Kerja dari rumah tingkatkan risiko penglihatan? Ini penjelasannya…
SEJAK Covid-19 mula ‘menggila’, kebanyakan daripada kita bekerja dari rumah. Suka atau tidak, suasana normal baharu itu tetap perlu dilakukan.
Langkah itu bagi mengurangkan risiko, sekali gus memutuskan rantaian penularan wabak yang boleh membawa maut itu.
Walaupun sibuk bekerja dari rumah, perihal kesihatan diri jangan pula diabaikan. Maklum sahajalah, apabila sakit, ia akan menjejaskan kualiti kerja kita.
Memandangkan saban hari kita kerap menghadap komputer, komputer riba dan telefon bimbit, sesekali rehatkanlah mata seketika. Ia bagi mengurangkan risiko masalah penglihatan.
Memetik laporan yang disiarkan oleh portal independent.com.uk, dianggarkan berjuta-juta rakyat Britain berisiko mengalami kerosakan penglihatan jangka panjang kesan daripada bekerja dari rumah pada musim sejuk.
Ia berdasarkan tinjauan yang dilakukan ke atas 2,000 orang dewasa yang bekerja dari rumah.
Laporan itu menyebut, satu daripada tiga orang mengeluh masalah sakit mata pada setiap penghujung hari mereka.Sementelah, satu daripada 10 orang lagi memasang tiga atau lebih lampu di rumah masing-masing. Malah, ada juga beberapa orang daripada responden mengakui ruangan tempat mereka bekerja memiliki cahaya yang terbatas.
Kepada independent.co.uk, pakar optik dan pemaju perniagaan serta pembekal kanta lekap untuk pasaran Eropah, Yannick Roth berkata, pencahayaan teruk yang lebih banyak bukan sekadar boleh membahayakan kesihatan mata kita.
(Artikel berkaitan: Bahaya cahaya biru pada skrin gajet pada mata si kecil, ibu bapa kena ambil tahu perkara ini...)
“Malah, ia juga oleh mengakibatkan seseorang itu mengalami sakit kepala, kelesuan, mudah marah dan seterusnya memberi kesan produktiviti serta menurunkan semangat kita.
“Pelbagai kesan pencahayaan yang dikeluarkan oleh sumber cahaya yang tidak cukup seperti mengalami masalah silau. Ia berlaku apabila salah satu daripada bahagian medan visual jauh lebih terang daripada rata-rata medan kecerahan. Walaupun ia tidaklah mengganggu penglihatan, namun ia boleh menyebabkan ketidakselesaan fizikal dak keletihan,” katanya.
Bukan itu sahaja, Roth menambah, masalah ketegangan mata yang berlebihan juga berlaku disebabkan keperluan kita untuk sentiasa berhubung dengan tempat kerja.
Masakan tidak, responden merasakan mereka sentiasa diperlukan oleh rakan sekerja, jelasnya.
“Akibatnya, 15 peratus daripada mereka tidak mengambil skrin layar pada monitor komputer mahupun telefon masing-masing. Sudahlah sepanjang lapan jam menghadap peralatan itu tanpa henti.
“Malah, beberapa orang dalam kalangan responden melaporkan bahawa wabak virus korona menyukarkan mereka untuk bertemu dengan pakar optik untuk menjalani pemeriksaan mata,” katanya.
Di Malaysia, sindrom penglihatan komputer bukan lagi isu baharu. Boleh dikatakan, ramai dalam kalangan kita memerlukan kemudahan itu untuk memudahkan kerja.
Memetik laporan yang dikeluarkan pku.upm.edu.my, masalah mata yang disebabkan oleh penggunaan komputer dikenali sebagai Sindrom Penglihatan Komputer atau Computer Vision Syndrome (CVS).
Malah, kajian yang pernah dilakukan oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan pada tahun 2008 menunjukkan 61.4 peratus pekerja menggunakan komputer di tempat kerja, mengadu sakit belakang, sakit bahu dan leher, manakala 70.6 peratus daripada mereka mengadu sakit mata yang ada kaitan dengan CVS.“Walaupun masih belum ada bukti mengatakan penggunaan komputer menyebabkan kerosakan mata secara kekal, namun ia boleh menyebabkan ketidakselesaan sementara yang seterusnya dapat mengurangkan produktiviti, kehilangan masa kerja dan mengurangkan kepuasan kerja,” kata laporan berkenaan.
Antara simptom-simptom biasa yang dialami oleh pengguna tegar komputer berdasarkan portal myhealth.gov.my adalah:
- Sengal-sengal mata.
- Kabur penglihatan.
- Mata kering.
- Ketidakselesaan penglihatan.
- Sakit kepala.
- Simptom-simptom lain yang turut disebabkan penggunaan komputer seperti sakit di bahagian tengkuk dan belakang badan.
Justeru, bagi mengelakkan sindrom itu, gunakanlah pelbagai kaedah antaranya pengubahsuaian ergonomik, pemakaian cermin mata yang bersesuaian, perubahan pencahayaan dan amalkan penggunaan penglihatan secara sihat.
Tidak kiralah sama ada bekerja di pejabat atau rumah masing-masing, namun langkah-langkah pencegahan tetap perlu diambil demi perlindungan mata masing-masing.
Sumber: https://www.independent.co.uk/, http://www.myhealth.gov.my/ & https://pku.upm.edu.my/
Foto: Freepik
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang