MASJID merupakan tempat ibadah bagi masyarakat beragama Islam.
Madinah, Arab Saudi merupakan lokasi bersejarah yang mencatat kewujudan rumah ALLAH terawal dibina selepas penghijrahan Rasullullah SAW dari Makkah ke Madinah.
Selepas lebih 1,400 tahun, ratusan ribu masjid sudah dibina di seantero dunia.
Ada yang bersifat sederhana, namun lebih banyak yang memiliki seni bina dan dekorasi memukau.
Antara yang paling menarik perhatian SinarPlus ialah sebuah Masjid Larabanga yang terletak di Ghana. Ia memiliki seni bina yang luar biasa dan berbeza berbanding kebiasaan.
[caption id="attachment_74063" width="800"] Keadaan bahagian dalam masjid yang masih digunakan untuk melakukan ibadat oleh penduduk setempat.[/caption]
Menurut Times Indonesia, masjid berkenaan didirikan untuk kira-kira 17.6 peratus penduduk negara terbabit yang beragama Islam.
Seperkara yang mengagumkan, bangunan unik itu dikatakan telah dibina sekitar tahun 1421. Disebabkan itu, ia menjadi antara lokasi bersejarah dan sering dilawati para pelancong.
Mengikut cerita, rumah ibadat tersebut dibangunkan oleh seorang saudagar kaya bernama Ayuba. Beliau dipercayai daripada kaum Moor yang secara kebetulan ingin berehat seketika di Larabanga.
Disebabkan keletihan, beliau telah tertidur dan mimpi yang dilaluinya telah mendorong lelaki tersebut mendirikan sebuah masjid di situ.
Setelah terjaga, Ayuba berasa terkejut apabila melihat kawasan sekitarnya sudah tersedia tapak lokasi untuk membina sebuah rumah ALLAH.
Tanpa berlengah, beliau pantas melaksanakan dengan menginspirasikan seni bina sebuah masjid dari negara Sudan.
HANYA GUNAKAN LUMPUR
Memiliki beberapa menara dan diperbuat daripada lumpur bersama rumput lalang, adunan tersebut digaul sebati sebelum menjadi lapisan dinding masjid.
Setiap sisi masjid memiliki pintu masuk berbeza yang dikhaskan untuk laluan jemaah lelaki, perempuan, ketua kampung dan bilal.
Setelah sekian lama, masjid itu dikatakan masih kukuh dan bertahan sehingga ke hari ini termasuk digunakan sebagai tempat beribadah penduduk setempat.
Meskipun begitu, masjid berkenaan pernah berdepan dengan ancaman kerosakan sekitar tahun 1970-an.
Pemerintah ketika itu telah menggunakan simen untuk membaik pulih, namun usaha tersebut telah memburukkan lagi keadaan.
Mana tidaknya, selain kulat tumbuh melata, kehadiran serangga perosak telah merosakkan struktur asli bangunan.
Situasi tersebut lantas menarik perhatian World Monuments Fund, Ghana Museums and Monuments Board dan American Express untuk membantu memelihara semula bangunan ikonik itu.
Tidak menggunakan sebarang bahan moden atau teknologi mewah, pihak bertanggungjawab menjaga Masjid Larabanga dengan hanya menggunakan lumpur untuk membaiki dan mengukuhkan lapisan struktur bangunan.
Pelancong yang ingin melawati Masjid Larabanga akan dikenakan bayaran sebanyak GH¢ 1.00 (RM0.62).
Individu beragama Islam sahaja dibenarkan masuk ke dalam, manakala yang lain hanya dibenarkan untuk berada di luar bangunan.
Sumber: Arabnews, Times Indonesia, Kompas, Mosqpedia
Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram