IBU kepada pelakon Que Haidar, Rahmah Hussein meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor, sekitar jam 1.20 pagi Ahad.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 68 tahun akibat jangkitan Covid-19.
Difahamkan arwah ibu pelakon filem Rock itu juga menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, masalah jantung dan darah tinggi, sejak beberapa tahun lalu.
Que atau nama sebenar, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar menerusi laporan sebuah akhbar berkata, kali terakhir dia pulang ke kampung bertemu arwah ibunya pada Januari lalu.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Taib Andak, Kulai, Johor, hari ini.
"Alhamdulillah, saya diberi peluang untuk sama-sama kebumikan ibu saya. Hanya Tuhan yang tahu macam mana perasaan saya.
"Moga ibu saya tenang di sana. Bertandang sudah rindu ini," tulisnya dalam satu hantaran di laman Instagram.
(FOTO: INSTAGRAM QUE HAIDAR)