Tip leraikan pergaduhan dan rapatkan semula hubungan adik beradik
PERGADUHAN adik beradik memang lumrah dalam keluarga. Lagi-lagi dalam tempoh PKP ini, semua berada di rumah. Macam-macam perangai adik beradik sehingga boleh bawa bergaduh, contohnya bergaduh nak tengok siaran TV, bergaduh sebab tak reti nak tolong buat kerja rumah atau bergaduh sebab makanan.
Anak-anak juga kerap membanding-bandingkan antara satu sama lain. Seorang dapat perhatian lebih, anak-anak yang lain juga berlumba-lumba inginkan perhatian yang sama hingga boleh bergaduh mulut.
Orang kata hubungan adik beradik bak 'air yang dicincang takkan putus', tapi takut juga jika pergaduhan adik beradik boleh jadi penyebab mereka tak sebulu apabila meningkat dewasa.
Jadi, apa yang boleh dilkakukan untuk leraikan pergaduhan adik beradik? Ikuti tips ini.
1. Jangan sebelahi sesiapa
Bagi ibu bapa, elak menyebelahi mana-mana pihak kerana anak yang tidak disebelahi bukan sahaja akan benci pada anda tapi juga pada adik beradiknya.
Beri peluang setiap anak untuk meluahkan apa yang dirasakan kerana kadangkala kita terus memarahi tanpa usul periksa dek kerana marah.
Barangkali ada sesuatu yang mengganggu perasaannya.
2. Pantau cepat sebelum jadi pergaduhan
Jika ibu bapa terdengar saja mereka mula bersungut, cepat-cepat datang. Elak jadikan pergaduhan satu tabiat setiap kali ada rasa tak puas hati antara adik-beradik.
Selepas itu, leraikan dan asingkan mereka terlebih dahulu agar masing-masing dapat bertenang. Seelok-eloknya, nasihatkan anak seorang demi seorang secara sendirian dengan anda, seperti di dalam bilik tanpa didengari yang seorang lagi.
3. Bina sefahaman
Jangan biarkan pergaduhan adik beradik berterusan sehingga masing-masing tidak bertegur sapa. Cari jalan penyelesaian agar ia tidak berpanjangan sehingga merosakkan hubungan adik beradik.
4. Galakkan mereka tolong-menolong
Ajarkan mereka membantu kerja rumah yang dapat dilakukan secara bekerjasama. Ibu bapa pun boleh turut serta untuk memantau. Dan jika ada yang dalam kesusahan, ajar mereka untuk sentiasa bantu membantu kerana amalan ini dapat merapatkan hubungan antara adik beradik.
5. Belajar menghormati dan menyayangi
Ceritakan kebaikan abang kepada adik, dan begitu juga sebaliknya supaya mereka lebih memahami. Elakkan mengkritik atau memberi komen negatif walaupun ketika mereka dimarahi supaya timbul perasaan hormat terhadap ahli keluarga.
6. Banyak meluangkan masa bersama
Sekiranya sebelum ini anak-anak anda jarang meluangkan masa untuk makan bersama, anda disarankan untuk mula merancang makan bersama. Semasa makan, bibit-bibit kemesraan diwujudkan tanpa disedari.
7. Solat berjemaah
Menurut kajian, solat berjemaah merupakan salah satu amalan yang boleh merapatkan hubungan. Amalan bersalaman dan meminta maaf selepas solat, akan membuatkan hubungan kekeluargaan anda sentiasa dipelihara dan diberkati Allah SWT.
Oleh itu, jadikan amalan solat berjemaah ini sebagai sesuatu yang wajib bagi adik beradik untuk berkumpul bersama-sama.
Bukan semua pergaduhan adik beradik itu menjerumus pada konflik negatif, ada juga yang menjadikannya sebagai satu persaingan sihat yang membawa kebaikan. Air dicincang takkan putus, itulah perumpamaan yang paling sesuai bagi hubungan adik beradik.
Semoga tip ini dapat membantu anda semua.
FOTO: CANVA
PENULIS: NURUL ADRIANA
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang