Haid lewat, senggugut teruk? Jangan keliru antara endometriosis dan Sindrom Ovari Polisistik

Iklan
Gambar hiasan (2)

ENDOMETRIOSIS dan Sindrom Ovari Polisistik (PCOS). Kedua-dua situasi ini biasa berlaku dalam kalangan wanita. Namun masih ramai yang tidak mengetahui gejala, kesan serta cara-cara untuk membezakannya.

Kedatangan haid yang lewat, menyakitkan serta secara tidak menentu boleh dijadikan sebagai petanda bahawa sesuatu yang lebih serius sedang berlaku di dalam tubuh seseorang wanita. Namun begitu, petanda ini tidak mudah untuk diklasifikasikan jenis penyakitnya hanya daripada satu punca.

Iklan
Iklan

Sempena Bulan Kesedaran Endometriosis Mac ini, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Farah Leong Rahman dan Dr Ashley Chung Soo Bee berkongsi lanjut  tentang endometriosis dan PCOS, pilihan rawatan dan langkah seterusnya yang boleh diambil untuk mendapatkan kualiti hidup yang lebih baik.

Iklan

[caption id="attachment_73512" width="800"] Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Farah Leong Rahman (kiri) dan Dr Ashley Chung Soo Bee[/caption]

Baca juga: Jika Anda Selalu Senggugut Yang Kronik Atau Heavy Period… Rujuklah Doktor Segera

Iklan

Haid yang tidak menentu atau haid yang menyakitkan?

Menurut Dr Farah, kedua-dua penyakit itu berbeza yang mana PCOS berlaku disebabkan tahap hormon abnormal di dalam tubuh serta tahap insulin yang tinggi.

"Antara simptom umum bagi PCOS adalah haid yang jarang berlaku dan tidak menentu, kenaikan berat badan, muka berminyak, pertumbuhan rambut di tempat yang tidak diingini atau masalah jerawat yang disebabkan oleh peningkatan penghasilan hormon lelaki," katanya.

Manakala endometriosis pula adalah sejenis penyakit di mana tisu-tisu yang melapisi rahim mula tumbuh di tempat lain seperti pada ovari, rahim, tiub Fallopio, usus atau jarang sekali berlaku di paru-paru.

"Simptom yang dialami oleh setiap wanita mungkin berbeza tetapi mereka boleh mengalami haid yang menyakitkan, sakit semasa atau selepas melakukan hubungan seks atau sakit yang berterusan di bahagian bawah perut atau belakang," tambahnya.

Baca juga: [VIDEO] Ini Cara Mudah Hilangkan Sakit Senggugut Ketika Haid

Golongan berisiko endometriosis dan PCOS?

Endometriosis lebih kerap berlaku. Ia menjejaskan satu daripada 10 wanita di seluruh dunia. Dr Ashley  menjelaskan wanita berisiko tinggi mengalami endometriosis ketika berada di fasa usia reproduktif mereka.

"Ahli keluarga kepada wanita yang menghidapi PCOS mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami keabnormalan metabolik yang sama,” jelasnya.

Menurut Dr Ashley dalam sesetengah keadaan, pesakit boleh mengalami kedua-dua penyakit ginekologi itu sekali gus.

Justeru pesakit disaran untuk mendapatkan nasihat dan bantuan perubatan sewajarnya agar rawatan yang lebih tepat dapat diberikan.

Baca juga: Boleh Keluarkan Wang KWSP Untuk Rawatan Kesuburan

Peluang untuk hamil

Wanita yang menghidapi PCOS atau endometriosis berpeluang untuk hamil secara semula jadi. Bagaimanapun segelintir daripadanya memerlukan bantuan perubatan.

"Bagi wanita yang mengalami PCOS, mereka mengalami haid yang tidak teratur atau haid yang jarang berlaku. Terdapat kekurangan ovulasi (pelepasan telur dari ovari) yang menyebabkan kesukaran untuk mengenal pasti tempoh subur mereka.”

"Manakala wanita dengan endometriosis, mereka mungkin mempunyai anatomi pelvis yang terbalik, parut tisu di sekeliling ovari dan tiub Fallopio yang menjadikan ia persekitaran kurang kondusif untuk kehamilan," jelas Dr Farah.

Kesan jangka panjang

Dengan sista (cysts) endometriosis yang ditemui di pelbagai lokasi seperti tiub Fallopio, usus, pada, di belakang atau di sekitar rahim di kawasan antara faraj dan rektum, pendarahan yang berlaku boleh menyebabkan kesakitan, keradangan dan parut. Malah organ terbabit mempunyai kemungkinan untuk mengalami kerosakan.

"Saya menyarankan wanita mendapatkan nasihat daripada pakar sakit puan jika mengalami haid yang menyakitkan, kerap berasa sakit sebelum, ketika, atau selepas haid, berasa sakit atau tidak selesa semasa melakukan hubungan seks, sakit yang berkaitan dengan pergerakan usus dan pundi kencing atau kesukaran untuk hamil. Ia mungkin endometriosis,” kata Dr Ashley.

Dalam pada itu, Dr Ashley turut menjelaskan bahawa PCOS mungkin dialami secara berbeza-beza bagi setiap wanita yang mana sesetengahnya mengalami gejala yang lebih ringan manakala yang lain mengalami gejala yang lebih teruk.

"Sebaik sahaja mendapat diagnosis PCOS, risiko untuk mendapat masalah kesihatan jangka panjang yang lain seperti penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi, kemurungan dan isu psikologi serta kanser rahim adalah tinggi.

"Sekiranya tidak datang haid selama lebih empat bulan, jumpalah pakar sakit puan untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut,” katanya lagi.

Rawatan

Dr Farah berkongsi bahawa penawar bagi endometriosis dan PCOS masih lagi tidak dijumpai sehingga kini. Bagaimanapun, terdapat kaedah perubatan yang boleh mengurangkan simptom yang dialami pesakit.

"Rawatan utama bagi wanita yang menghidapi PCOS adalah perubahan gaya hidup seperti mengekalkan berat badan optimal, mengamalkan corak pemakanan yang sihat dan seimbang serta melakukan senaman dengan kerap.”

"Manakala bagi wanita dengan endometriosis, pengurusan dan cara rawatan penyakit ini bergantung pada tahap keseriusan simptom dan jika ianya menganggu kualiti kehidupan seharian pesakit.

"Satu lagi perkara penting untuk dipertimbangkan adalah sama ada seseorang pesakit itu merancang untuk hamil atau tidak. Pembedahan akan dilakukan apabila rawatan perubatan gagal atau sekiranya simptom penyakit tidak dapat dikurangkan dengan pengambilan ubat-ubatan," katanya.

Baca juga: Pesakit PCOS Disaran Turunkan Berat Badan, Itu Cara Mudah Untuk Hamil

Jom follow Sinarplus di Instagram!