Duduk rumah tak perlu pakai hand sanitizer. Bahayanya jika...
"PERHATIAN semua !!!
Saya baru sahaja mendengar berita yang mengerikan. Seorang keluarga kawan saya menggunakan (cecair sanitasi tangan) dan pergi ke dapur untuk memasak. Akibatnya, apabila dapur gas dihidupkan, tangannya yang disapu hand sanitizer terbakar dan pergi ke dapur tanpa membasuh tangan. Kita menggunakan hand sanitizer yang mengandungi alkohol, jadi mudah terbakar. Diharap semua orang harus mencuci tangan sebelum memasak Jangan cuai, perkongsian ini adalah benar, bukan jenaka. Ingat! Sila hantarnya. Satu lagi orang tahu, dapat mengelakkan satu lagi mangsa."
Mesej berantai berkenaan antara yang tular baru-baru ini dalam kalangan 'persatuan' grup WhatsApp, Telegram dan pastinya di pelbagai platform media sosial.
'Kedengaran' menakutkan, bukan? Sekali dibaca, dikhuatiri ramai yang akan takut pula hendak memakai cecair bagi membersihkan tangan iaitu anggota yang paling kerap terdedah dengan kuman itu.
Hakikatnya, benarkah perkongsian nasihat berantai berkenaan yang dikatakan boleh mengundang musibah kepada mereka yang memakai pembersih tangan yang mengandungi alkohol itu?
Ahli Kimia yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Che Puteh Osman menulis jawapan bagi persoalan berkaitan dalam status Facebook beliau baru-baru ini.
Ikuti perkongsiannya:
"Benarkah menggunakan hand sanitizer boleh menyebabkan tangan anda terbakar ketika menggunakan dapur?
Hand sanitizer berasaskan alkohol mesti mengandungi sekurang-kurangnya 60 peratus alkohol dan bahan lain seperti pewangi dan pelembap.
Pada botol hand sanitizer kebiasaannya terdapat amaran ia boleh menyebabkan kebakaran.
Ini kerana alkohol adalah bahan kimia yang mudah meruap dan mudah terbakar. Anda patut mengelakkan hand sanitizer anda terbuka dan meruap dalam suhu sangat panas.
Anda juga patut mengelakkan hand sanitizer anda dekat dengan dengan sumber api.
Adakah menggunakan hand sanitizer di tangan dan memasak boleh menyebabkan kebakaran?
Alkohol adalah sejenis bahan kimia yang mudah meruap. Ini bermakna selepas anda menyapu hand sanitizer keseluruhan tangan anda, kebiasaannya ia akan terus meruap dan tangan anda kering. Pada masa ini, adalah selamat untuk anda mengendalikan dapur.
Sekiranya tangan anda masih lencun basah dengan hand sanitizer dan anda menghidupkan api dapur, itu adalah berbahaya. Tangan anda boleh disambar api.
Anda sebenarnya hanya memerlukan sebanyak isipadu ibu jari sahaja larutan hand sanitizer. Buat apa sampai lencun? Sekejap sahaja 'dia' dah kering.
Sebenarnya sabun dan air adalah kaedah terbaik membersihkan tangan anda daripada mikroorganisme. Duduk di rumah tidak keluar ke mana-mana dan anda tidak perlukan hand sanitizer.
Dahlah mahal sekarang, simpan untuk masa kecemasan sahaja. Jangan buat hand sanitizer sendiri jika anda tiada kemahiran mengendalikan bahan kimia, bimbang risiko kebakaran.
Hand sanitizer juga tidak akan menyebabkan anda mabuk. Jangan tertipu dengan mitos.
Semak sebelum sebar.
Duduk di rumah, jangan keluar melainkan urusan sangat penting."
Demikian antara perkongsian dan nasihat Dr Che Puteh.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang