SETELAH 38 jam dilaporkan hilang selepas terjatuh dari bot laju, mayat pelakon cantik Thailand, Tangmo Nida, 38, akhirnya dijumpai oleh pasukan penyelamat tempatan pada Sabtu.
Bagaimanapun di sebalik tragedi mengejutkan itu, ibu Tangmo, Panida Sirayutthayothin meluahkan rasa sangsi dan tidak percaya bahawa kematian anak kesayangannya itu akibat terjatuh secara tidak sengaja dari bot laju itu.
"Ada beberapa perkara yang membuatkan saya berasa sangsi. Antaranya adalah satu gambar yang menunjukkan anak perempuan saya berada dalam keadaan sedih ketika duduk bersendirian di belakang bot.
"Bukan itu sahaja, Tangmo dikatakan bertengkar dengan salah seorang daripada mereka sebelum itu. Dia juga berada di dalam bot itu bersama pengurus dan empat rakannya, tak mungkin tak ada seorang pun yang tidak menyedari dia jatuh,” katanya kepada media tempatan.
[caption id="attachment_74330" width="800"] Abang Nida, Dayos Detjob, 44, antara yang menyertai operasi mencari Tangmo.[/caption]
Bukan itu sahaja, pelakon Ekkapun Bunluerit, yang menyertai pasukan mencari berkata terdapat luka dalam pada paha Tangmo.
Bagaimanapun Ketua Polis Nonthaburi, Mej Jen Paisal Wongwatcharamongkol berkata, setakat ini hanya pemandu bot itu yang akan didakwa kerana tidak mempunyai lesen.
Mayat Nida ditemui terapung di sungai sekitar 300 meter dari Pibulsongkram Pier, Nonthaburi, Bangkok, kira-kira 1 kilometer dari lokasinya terjatuh.
Aktres yang pernah membintangi filem The Flying Leaf itu dipercayai terjatuh ke dalam sungai pada 11 malam Khamis lalu ketika menaiki bot laju di Sungai Chao Phraya bersama-sama empat rakannya dari Krung Thon Bridge ke Rama VII Bridge.
Menurut laporan media tempatan, Tangmo atau nama sebenarnya Nida Patcharaveerapong tidak memakai jaket keselamatan duduk di bahagian paling belakang sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai.