jika diterbalikkan berkali-kali, ia boleh menyebabkan ikan pecah dan berderai isinya.

Semoga petua ini dapat membantu para ibu atau pun yang bujang ketika mengoreng. Selamat mencuba!

Sumber: SirapLimau

Penulis: Fatin Syazwani Mohammed Hanif

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca