WANITA bertubuh kerdil memiliki ketinggian 118 sentimeter (cm) yang perkahwinannya bersama lelaki normal tular di media sosial pada tahun lalu telah bergelar ibu setelah selamat melahirkan cahaya mata lelaki.
Berita gembira tersebut turut dikongsi di laman sosial TikTok milik Syakila Norazma Amira Zuharsema.
Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram!
Menerusi video berdurasi 17 saat itu, dia memaparkan kompilasi video dan foto bersama suami tercinta, Muhammad Azri Zaidi, 20 serta turut kedengaran tangisan bayi yang belum didedahkan wajahnya pada umum.
Bayi lelaki dinamakan Muhammad Ayden Adrian itu dilahirkan secara pembedahan sebulan lebih awal daripada tarikh jangkaan iaitu pada 25 Februari depan.
Wanita berusia 28 tahun itu mengatakan dia terpaksa bersalin awal kerana faktor fizikalnya dan keadaan bayi yang besar.
Menurutnya, kelahiran Muhammad Ayden Adrian menguatkan lagi kasih sayangnya dan suami sekali gus berharap bayi mereka dapat membesar dengan sihat.
Kisah Yaya dan suami pernah menjadi perhatian ramai apabila menyifatkan suaminya yang baik hati tidak memandang rupa paras atau keadaan fizikal wanita berkenaan.
Difahamkan, Yaya dan suami berkahwin pada 18 Mac 2021 selepas berkenalan menerusi permainan dalam talian.
Tahniah Yaya dan suami!