DARI dulu sehingga ke detik ini, nasi ambang yang merupakan makanan yang sinonim dengan masyarakat Jawa di Johor, Selangor dan Perak terus diminati ramai.
Juadah autentik tersebut juga sering menjadi pilihan untuk dihidangkan pada majlis keramaian, kenduri-kendara atau majlis tahlil.
Tidak susah untuk memburu menu tradisional itu yang biasanya disajikan dengan lauk sampingan seperti sambal jawa, serunding kelapa, ikan masin bulu ayam dan mi goreng.
Daripada semua lokasi yang tular di media sosial, mata penulis tertancap dengan persembahan sajian nasi ambang oleh Warung Ketupat Air Tangan Ibu yang terletak di Parit Pinang Seribu, Jalan Abdul Rahman, Muar, Johor.
Pengusahanya, Azizee Aziz nampaknya membawa banyak kelainan. Bukan 10 pilihan lauk-pauk sampingan, tetapi terdapat lebih 50 menu yang pastinya akan membuatkan sesiapa rambang mata!
Salah satu yang menjadi rebutan ramai ialah kulit lembu goreng santan. Ya, bunyi menu tersebut barangkali mengundang pelbagai persepsi, tetapi juadah eksotik itulah yang paling dicari-cari pelanggannya.
"Selain itu, kami juga tampilkan kerang goreng santan yang tidak kurang hebatnya. Jangan risau, pilihan lauk seperti ayam masak kicap juga ada.
Baca juga Penangan Nasi Tupe Cik Tipah. Lepas Subuh ramai dah mula beratur nak makan
"Kami tambahkan lagi seleksi lain seperti ayam masak merah, rendang, kari, ungkep dan ayam goreng berempah untuk memenuhi cita rasa pelanggan yang pelbagai," katanya.
Namun kata bekas jurutera berusia 34 tahun itu, nasi ambang tidak akan sempurna tanpa sambal goreng jawa dan serunding kelapa.
"Kombinasi rasa serunding kelapa yang pedas dan manis juga boleh membuatkan pelanggan rasai kenikmatannya,” ujar beliau yang mengusahakan perniagaan keluarganya sejak tiga tahun lalu.
Akui Azizee, resipi turun-temurun yang diwarisi daripada ibunya, Asiah Samsi@Shamsudin, 59, berjaya menambat hati ramai. Bayangkan, daripada dua buah meja sahaja, kini sudah bertambah menjadi hampir 30 buah meja.
"Saya pun sebenarnya tidak menyangka sambutan yang diterima cukup menggalakkan, syukur alhamdulillah," katanya.
Selain kesedapan menu warung itu, penulis berpendapat, harga set nasi ambang yang dijual cuma RM6 sahaja, manakala untuk set empat orang makan hanya lebih kurang RM45 hingga RM50 sudah cukup menggamit kehadiran orang ramai.
Menariknya lagi tentang Warung Ketupat Air Tangan Ibu, mereka juga menjual juadah lauk hari raya seperti ketupat, lodeh, lepat dan sate pada setiap hari kecuali pada hari Rabu.
"Inilah keunikan warung kami, boleh dikatakan lebih 1,000 ketupat dimasak setiap hari demi memenuhi permintaan. Lagipun, orang Muar memang terkenal dengan ketupat dan sate sebagai sarapan pagi.
Baca juga Makan dalam hutan lengkap tempat mandi-manda, restoran privasi ini yang ramai tidak tahu
"Jadi, jangan terkejut jika berkunjung ke sini, ya. Memang banyak lauk yang kami sediakan dengan penuh kasih sayang," ujarnya.
Nasi Ambeng Warung Ketupat Air Tangan Ibu
- Alamat: Parit Pinang Seribu, Jalan Abdul Rahman, Muar, Johor
- Waktu operasi: 7 pagi hingga 1 petang (kecuali Rabu)
- Menu signatur: Nasi ambeng, kulit lembu goreng santan, set ketupat, lodeh dan asam pedas
- Harga: RM4 hingga RM50
- Facebook: Warung Ketupat Air Tangan Ibu
- Instagram: @warungketupat
Nasi ambang tidak hanya diminati oleh masyarakat Melayu sahaja, malah kaum Cina, India dan lain-lain juga gemar dengan juadah autentik ini.
Menariknya tentang sajian masyarakat Jawa itu, pendekatan menikmati menu itu yang diletakkan dalam dulang yang besar secara tidak langsung mengukuhkan ukhuwah sesama ahli keluarga.
Jangan lupa follow kami di Instagram!
Selain Warung Ketupat Air Tangan Ibu yang terletak di Johor, SinarPlus mengesyorkan beberapa destinasi di negeri lain yang menghidangkan masakan sama dan tentu sekali memiliki keistimewaan tersendiri.
Nasi Ambeng Warung Ibu
- Alamat: Lokasi Batu 6, Sungai Gulang-Gulang, Tanjong Karang, Selangor
- Waktu operasi: 10.30 pagi hingga 4 petang
- Menu signatur: Nasi Ambeng Ayam Kicap
- Harga: RM10 perset
- Facebook: Warung Ibu
Nasi Ambeng Muo
- Alamat: 51, Laluan Jelapang Selatan, Taman Kledang Jaya, Ipoh, Perak
- Waktu operasi: 8 pagi hingga 12 malam
- Menu signatur: Nasi ambeng, laksa Johor dan mi bandung
- Harga: RM7
- Facebook: Dad Dgerai
- Instagram: @dad_dgerai
Nasi Ambeng Ayam Ungkep
- Kawasan penghantaran: Sekitar Senai, Johor Bahru
- Waktu operasi: Tempahan dua hari
- Menu signatur: Nasi ambeng ayam ungkep, rendang, masak kicap
- Harga: Set bermula RM20 hingga RM30
- Facebook: Nasi ambeng legend JB
Nasi Ambeng Kampung Melayu Majidee
- Alamat: No 23 Jalan Sierra Perdana, 2/1 Taman Sierra Perdana, Pasir Gudang dan No 56, Jalan Beringin Taman Melodies, Johor Bahru, Johor
- Waktu operasi: 7.30 pagi hingga 4.30 petang
- Menu signatur: Nasi Ambeng Ayam Kicap
- Harga: Bermula RM8.50 hingga RM45
- Facebook: Original Nasi Ambeng Kampung Melayu