BERSAMA Pakar Motivasi, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad
SAYA sebenarnya tidak tahu untuk mengadu kepada siapa lagi. Suami memang jenis panas baran, namun tidak pernah sampai memukul.
Namun selepas diberhentikan kerja gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan, sikapnya semakin bengis dan suka membaling barang-barang dalam rumah membuatkan saya dan anak-anak sering dalam ketakutan.
Mahu pulang ke kampung pun, keluarga sudah membuang kami kerana pilihan saya (suami) tidak direstui mereka. Saya mengadu kepada adik beradik, tetapi mereka lebih suka menyalahkan saya dalam hal ini. Saya cukup-cukup tertekan, bantulah saya.
ISTERI TERTEKAN, 38
Shah Alam, Selangor
JAWAPAN
Sikap panas baran ini sebenarnya sudah ada sejak azali lagi, cuma darjah kemarahan itu berbeza-beza bagi setiap lelaki.
Sebenarnya, orang yang jenis panas baran biasanya mesti ada perkara yang boleh mencetuskan 'suis' kemarahannya. Sebagai contoh, anak suka membuat bising atau berdepan masalah jiran.
Oleh sebab itu, pengadu perlu memainkan peranan penting untuk membantu mengendurkan kemarahan si suami dengan menceritakan kepada anak-anak mengenai masalah dia yang tertekan disebabkan kehilangan pekerjaan.
Baca juga Perasaan marah membuak-buak. Sabar! Cara ini boleh elak diri jadi panas baran
Jangan memandang rendah kepada anak-anak kerana pada usia lima dan enam tahun, mereka sebenarnya sudah memahami keadaan yang berlaku. Berceritalah kepada anak-anak supaya mereka lebih memahami situasi sebenar. Mudah-mudahan apabila sudah dewasa nanti, mereka akan tetap hormat kepada ayah.
Saya juga ingin berkongsi tip kepada para isteri supaya sentiasa mendoakan suami, waima sedang memasak sekalipun. Jangan lupa untuk berselawat dan berdoa di dalam hati supaya ALLAH dapat melembutkan hati dan meredakan kemarahan suami.
Memang tidak dinafikan, ada ketikanya jika berdepan masalah keluarga, kita perlu menanggung sendirian kerana adik beradik tidak mahu campur tangan. Justeru, bersabarlah kerana ALLAH MAHA MENDENGAR.
Jangan lupa follow kami di Instagram!
Sesungguhnya, pengadu perlu bersyukur kerana si suami bukannya jenis memukul dan terimalah kekurangan itu. Jika para isteri dan suami saling memahami, insya-ALLAH dapat hidup aman bahagia.