PENYANYI Datuk Hattan berharap setiap stesen televisyen yang menganjurkan program realiti nyanyian mempunyai perancangan khusus terhadap ‘produk’ keluaran mereka.
Ujar Hattan atau nama sebenarnya, Mohd Shukri Shahabudin, beliau sedih melihat nasib artis baharu yang terkapai-kapai untuk mencipta nama dalam industri.
"Kebanyakan penyanyi yang lahir daripada program nyanyian, selepas setahun dua mereka pun menghilang. Saya rasa tidak boleh nak salahkan stesen TV semata-mata. Bagi saya walaupun peserta bukan top 3, tetapi jika betul percaturannya, tidak mustahil boleh jadi artis ternama.
"Cuma pada pandangan saya, stesen TV juga perlu ada perancangan khusus sekurang-kurangnya untuk juara sehingga pemenang tempat ketiga,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran program Mic On! musim kedua di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Hattan bertindak selaku juri tetap dalam program itu bersama Datuk Awie dan Mas Idayu.
Tambah figura berusia 57 tahun itu, beliau berasa kasihan melihat kelangsungan kerjaya artis masa kini yang hanya bergantung kepada single semata-matanya.
Jelasnya, ia berbeza dengan industri muzik dahulu, di mana setiap artis berpeluang menghasilkan album.
"Kebanyakan artis sekarang tampil dengan single sahaja, jadi tidak ada yang boleh jadi big artist. Kelangsungan kerjaya mereka hanya bergantung pada single. Berbeza ketika zaman saya, Awie, Mas Idayu, kami ada album dan Alhamdulillah kami masih bertahan sehingga sekarang.
"Saya selalu pesan pada generasi baharu, kalau ada modal, buat album, promosi melalui YouTube. Kalau harapkan single, memang tak ke mana,” jelasnya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai trend artis muda yang memilih untuk menyanyikan semula lagu lama, Hattan berkata, tidak ada istilah menumpang populariti lagu lama, sebaliknya ia secara tidak langsung membantu komposer lama untuk kembali bernafas.
"Bagi saya menyanyikan semula lagu lama ini adalah sebahagian daripada pemasaran. Tetapi sebenarnya bagus juga.
"Apatah lagi, melodi lagu dulu memang sangat kuat, sebab itu orang panggil lagu malar segar. Secara tidak langsung dapat juga membantu komposer lama.
"Tidak ada istilah tumpang populariti sebaliknya saya lihat ia sebagai cross over market, macam ketika saya bekerjasama dengan Waris sebelum ini,” jelasnya.