Pelajar UiTM terlibat bot karam masih belum ditemui, ibu meninggal dunia
MASUK hari ketiga, pelajar UiTM Pahang, Nur Zakirah Ahmad Husin, 19, masih belum ditemui apabila dikatakan bot dinaiki mereka bersama ahli keluarga lain, karam ketika cuba merentasi Sungai Jelai, dekat Kampung Bertang, Lipis, kelmarin.
Dalam kejadian itu, empat beranak tersebut dipercayai menaiki bot untuk meninjau rumah mereka yang ditenggelami banjir dan akhirnya meragut nyawa ibu, Rozi Omar, 52 tahun.
Bapa, Ahmad Husin Mad Aris, 52, dan kakak yang juga pelajar UiTM yang sama, Nur Aina, 23, berjaya menyelamatkan diri.
Oleh demikian, Rektor UiTM Cawangan Pahang, Profesor Tan Sri Dr Mohd Ilham Adenan telah meluangkan masa menziarahi dan menyantuni keluarga Ahmad Husin semalam.
Menerusi perkongsian di Facebook UiTM Cawangan Pahang, turut dimaklumkan operasi mencari masih dijalankan oleh agensi yang terlibat dengan bantuan orang kampung.
"Bersama kita doakan agar urusan pencarian dipermudahkan dan keluarga Ahmad Husin tabah menghadapi ujian ini. Amin Ya Robbal 'alamin," tulisnya.
Baca juga Jangan terlalu yakin memandu redah banjir, anda mungkin rugi ribuan ringgit
Turut serta dalam ziarah berkenaan, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Dr Mohd Kamal Azman Jusoh, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan (Industri Perkayuan), Amran Shafie dan Koordinator Unit Komunikasi Korporat UiTM Cawangan Pahang, Mohd Azizul Sulaiman.
Sementara itu, portal tempatan melaporkan keadaan banjir di Pahang, Kelantan, Terengganu dan Perak bertambah buruk pagi ini berikutan hujan lebat yang masih berterusan menyaksikan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri terlibat terus meningkat.
Di Pahang, jumlah mangsa banjir terus meningkat melibatkan 24,257 mangsa yang ditempatkan di 281 pusat pemindahan di sembilan daerah negeri ini.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan daerah Temerloh mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 5,764 diikuti Maran (5,275), Kuantan (3,461), Lipis (2,551), Jerantut (2,455), Raub (2,182), Rompin (986), Pekan (859) dan Bera (724).
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang