Enam beradik di Melaka kreatif bawa kelainan sajian tradisi dodol perisa laici, strawberi dan kopi
JIKA sebelum ini dodol antara kuih yang sering dicari ketika Hari Raya Aidilfitri, namun sejak kebelakangan ini, sambutannya agak suram. Mungkin tempias akibat tidak dapat pulang ke kampung agaknya!
Perkembangan itu diakui oleh rata-rata pengusaha dodol yang ditemu bual penulis baru-baru ini.
Namun, mereka tidak berputus asa, sebaliknya berusaha menggali formula lebih menarik untuk mencuri perhatian masyarakat terutama dalam kalangan generasi muda yang segelintirnya tidak mengenali sajian hebat warisan zaman berzaman itu.
Salah sebuah perniagaan berasaskan dodol yang diusahakan oleh enam beradik, Hamidahku Industry di Umbai, Melaka nampaknya berjaya menemui 'rahsia' bagaimana menarik perhatian orang ramai untuk jatuh cinta dengan menu tradisi itu.
Kepada SinarPlus, Pengurus Hamidahku Industry, Atika Liakatali berkata, sesuai dengan kehendak masa kini, mereka telah menghasilkan tujuh jenis dodol yang dijual dalam bentuk kiub, mangkuk mini, bungkusan daun mengkuang dan upih pinang di bawah jenama Dodol Tradisi Mama.
Lebih membuatkan penulis teruja, selain menyediakan dodol asli gula melaka, durian dan pandan, mereka telah mengolah tambahan empat perisa lain iaitu laici, strawberi, jagung dan kopi.
Berkongsi keunikan sajian tersebut, anak kedua daripada enam beradik itu berkata, inovasi itu telah diperkenalkan sejak tahun 2017.
"Alhamdulillah, alternatif yang dirintis oleh kami itu berjaya menambat hati pelanggan terutamanya golongan muda dan kanak-kanak. Sebelum ini hanya tiga perisa biasa sahaja, tapi selepas kami ambil alih (syarikat), kami berpendapat sesuatu perlu dilakukan untuk memperhebatkan lagi menu warisan ini.
“Jadi, kami sepakat buat penyelidikan dan pembangunan produk dan tak sangka ramai yang suka, " katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.
Ahli perniagaan berusia 34 tahun itu memberitahu, beberapa tahun lalu, mereka hanya menjual dodol pada musim perayaan sahaja. Namun, disebabkan momentum bisnes yamg positif, pada setiap hari Hamidahku Industry akan melakukan produksi dodol bagi memenuhi permintaan pasaran.
Selain Atika yang bergiat aktif, lima beradiknya iaitu Baharuddin, 35, Khairul Izwan, 31, Atirah, 29, Khairuddin, 25, dan Khairul Syazwan, 19, turut berpadu tenaga memajukan perusahaan tiga generasi itu.
Ditanya tentang penangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang mengehadkan kedatangan pelanggan ke premis mereka, Atika berkata, jualan dalam talian cukup memberangsangkan terutamanya bagi dodol perisa asli, durian dan pandan.
Berkesempatan menemubualnya, penulis bertanyakan tentang tip bagaimana mengekalkan kesegaran produk dodol yang dijual.
Atika yang tidak lokek ilmu berkata, pihaknya akan memastikan sajian berkenaan dimasak lebih kurang lapan jam lamanya. Dodol kami juga dimasak setiap hari untuk memenuhi tempahan yang bertali arus.
Demi menjamin keenakan berpanjangan juga, kualiti produk dan pes bahan yang digunakan dijaga rapi.
"Apa yang penting, adunannya mesti lembut, berbau wangi dan tidak melekit. Barulah pelanggan teringat-ingat dodol jenama kami,” selorohnya.
Sebagai tambah nilai, perusahaan bumiputera tersebut turut menghasilkan menu warisan tradisional yang lain seperti wajik pulut dan sirat serta emping padi yang jarang-jarang boleh diperoleh di pasaran tempatan.
Dodol Tradisi Mama
- Alamat: 3537, KM15 Bukit Dodol, Umbai Melaka
- Waktu operasi: 9 pagi hingga 8 malam
- Menu signatur: Dodol asli, durian dan pandan
- Harga: RM17
- Facebook: Dodol Tradisi Mama
Dodol antara sajian yang tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.
Meskipun generasi muda sekarang seolah-oleh memandang sepi menu warisan itu, sebenarnya kelompok yang meminatinya cukup ramai.
Seiring dengan peralihan masa, pengusaha dodol juga telah mentransisikan produk mereka dalam bentuk yang lebih kreatif.
Ada dalam kalangan mereka dilihat masih mengekalkan konsep konvensional seperti membalut dodol dengan daun upih pinang dan palas bagi mengekalkan aroma, namun lebih ramai membungkusnya dalam berbentuk kuib, sumi dan sebagainya.
Pada kali ini, SinarPlus ingin mencadangkan empat perusahaan dodol lain selain di Melaka. Semuanya boleh ditempah secara online.
Dodol Sumi Ani
- Alamat: 1098, Batu 47 1/4 , Tali Air 7, Sungai Leman, Sekincan, Selangor
- Waktu operasi: Bermula jam 2 petang
- Menu signatur: Dodol berperisa asli, durian, pulut hitam, kacang merah, pandan, labu, nanas, jagung dan kurma
- Harga: RM5 hingga RM20
- Facebook: Dodol Ani
Dodol Balang Penang
- Alamat: Gerai Perda Ruang Niaga Perda, Jalan Nelayan, Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau, Pulau Pinang
- Waktu operasi: 10.30 pagi hingga 5.30 petang
- Menu signatur: Dodol klasik, pandan dan durian
- Harga: RM16 hingga RM20
- Facebook: Dodol Penang by FnC Kola
Dodol Upih Johor
- Menu signatur: Dodol kelapa dan durian
- Harga: RM8
- Facebook: Nurulhuda Salleh
Dodol Palas Terengganu
- Menu signatur: Dodol asli
- Harga: Satu pek (40biji) RM20
- Facebook: Yaya Daffodil
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang