Unik, lepat liat guna bunga chica. Menarik!
CUACA panas setiap awal tahun sekitar bulan Februari hingga Mac mendatangkan rezeki kepada penduduk yang tinggal di kawasan utara negeri Kedah.
Masakan tidak, pada waktu itu, jualan kuih lepat liat bunga chica bertambah sekali gus memberi tambahan wang saku kepada para peniaga.
Ujar seorang pembikin kuih berkenaan, Ismail Mohamed, pada dua bulan berkenaan, orang ramai akan berpusu-pusu mengutip bunga chica untuk dijadikan bahan tambahan dalam kuih berkenaan.
Beritahu lelaki itu, bunga chica atau nama saintifiknya stereospermum xylocarpum tumbuh di dalam hutan dan bunganya akan luruh ketika cuaca panas terik.
"Sebenarnya, pokok bunga chica tumbuh meliar dan saya boleh gambarkan saiz batangnya ibarat satu pemeluk orang dewasa. Namun, di sini untuk dapatkannya tidak sesukar mana," katanya yang merupakan seorang tenaga pengajar di salah sebuah sekolah di Tangkak, Johor.
Untuk Ismail, beliau akan mengutip bunga chica berwarna putih keunguan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah ibunya di Kuala Nerang bagi menghasilkan kuih lepat liat.
"Bunga chica yang siap dikutip akan dicuci dan dikeringkan seharian di bawah panas terik matahari sebelum saya gunakan untuk membuat kuih berkenaan.
"Ada sesetengah penduduk, akan menukarkan tekstur bunga chica menjadi serbuk agar dapat bertahan lama," katanya.
Mengenai cara menghasilkan kuih lepat liat bunga chica, kata Ismail, cara memasaknya sama seperti kuih lepat biasa. Bezanya, cuma menambah bunga chica dalam adunan kuih sebagai elemen penyedap.
"Bukan sahaja sedap, bunga chica juga akan mengeluarkan aroma wangi bunga pada setiap gigitan. Memang lazat, susah saya nak gambarkan dengan kata-kata," tuturnya sambil memberitahu, resipi itu dipelajari daripada ibunya, Siti Liah Yaacob.
Pada masa sama, Ismail turut berkongsi tip sebelum menggunakan bunga chica.
"Pastikan bunga chica dibasuh dengan bersih dan dijemur sehingga kering sebelum digunakan. Pun demikian, orang ramai jangan keliru antara bunga chica dengan bunga tekoma atau bunga sakura Malaysia kerana ia tidak boleh digunakan dalam masakan," pesannya.
PROFIL
- Nama: Ismail Mohamed
- Umur: 39 tahun
- Asal: Kuala Nerang, Kedah
- Menetap: Tangkak, Johor.
RESIPI KUIH LEPAT LIAT BUNGA CHICA
Bahan-bahan
- 500 gram tepung pulut
- 200 gram gula pasir
- 2 cawan pati santan
- 2 helai daun pandan
- 1 cawan serbuk bunga chica
- Minyak masak
- Daun pisang secukupnya (dilayur)
Cara penyediaan:
- Masak air, gula pasir dan daun pandan sehingga gula larut.
- Ketepikan dan biarkan sejuk.
- Dalam satu bekas masukkan tepung pulut, santan, serbuk bunga chica dan sendukkan gula yang dimasak tadi sedikit demi sedikit sehingga tepung menjadi doh yang lembut.
- Ambil daun pisang kemudian oleskan minyak diatasnya.
- Letakkan 1 sudu besar tepung tadi dan lipat dengan kemas.
- Ulang cara tadi sehingga habis.
- Kukus kuih sehingga masak sekitar 10 hingga 15 minit.
- Kuih lepat liat bunga chica siap untuk dihidangkan.
Sumber: Ismail Mohamed
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang