PKP : Kekal sihat jangan undang penyakit dengan menu ‘over’
MACAM-MACAM ada. Meriah sungguh! Ungkapan yang mungkin sesuai untuk menggambarkan menu sajian kebanyakan para ibu untuk ahli keluarga, semasa tempoh #stayathome sempena Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 Mac dan dilanjutkan sehingga 14 April ini.
Laman sosial seperti Facebook dan Instagram dibanjiri dengan gambar makanan bermula dari sarapan pagi, minum pagi, makan tengah hari, minum petang, makan malam sehinggalah ke makan tengah malam.
Lengkap jadual makan enam kali sehari! Paling tidak pun, sarapan pagi nasi lemak, makan tengah hari nasi beriani, minum petang bihun goreng dan makan malam nasi arab.
Cukup bersemangat para ibu tidak kiralah sama ada suri rumah atau wanita bekerjaya yang diberi pelepasan untuk bekerja dari rumah oleh majikan, memanfaatkan peluang keemasan untuk memasak makanan kegemaran keluarga.
Tapi perlu diingatkan, jangan over sangat!
Makanan seimbang
Sememangnya tidak salah untuk menggembirakan suami dan anak-anak dengan menu kesukaan mereka, namun pada masa sama biarlah ianya berpada-pada.
Walaupun ramai yang mahu ‘balas dendam’ memasak kerana hari bekerja sebelum ini mungkin kurang atau tiada kesempatan untuk berbuat demikian, tetapi pastikanlah faktor kesihatan sentiasa menjadi keutamaan.
Memetik satu kenyataan di BERNAMA, menurut Ketua Program Dietetik Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Roslee Rajikan, setiap masyarakat perlu mengamalkan pola pemakanan seimbang di samping tidak meninggalkan aktiviti bersenam meskipun perlu mengehadkan pergerakan dan hanya berada di rumah.
“Diet yang baik adalah penting untuk kesihatan. Meskipun ketika ini kebanyakan kita duduk di rumah, sentiasalah pelbagaikan nutrisi dalam setiap pengambilan makanan. Pastikan makanan tertentu diambil pada kadar yang sesuai bagi memastikan diet yang seimbang serta mencegah risiko penyakit.
“Yang menjadi kebimbangan ialah ketika kita mahu mencegah penularan wabak Covid-19, penyakit lain pula yang datang disebabkan keghairahan memasak dan memakan apa sahaja jenis makanan. Pengambilan makanan yang tinggi kandungan lemak dan gula serta makan tidak mengikut jadual boleh membawa kemudaratan kepada kesihatan,” katanya.
Mengulas lanjut Roslee berkata para ibu khususnya boleh mengutamakan makanan dari sumber kabohidrat khususnya bijirin penuh dan sumber protein seperti telur, ikan, ayam dan daging yang kurang bahagian berlemak dan kulit.
Selain itu, pengambilan pelbagai jenis dan warna buah-buahan dan sayur-sayuran juga akan memberikan sumber vitamin, mineral dan serat kepada tubuh badan.
Anda juga boleh amalkan enam langkah mudah ini ketika memasak untuk seimbangkan menu sihat seperti :
1. Masukkan sayur dalam hidangan yang dimasak kerana ia secara tidak langsung menggalakkan ahli keluarga untuk makan sayur lebih-lebih lagi anak-anak.
2. Buah-buahan pula boleh dipotong dan disimpan di dalam peti sejuk supaya anak-anak mudah mengambilnya.
3. Kaedah memasak perlu dipelbagaikan walaupun kebanyakan kita gemar makanan bergoreng.
4. Penggunaan minyak, lemak, santan dan gula perlu dikurangkan kerana ia tinggi kalori selain bahan perasa juga wajar dihadkan dalam masakan.
5. Pengambilan pencuci mulut seperti kek, kuih-muih dan pelbagai jenis minuman manis perlu dikawal termasuk bagi mengelak kenaikan berat badan lebih-lebih lagi dalam tempoh pergerakan yang agak terbatas ketika ini.
6. Bijirin, susu dan produk tenusu juga dapat membekalkan tenaga dan kalsium yang diperlukan tubuh badan.
Makanan dalam tin
Menyentuh mengenai makanan segera dan makanan dalam tin, Roslee berkata ia kebiasaannya mengandungi kandungan gula dan garam yang tinggi kerana bertindak sebagai pengawet bagi mengekalkan jangka hayat makanan.
Mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti hipertensi dan diabetes perlu berhati-hati sekiranya ingin mengambil makanan dalam kategori ini.
Menurut beliau, lebih baik sekiranya memasak makanan daripada bahan-bahan mentah dan segar kerana seseorang sedia maklum jenis dan jumlah bahan ramuan yang dimasukkan.
“Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini kebanyakan rumah mungkin sudah menyediakan stok makanan segera dan makanan dalam tin yang banyak. Ini termasuklah sewaktu pembelian panik berikutan situasi semasa Covid-19.
“Duduk di rumah mungkin akan membuatkan kita sentiasa berasa lapar tambahan pula makanan ada di depan mata. Jadi kawallah, janganlah sekejap-sekejap buat mi segera, makan makanan dalam tin atau makanan diproses yang lain.
“Jika mahu juga makan, mungkin kita boleh mengubah suai hidangan dengan mengurangkan perasa atau cecair di dalamnya serta menambah sayuran atau sumber protein seperti telur.
“Bekerja dari rumah tidak bermakna seseorang mempunyai lebih banyak masa untuk memasak dan makan kerana tanggungjawab mungkin bertambah untuk menjaga dan mengurus anak-anak di samping tugas hakiki yang diberikan oleh majikan, ” katanya.
Akhir sekali Sinar Plus suka ingatkan anda untuk minum air secukupnya kerana ia amat penting bagi mengelak dehidrasi selain strok haba berikutan musim panas ketika ini.
Jadi, #juststayathome #janganputusasamalaysia
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang