PERCUBAAN berani rapper, MK daripada kumpulan K-Clique melibatkan diri dalam dunia lakonan ternyata membuahkan hasil.
Akui MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan, rezekinya dalam bidang lakonan semakin baik sejak akhir-akhir ini.
"Alhamdulillah tawaran itu memang ada. Saya lihat tawaran berlakon sebagai satu peluang dan saya serius dengan peluang yang diberikan.
"Macam pengarah Oh My Hantaran, Shuhaimi Lua cakap, apa yang penting ada minat dan kesungguhan.
"Buat masa ini, saya masih dalam fasa pembelajaran, saya perlu mencari ilmu dan banyak lagi yang perlu saya pelajari,” ujar jejaka berusia 25 tahun itu ketika ditemui pada majlis sidang media drama terbaharu lakonannya, Oh My Hantaran yang diadakan secara virtual pada Selasa.
[caption id="attachment_68551" width="1024"] MK mengakui semakin serius dalam bidang lakonan.[/caption]
Selain MK, drama bersiri 20 episod yang disiarkan di slot Diandra TV9 itu turut dibintangi rakan sekumpulannya, Noki serta Elisya Sandha.
Dalam drama berkenaan, MK memegang watak gengster kampung bernama Rizal, yang cuba memusnahkan impian perkahwinan Mail dan Mira.
Bagi membuktikan kesungguhannya dalam bidang lakonan, anak kelahiran Tawau, Sabah itu masih berusaha untuk memperbaiki dialeknya dan memasuki kelas lakonan.
"Saya tidak akan selama-lamanya kekal dengan dialek Sabah sebab saya nak juga cuba pelbagai watak lagi.
"Insya-ALLAH saya akan berusaha untuk ubah dan belajar juga tentang dunia lakonan seperti memasuki kelas.
"Selain itu saya juga menonton drama-drama tempatan dan dari situ saya belajar tentang sudut kamera dan cara berlakon,” katanya yang berharap diberi peluang membawa watak antagonis.
[caption id="attachment_68552" width="640"] Berharap tahun 2022 akan lebih baik buat semua.[/caption]
Dalam pada itu, ditanya perancangannya untuk tahun 2022, MK berkata, dia berharap dapat mengatur kembali kerjaya seninya dengan lebih baik.
Katanya, selain mahu memantapkan lagi karier lakonan, dia juga berharap perancangan K-Clique untuk tampil dengan projek baharu dipermudahkan.
"Setelah lama K-Clique berehat, kami merancang untuk kembali aktif dengan lagu baharu.
"Saya juga berharap berpeluang sertai lebih banyak kelas lakonan untuk tahun 2022,” jelasnya.