SETELAH hampir dua tahun menyepi, penyanyi rap dan penggubah lagu, Sharifah Zamaera Al Edros Syed Zafilen atau lebih dikenali sebagai Zamaera kembali dengan album, Mixtape Heart Break To Heal.
Ujar Zamaera membuka bicara, pandemik Covid-19 telah banyak membuka mata tentang apa yang dimahukan dalam kerjaya dan kehidupan peribadi.
"Album ini merungkai kisah hidup saya, yang menceritakan tentang cinta, kehilangan, pemulihan dan penemuan semula diri saya,” ujarnya.
Menariknya, album yang mengandungi enam buah lagu dalam Bahasa Inggeris, empat buah lagu dalam Bahasa Melayu dan sebuah ‘Interlude’ ini didatangkan dalam bentuk peranti USB yang menyerupai sebuah kaset klasik.
Selain itu, pembeli juga akan menerima sebuah photobook 65 halaman yang mengandungi lirik tulisan tangan dengan visual yang menarik.
Berkongsi mengenai pembikinan albumnya itu, Zamaera mengambil masa selama lapan bulan untuk menyempurnakan Mixtape tersebut agar ia betul-betul kena dengan cita rasa dirinya yang sebenar.
"Semuanya bermula pada bulan April lalu, saya memperuntukkan masa selama lima bulan untuk menulis kesemua lagu.
"Proses rakaman pula berlangsung selama sebulan di Studio Mass Music bersama produser muzik, Ming-A-Ling atau Ming. Manakala, proses adunan dan mastering pula mengambil masa selama sebulan.
"Seronok rasanya dapat berkarya sebebas-bebasnya kerana segala yang lahir adalah ilham saya sendiri. Ming faham etika bekerja saya dan kami sangat serasi di dalam studio kerana beliau sendiri mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang muzik,” jelas Zamaera.
[caption id="attachment_70099" width="640"] UNIK... Album terbaharu Zamaera seolah-olah kaset lama.[/caption]
Tambahnya, dalam dunia moden serba digital sekarang, pelbagai akses boleh diperoleh secara atas talian, dan dia menggunakan peluang itu sebaik mungkin.
"Memandangkan ketika proses pembikinan album dibuat, semua masih terikat dengan pandemik, jadi cara terbaik untuk mengumpul material adalah secara atas talian.
"Sembilan daripada 11 lagu yang terkandung dalam Mixtape adalah ciptaan produser muzik antarabangsa, LouXtwo, yang pernah menghasilkan ciptaan buat artis terkenal antarabangsa seperti Chris Brown, Bad Bunny, Tory Lanez serta Russ & Wale.
"Kesemua lagu yang terkandung dalam Mixtape disusun mengikut aturan kronologi hidup saya kecuali Distance dan Syukur yang menuju refleksi diri, penerimaan dan penemuan,” ujarnya.
Impian kecil
Sebagai artis rap wanita di Malaysia, pelbagai rintangan yang terpaksa Zamaera tempuhi, namun katanya :"Ramai beranggapan, sebagai rapper wanita anda perlu menjadi yang terbaik, cuma ada satu dan seakan berada dalam perlumbaan siapa nombor satu.
"Kini, setelah lebih matang dan berpengalaman, saya rasakan setiap wanita yang saya temui menjadi saudara, guru atau teman yang pernah melalui kekecewaan dalam hidup.
"Mungkin satu hari saya dapat bekerjasama dengan lebih ramai rapper wanita Malaysia yang hebat seperti Sophia Liana, Yunohoo, Kayda atau Bunga, dan tak sabar apa keajaiban yang bakal berlaku,” katanya berkongsi impian kecilnya.
Album Mixtape Heart Break To Heal boleh mula dibeli di laman web rasmi officialzamaera.com pada harga pada harga RM69.00 seunit.