Diancam pupus! abuk-abuk hidangan tradisi yang semakin dilupakan

A
A
A

DIBUNGKUS dengan menggunakan daun pisang, populariti kuih abuk-abuk mungkin tidak setara dengan juadah lain seperti kuih koci, lepat pisang atau pun pulut panggang.

Meskipun setiap pembuatan kuih itu menggunakan kaedah sama, namun yang pasti, sajian tersebut kurang mendapat perhatian dalam kalangan generasi sekarang.

Hal itu juga kemungkinan kuih abuk-abuk sukar untuk ditemui khususnya di kawasan bandar. Situasi itu turut diakui oleh Zafida Ismail yang juga seorang cef yang mahir memasak apa jenis hidangan.

 

Baca juga:Memang mengiurkan resipi gulai ikan ayo tambat selera satu keluarga kena cuba ni

Baca juga:Ikan bawal goreng cili bawang cukup rasa ringkas disediakan

 

Ujar Zafida, penghasilan kuih yang berasal dari negeri Johor itu tidaklah sukar untuk dilakukan. Namun, ia mungkin nampak renyah apabila melibatkan teknik lipatan.

"Sewaktu kecil ibu dan nenek saya suka menghidangkan kuih ini. Di kampung-kampung sekitar negeri Johor, kuih abuk-abuk memang senang dicari.

"Namun, sayangnya ramai anak muda mungkin ada yang tidak kenal langsung dengan kuih ini kerana rata-rata yang 'memburunya' terdiri daripada 'orang lama' seperti ayah, mak, nenek dan datuk kita saja.

"Saya berpendapat, tidak mustahil suatu masa nanti, sajian ini akan dilupakan begitu saja sekiranya ia terus dipinggirkan," luahnya yang berpengalaman selama 10 tahun sebagai tukang masak di beberapa hotel terkemuka termasuk pernah berkhidmat dengan MAS Catering Sdn Bhd.

Cef Zafida Ismail menyediakan kuih tradisional, abuk-abuk.

Berkongsi mengenai penghasilan kuih abuk-abuk, Cef Zafida memberitahu, jenis dan cara lipatan daun pisang untuk membungkus kuih berkenaan boleh dilaksanakan dengan pelbagai cara bergantung kepada kreativiti masing-masing.

"Macam-macam 'stail' yang boleh dibuat sebenarnya. Ada yang mahir membentuk segi tiga bersaiz besar atau kecil seperti kon aiskrim. Sesetengah pembikin pula mengaplikasikan kaedah yang sama seperti membalut kuih tapai.

"Untuk mempelajarinya juga cukup mudah. Masakan tidak, di laman YouTube misalnya, terdapat lambakan video tutorial membungkus kuih abuk-abuk," ujar beliau.

Cef yang pakar dalam pengkhususan pastri itu turut berkongsi sedikit petua menghasilkan sajian nostalgia tersebut dengan rapi dan sempurna.

Kata beliau, sagu perlu direndam beberapa jam sehingga bijinya kembang.

"Lebih baik sagu itu dibasuh terlebih dulu sebelum kita toskan, buang airnya dan digantikan dengan air baharu.

"Selepas betul-betul kembang, campur sagu tadi dengan kelapa parut putih dan garam halus. Kemudian gaul rata. Gula melaka pula diracik halus atau disagat kasar," katanya memberi panduan.

"Selepas itu, kita dapat rasakan kuih akan rasa kenyal, manis dan lemak masin sedikit (daripada kelapa) ketika dimakan. Memang sedap dan memang tak cukup sebiji," ujarnya yang mengambil tempahan pelbagai jenis masakan Melayu termasuk kuih-muih dan variasi pastri.

Bahan-bahan

250 gram sagu putih

150 gram kelapa parut (bahagian putih sahaja)

1 biji gula melaka (potong kecil/halus)

50 gram gula pasir

1/2 sudu kecil garam

Daun pisang (bungkus)

Lidi pendek (bungkus) (pilihan)

Cara penyediaan:

Rendam dan basuh sagu serta tapis sehingga hilang kanji.

Potong kecil gula melaka dan campurkan dengan gula pasir.

Sagu dicampur dengan kelapa parut bersama sedikit garam.

Potong daun pisang mengikut saiz sebesar sejengkal (anggaran 30 sentimeter) dan layurkan di atas api agar mudah dilentur.

Letakkan dua sudu sagu, kemudian letak inti gula yang sudah bercampur.

Letakkan sagu sebagai adunan terakhir sebelum membungkus.

Sediakan daun pisang untuk proses pembungkusan (mengikut kreativiti dan cara masing-masing).

Kukus dengan menggunakan pengukus selama 20 minit.

Biarkan sejuk seketika sebelum bersedia untuk dihidangkan.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca