Dunia seni bukan lagi keutamaan Saharul Ridzwan

Iklan
SAHARUL RIDZWAN

SELEPAS melalui perhijrahan dan fasa baharu dalam kehidupannya pelakon Saharul Ridzwan mengakui semakin memperlahankan rentak dalam kerjaya seni.

Bagaimanapun, Saharul, 33, berharap peminat tidak mengaitkan perkara itu dengan penampilan terkini dirinya, sebaliknya lebih kepada perancangan lain yang menjadi pilihan.

Iklan
Iklan

Dalam masa sama bintang drama Korban Kasih itu berkata, tidak pernah menyalahkan keadaan dalam industri seni, tetapi menyedari kelemahan diri yang tidak mampu untuk terus aktif seperti mana sebelum ini.

"Saya tidak ada letak-letak apa syarat apabila mendapat tawaran berlakon selepas melalui fasa baharu ini. Cuma saya akui diri sendiri yang lemah.

Iklan

"Bukan nak cakap industri ini tidak bagus, tetapi saya yang tidak boleh teruskan.

Saya sekarang sedang belajar nak solat awal waktu, nak pergi ke masjid dan nak bagi ilmu agama pada anak dan isteri.

Iklan

"Saya tak nampak perkara itu boleh dilakukan jika sibuk di lokasi penggambaran. Misalnya jika saya tetapkan call time jam 8 pagi sehingga 6 petang sahaja, ia akan susahkan orang lain dan datangkan fitnah pada agama pula. Jadi saya kena buat keputusan sendiri,” katanya.

Saharul yang ditemui pada sidang media pengumuman pakej umrah bersama barisan selebriti oleh Syabibah Travel & Tours baru-baru ini bagaimanapun tidak menolak untuk mempertimbangkan tawaran lakonan sekiranya bersesuaian.

"Saya masih lagi mahu berlakon. Insya-ALLAH jika betul ada rezeki dalam lakonan nanti, saya akan buat. Siapa tahu mungkin selepas ini akan hadir seseorang yang memahani situasi saya dan memberikan tawaran sesuai.

"Sebelum ini tawaran memang ada sahaja diberikan cuma saya terpaksa tolak atas beberapa faktor. Lagi pun sekarang lebih banyak fokus kepada perniagaan yang saya usahakan sebelum ini,” katanya yang kali terakhir tampil dengan drama Mr Bibik pada hujung tahun lalu.

Umrah Ramadan

Berkongsi lebih lanjut tentang perniagaan diceburi, bapa kepada dua anak itu mengakui masih lagi baharu dan banyak yang perlu dipelajari untuk lebih berjaya pada masa akan datang.

"Alhamdulillah saya sekarang banyak dapat peluang dalam bidang perniagaan. Mungkin ALLAH nak bagi saya rezeki dengan cara yang lain pula.

"Sebelum ini saya berniaga macam-macam produk. Terbaru bekerjasama dengan Nabil Ahmad untuk buka kedai steak dan dalam masa sama, saya juga merancang mengembangkan bisnes produk serum habatus sauda.

"Walaupun bisnes saya ni kecil sahaja dan tidaklah mendatangkan keuntungan yang banyak sebagaimana berlakon, tapi alhamdulillah sentiasa cukup untuk saya dan keluarga,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saharul bakal mengerjakan umrah bersama barisan selebriti lain seperti Zulin Aziz, Bell Ngasri dan Faizal Ismail pada Ramadan depan apabila menerima jemputan istimewa dan ditaja menerusi pakej umrah Syabibah Travel & Tours.

"Insya-ALLAH saya akan bawa isteri sekali. Mudah-mudahan apa yang dirancang ini dipermudahkan,” katanya.