Teknik ajaib jauhkan anak daripada penyakit
BIASA bukan si anak kecil kita jatuh sakit? Selalunya bila mereka demam, selesema dan seumpamanya kita sangkakan barangkali dek terkena air hujan, berjangkit dengan orang lain dan sebagainya.
Pasti ramai yang tidak terfikir, jarang memeluk si kecil pun boleh menyebabkan mereka mudah dijangkiti penyakit!
Pegawai Perubatan Bahagian Kecemasan dan Trauma Hospital Tuanku Ja'afar Seremban, Negeri Sembilan, Dr Ahmad Luqman Bukhari berkongsi, mungkin sebab selama ni kita jarang peluk si kecil kita yang buatkan dia kerap batuk, selesema dan lagi teruk sampai selalu sangat demam.
"Kadang tu memanglah kita dah usaha jaga bab makan, kita suapkan anak diet yang ada zat dan vitamin berkhasiat. Tapi kita terlupa pula nak jaga bab emosi dan berikan dia sentuhan fizikal.
"Selalunya individu yang kerap tertekan, rasa tak disayangi, mudah benar dijangkiti penyakit sebab stres tu sendiri beri efek tak baik pada imuniti pertahanan badan manusia," kongsi beliau di posting Facebooknya baru-baru ini.
Menurutnya, disebabkan itulah kena tahu, yang selain daripada langkah selalu cuci tangan, dapatkan rehat yang cukup, elakkan bertemu orang yang tengah tak sihat, rupanya selalu dipeluk dengan kasih sayang ni dapat jauhkan kita dari dijangkiti penyakit.
Kata Dr Ahmad Luqman, beliau sendiri rasa teruja bila dapat tahu fakta menakjubkan ni.
Kajian membuktikan hasil pelukan
Kongsinya, satu kajian kumpulan yang diketuai oleh Profesor Psikologi dekat Carnegie Mellon University, Amerika Syarikat sana, Sheldon Cohen, menemui bahawa golongan yang kerap stres tadi ni bila kerap dipeluk dan diberi sokongan moral, kebarangkalian untuk terkena jangkitan demam selesema jadi lebih rendah.
Hal itu berbeza berbanding golongan yang stres dan bersendirian tanpa kasih sayang.
"Kajian ni memang ada dipamerkan kat dalam Jurnal Psychological Science. Sebab tu saya nak sarankan kat mak ayah semua, kita ni bukan setakat kena ucapkan kat si kecil kita tu yang kita sayang kat dia, tapi kena tunjuk juga melalui sentuhan dan pelukan dari tangan kita sendiri.
"Masa nak peluk tu, turunlah melutut dulu. Biar mata kita dan mata si kecil tu selaras atau satu level. Kemudian peluk dan rapatkan dada kita sampai bertemu dengan dada anak kita.
"insya-ALLAH bila kita selalu peluk dan beritahu betul-betul yang kita sayang sangat kat dia, kesihatan emosi dan fizikal si comel tu akan jadi lebih bagus dan tak mudah nak jatuh sakit," katanya.
Beliau turut berharap ilmu ini disebarkan kepada mak ayah yang lain kerana pasti ramai lagi yang belum tahu tentang fakta ajaib ni.
Moga bermanfaat! -AG #janganputusasamalaysia
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang