SINKI dapur merupakan tempat kita untuk membasuh pinggan mangkuk, mencuci sayur-sayuran, buah-buahan, ikan dan macam-macam perkara lagilah.
Memang sudah semacam satu tabiat, bahan mentah yang kita mahu masak seperti ikan, ayam, ketam, sotong atau udang, kita juga akan lakukan di sekitar sinki.
Namun, sebenarnya, perbuatan itu tidak digalakkan sama sekali. Mesti ramai tertanya-tanya kenapa tidak boleh berbuat demikian?
Entri Pegawai Perubatan, Hospital Pulau Pinang, Dr Mazliana Mazlan di laman Facebooknya baru-baru memberi jawapan konkrit.
Kata Dr Mazliana, sinki merupakan salah satu tempat yang paling kotor di dalam rumah.
"Pakar mikrobiologi juga mengatakan bahawa sinki sebenarnya lebih kotor dari tandas kerana kandungan bakterianya lebih banyak,” beritahunya.
Pegawai perubatan itu juga berkongsi dapatan kajian Global Hygiene.
Global Hygiene antara lain menyebut, lebih 17,000 bakteria terdapat di setiap inci persegi sinki. Sekitar 13,000 bakteria lagi ada pada paip di sinki.
"Itu baru dikira pada setiap inci persegi, cuba darab dengan saiz sinki rumah kita, berapa banyak kuman yang ada di situ,” soalnya.
Baca juga Cara berkesan cuci sinki tersumbat!
Fuh! Seram pula bila difikirkan.
Okey, daripada mana asalnya bakteria itu?
Maklum Dr Mazliana, ia boleh datang ketika kita membersihkan bahan mentah, lebihan makanan yang dibuang, pinggan mangkuk yang dibiarkan di sinki dan boleh juga berpunca daripada sinki yang sentiasa dalam keadaan lembap dan basah.
Merujuk laman WebMD, zarah makanan di pinggan yang dibiarkan direndam atau dibasuh akan menjadi tempat pembiakan bakteria yang menyebabkan penyakit seperti Escherichia coli dan salmonella.
BASUH DI DALAM BEKAS
Justeru, apa yang perlu kita lakukan bila sudah tahu itu semua?
Menjelaskan lebih lanjut, Dr Mazliana berkata, kita mesti elak daripada meletakkan bahan mentah (seperti sayur, buah, ketam, ikan, udang, ayam, daging dan lain-lain) yang hendak dibersihkan terus ke dalam sinki.
"Lebih baik jika membersihkan bahan makanan mentah menggunakan bekas. Jangan gunakan alasan tidak ‘puas’ kalau bersihkan dalam bekas.
"Kita tidak tahu akan kesan bakteria itu pada tubuh badan sendiri dan anak-anak,” ujarnya.
Menurut beliau, makanan yang belum dimasak juga mempunyai bakteria tersendiri, apatah lagi sekiranya bercampur dengan bakteria sinki.
Kadangkala, apabila kita memasak menggunakan cara yang salah, bakteria masih ada pada makanan. Natijahnya, si pemakan akan berdepan dengan masalahh cirit-birit dan muntah-muntah.
Dalam pada itu, artikel Food and Wine menasihatkan orang ramai untuk membersihkan sinki menggunakan produk disinfeksi yang diperbuat khusus untuk dapur.
Jangan lupa follow kami di Instagram!
"Cuka dan jus lemon juga boleh membersihkan beberapa bakteria, tetapi ia tidak dapat membersihkan patogen yang lebih aktif,” kata laman web itu.