Kaedah Penjagaan Ibu Kanggaru (KMC) 'terapi' terbaik untuk kelahiran anak tak cukup bulan. Para ibu boleh cuba pendekatan ini

Iklan
f-kmc

FATEEN NAJEHAN Tuan Hussain menguntum senyuman tatkala melihat anak perempuannya, Aisyah Humaira Mohd Afiq yang berumur setahun berlari sambil ketawa girang di taman.

Anak sulungnya dilahirkan pada 3 Januari 2020 merupakan bayi pramatang. Si kecil itu dilahirkan sebulan lebih awal dan mempunyai berat badan hanya 1.4 kilogram.

Iklan
Iklan

Mempunyai bayi pramatang sememangnya pengalaman yang mencemaskan bagi kebanyakan pasangan termasuklah Fateen, 32, dan suaminya, Mohd Afiq Zulkifli, 33.

Mengimbau cerita lalu, Fateen Najehan berkata, ketika kandungan masuk minggu ke-32, beliau ke Klinik Kesihatan Kampung Pandan untuk pemeriksaan rutin.

Iklan

Pun demikian, doktor memaklumkan bayinya agak kecil daripada sepatutnya. Pada masa sama, wanita berkenaan didiagnos menghidap praeklampsia yang teruk.

Praeklampsia adalah komplikasi kehamilan yang mempunyai ciri-ciri tekanan darah tinggi dan tanda kerosakan yang teruk pada sistem organ yang lain terutama hati dan buah pinggang.

Iklan

Lazimnya, hal tersebut berlaku selepas kehamilan 20 minggu bagi wanita yang sebelumnya mempunyai tekanan darah normal.

"Atas nasihat doktor, saya dirujuk ke Hospital Ampang dan menjalani pembedahan emergency caesarean," kata ibu kepada dua orang cahaya mata itu kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut Fateen Najehan, anaknya lahir sebagai Baby Intrauterine Growth Restriction (IUGR) terpaksa ditahan di Unit Penjagaan Intensif Bayi Yang Baru Dilahir (NICU) selama sebulan kerana tidak cukup berat badan.

IUGR merujuk kepada situasi janin tidak membesar seperti yang dijangkakan untuk tahap kehamilan.

Kata wanita itu, pengalaman menjadi ibu kepada bayi pramatang sangat mencabar kerana mereka sama sekali tidak menjangka akan menyambut kelahiran anak pertama mereka sebulan lebih awal.

Beliau dan suami terpaksa berulang-alik dari rumah mereka di Wangsa Maju ke NICU Hospital Ampang untuk dilatih menjaga bayi pramatang mereka menggunakan kaedah Penjagaan Ibu Kanggaru (Kangaroo Mother Care atau KMC).

Langkah intervensi

Mengulas lanjut, Pakar Pediatrik dan Neonatologi, Sunway Medical Centre Velocity, Dr Hasmawati Hassan berkata, bayi pramatang ialah bayi yang dilahirkan lebih awal dari tempoh kehamilan 37 minggu.

Pada setiap tahun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan, seramai 15 juta bayi dilahirkan sebagai pramatang iaitu seorang dalam 10 bayi. Lebih daripada 60 peratus kelahiran berlaku di Afrika dan Asia Selatan.

"Di Malaysia, kira-kira 12.3 peratus kelahiran bayi ialah bayi pramatang iaitu sekitar 500,000 bayi pramatang setahun.

Beliau menambah, kelahiran bayi pramatang yang kurang berat badan (kurang daripada 2.5 kilogram) menyumbang kepada 60 peratus hingga 80 peratus kematian neonatal.

"Bagaimanapun, keadaan ini boleh dicegah dengan menggunakan langkah intervensi seperti kawalan infeksi dengan mengamalkan langkah kebersihan yang betul, menyusu badan dan KMC di antara ibu dan bayi.

"KMC menyediakan penjagaan perkembangan untuk bayi pramatang selama enam bulan dan bayi yang dilahirkan cukup bulan selama tiga bulan. Amat penting untuk memenuhi keperluan bayi termasuk perlindungan daripada jangkitan, keselamatan dan kasih sayang," katanya.

Alternatif

Dr Hasmawati yang juga Naib Presiden Kangaroo Mother Care Advocate Malaysia berkata, KMC disyorkan untuk semua bayi sebaik sahaja dilahirkan. Ia bagi memastikan penjagaan yang sempurna termasuk ketika memindahkan bayi yang sakit selepas dilahirkan ke pusat kesihatan.

"Ini model penjagaan iaitu alternatif kepada inkubator bagi bayi pramatang dan juga disyorkan oleh WHO di semua negara sebaik sahaja bayi pramatang distabilkan selepas dilahirkan," katanya.

Bagaimana cara betul untuk penjagaan ibu kanggaru? Untuk mengamalkan kaedah berkenaan, si ibu perlu memakai kantung pembawa yang khusus, sebelum meletakkan bayi, antara payu dara dalam keadaan kedudukan bayi yang menegak.

Menurut Dr Hasmawati, kepala bayi perlu dipalingkan sebelah dan berada pada kedudukan yang tinggi sedikit supaya tidak menghalang saluran pernafasan bayi.

Menurut pakar berkenaan lagi, bukti klinikal menunjukkan KMC berkesan dalam meningkatkan perkembangan saraf bayi yang baru dilahirkan, menstabilkan fungsi fisiologi dan menurunkan tekanan yang dihadapi oleh ibu selepas melahirkan bayi.

"KMC juga memulakan proses jalinan hubungan di antara ibu dan bayi, meningkatkan daya tidur serta perkembangan otak.

"Penyusuan badan menggunakan kaedah KMC untuk bayi pramatang menyumbang kepada peningkatan sistem imun bayi. Ini juga membantu mempercepatkan pertumbuhan bayi dan membolehkan mereka keluar dari NICU," katanya.

BACA JUGA Minyak panas tak boleh disapu sembarangan pada bayi. Selain sawan, ini impak buruk lain

Modul khas

Ungkap Dr Hasmawati, WHO turut mengesyorkan supaya ibu tidak dipisahkan daripada bayi yang baru dilahirkan.

"Analisis terkini dari WHO menunjukkan terdapat pertambahan risiko kematian dalam kalangan bayi pramatang atau bayi yang kurang berat badan sekiranya KMC tidak diamalkan. Risiko ini adalah 65 kali ganda berbanding kematian akibat jangkitan Covid-19 dalam kalangan bayi yang baru dilahirkan.

"Hakikatnya, seramai 125,000 bayi boleh diselamatkan daripada jangkitan Covid-19 sekiranya KMC diamalkan sepenuhnya," katanya.

Sementara itu, Perunding Kanan Kesihatan Keluarga, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Rosnah Sutan berkata, setakat ini, maklumat kesihatan yang terkini, tepat dan mudah berkenaan dengan penjagaan bayi pramatang yang diamalkan adalah terhad di Malaysia.

Oleh yang demikian, saran beliau, sudah tiba masanya untuk menyediakan pakej pendidikan dan mendidik ibu bapa (sebelum bayi keluar dari NICU) dengan maklumat bertulis yang betul yang dapat membantu penjagaan bayi di rumah.

"Perkara ini penting kerana ramai ibu bapa berasa sukar dan tidak bersedia untuk menjaga bayi mereka selepas keluar dari NICU. Di samping itu, penjagaan bayi pramatang yang baik dan berkualiti di rumah dapat diamalkan sekiranya terdapat informasi yang tepat serta dibantu dengan bahan pendidikan," katanya.

 

Perlukah ibu atau penjaga yang positif Covid-19 diasingkan dengan bayi pramatang?

PANDEMIK Covid-19 yang melanda seluruh dunia sememangnya mengganggu perkhidmatan kesihatan untuk ibu dan bayi. Di Itali misalnya, kematian dalam kalangan bayi pramatang telah meningkat tiga kali ganda!

Senario berkenaan kemudian telah mendorong sekumpulan penyelidik dari Amerika Syarikat menjalankan kajian bertajuk Penjagaan Pramatang semasa pandemik COVID-19: Analisis Risiko Perbandingan Kematian Neonatal Yang Dielakkan Menerusi Penjagaan Ibu Kanggaru Berbanding Kematian Akibat Jangkitan SARS-CoV-2.

Mereka antara lain menjalankan analisis tentang faedah KMC terhadap kelangsungan hidup dalam kalangan bayi pramatang (dengan berat kurang daripada 2 kilogram) berbanding dengan risiko SARS-CoV-2 yang diperoleh daripada ibu atau penjaga yang dijangkiti.

Jurnal penyelidikan yang baru diterbitkan oleh The Lancet pada Mac 2021 mendapati, 1,950 kematian neonatal adalah berpunca daripada virus Covid-19. Namun, seramai 125,680 nyawa bayi dapat diselamatkan melalui kaedah KMC.

Seperti yang dikatakan oleh Pakar Pediatrik dan Neonatologi, Sunway Medical Centre Velocity, Dr Hasmawati Hassan, manfaat KMC adalah 65 kali ganda lebih tinggi berbanding kematian akibat jangkitan Covid-19 dalam kalangan bayi yang baru dilahirkan.

Justeru, penyelidikan antarabangsa berkenaan mengesyorkan agar penggubal dasar dan profesional terutama di negara-negara membangun menyampaikan mesej yang jelas tentang KMC.

"Ini kerana bayi pramatang lebih berisiko di negara seperti itu. Mereka perlu memahami bahawa dengan KMC, risiko kematian akibat Covid-19 adalah kecil," kata kumpulan penyelidik itu.

Sementara itu, Profesor Madya Dr Kamaldeep Arora yang bertugas di Jabatan Neonatal, Kolej Perubatan dan Hospital Dayanand, India memberitahu Indian Express, walaupun seorang ibu positif Covid-19, risiko penularan kepada bayi jarang berlaku. Jadi, kedua-duanya tidak boleh dipisahkan sama sekali.

"Sehubungan itu, bukan saja ibu, malah bapa juga boleh melaksanakan pendekatan KMC ke atas bayi baru lahir yang biasanya mempunyai daya tahan yang tinggi terhadap virus Covid-19," katanya yang menyifatkan mengasingkan ibu dan anak adalah tindakan yang tidak masuk akal.

Ujar Dr Kamaldeep, pihaknya berdepan dengan masalah besar untuk mempraktikkan KMC jika ibu dihantar pulang, sedangkan bayi pramatangnya masih dalam pemerhatian. -MAZLINA ABDUL MAJID