Sya’ban adalah bulan diangkat semua amalan di sisi ALLAH SWT. Ini ibadah yang perlu kita perhebatkan

Iklan
f kurma

BULAN Sya’ban berada pada susunan turutan kelapan dalam kalendar Hijrah iaitu di antara bulan Rejab dan Ramadan.

Perkataan Sya’ban diambil daripada kata ‘Sya’bun’ yang bermaksud kelompok atau golongan.

Iklan
Iklan

Ia disebut Sya’ban kerana masyarakat jahiliyah berpecah kelompok untuk mencari sumber air atau ada juga pendapat menyatakan berpecah menjadi kelompok untuk melakukan peperangan.

Keistimewaan Sya’ban adalah dikenali sebagai bulan diangkat semua amalan di sisi ALLAH SWT.

Iklan

Nabi Muhammad SAW melazimi dan memperbanyakkan ibadah puasa sunnah dalam bulan ini berbanding bulan-bulan selainnya.

Iklan

Dalam riwayat lain, ‘Aisyah RA pernah mengkhabarkan dengan katanya: "Nabi SAW biasanya berpuasa sehingga kami katakan bahawa baginda tidak akan berbuka (berpuasa terus). Seterusnya Nabi Muhammad SAW apabila berbuka sehingga kami katakan bahawa beliau akan terus berbuka (tidak berpuasa terus).

"Aku tidak melihat baginda SAW menyempurnakan puasanya sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadan. Aku juga tidak pernah melihat baginda SAW berpuasa (puasa sunat) dalam sebulan yang lebih banyak melainkan ketika baginda SAW berpuasa pada bulan Sya’ban." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis pertama yang diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid menunjukkan, Rasulullah berpuasa penuh dalam bulan Sya’ban dan lebih suka amalannya diangkat ketika dalam keadaan berpuasa.

Selain itu, hadis berkenaan juga menunjukkan bahawa umat Islam digalakkan untuk beramal dan melakukan ketaatan ketika manusia sedang lalai.

Sementara, hadis kedua yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah RA pula menunjukkan bahawa Nabi Muhammad SAW banyak berpuasa di dalam bulan Sya’ban. Ini menggambarkan bilangan hari baginda berpuasa dalam bulan ini adalah banyak.

Namun, terdapat juga sebuah riwayat yang lain dilihat seolah-olah bertentangan atau bercanggah dengan dua hadis di atas iaitu: "Adapun Rasulullah SAW berpuasa pada bulan Sya’ban melainkan sedikit." (Hadis Riwayat Muslim). Hadis itu pula memberi gambaran bilangan hari baginda berpuasa adalah sedikit.

Berkaitan riwayat-riwayat hadis yang dilihat saling bertentangan atau bercanggah, para ulama hadis mempunyai beberapa kaedah atau teknik untuk berinteraksi dengan riwayat hadis sedemikian.

Pertama, melalui kaedah 'menghimpunkan antara dua hadis tersebut.'

Jika kaedah tersebut tidak berhasil, maka para ulama hadis akan menggunakan kaedah kedua iaitu dengan melihat pada 'nasikh dan mansukh'.

Seandainya masih tidak berhasil, maka mereka akan menggunakan kaedah ketiga iaitu 'tarjih' (pemilihan).

Jika masih tidak berhasil juga, maka yang terakhir adalah kaedah keempat iaitu 'tawaqquf' (tinggalkan).

PANDANGAN PERTAMA: Sebahagian ulama menyatakan bahawa Nabi SAW berpuasa di bulan Sya’ban secara penuh sebahagian tahun sahaja, manakala pada sebahagian tahun lain, Nabi Muhammad SAW berpuasa sedikit sahaja.

Ini menggambarkan baginda tidak berpuasa secara penuh dalam bulan Sya’ban di setiap tahun.

PANDANGAN KEDUA: sebahagian ulama menyatakan bahawa Rasulullah tidak pernah berpuasa sebulan penuh pada bulan Sya’ban kecuali pada bulan Ramadan sahaja.

Sementara hadis yang menyatakan bahawa baginda berpuasa pada bulan Sya’ban melainkan sedikit, boleh difahami bahawa dari sudut bahasa, jika seseorang yang sering berpuasa boleh dikatakan telah berpuasa sebulan penuh disebabkan kelazimannya terhadap perbuatan tersebut ataupun telah berpuasa sebahagian besar daripada bulan tersebut.

Setelah diteliti dua pandangan tersebut, maka boleh dikatakan bahawa pandangan yang kedua adalah lebih tepat iaitu yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad tidak pernah berpuasa sebulan penuh pada bulan Sya’ban kecuali pada bulan Ramadhan sahaja.

Rasulullah sangat menyukai kerana pada ketika itu amalan tahunan berpeluang diangkat dan dipersembahkan oleh malaikat kepada ALLAH SWT dalam keadaan sedang berpuasa.

Amalan berpuasa sunat juga adalah sebagai persediaan dan persiapan membiasakan diri bagi masyarakat Islam untuk menghadapi bulan Ramadan yang akan akan menyusul setelah bulan Sya’ban melabuhkan tirai.

DR AZRI BHARI

Pensyarah Kanan

Akademi Pengajian Islam Kontemporari,

Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor