"Saya tak tahu nak cakap macam mana. Saya hanya mampu tersenyum sahaja." Begitu komen ringkas yang diberikan penyanyi Hael Husaini berhubung dakwaan sesetengah pihak dia telah menjalani pembedahan plastik bagi mengubah wajahnya.
Jelas Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi, dia sebenarnya tidak pasti bagaimana spekulasi sedemikian boleh tercetus.
"Apa boleh saya katakan, makin usia kita meningkat usia semakin kita pandai jaga diri.
"Waktu muda dulu mungkin saya tidak memikirkan soal penampilan sangat, tapi bila dah makin tua dengan sendirinya kita semakin ambil tahu dan lebih disiplin,” jelasnya.
Pada masa sama, jejaka berusia 34 tahun itu berkata, spekulasi itu wujud mungkin disebabkan penampilannya yang kemas dan selalu dititikberatkan oleh syarikat pengurusan.
Ujarnya, dia bersyukur kerana mereka amat menitikberatkan soal penampilan selain aspek nyanyian.
"Saya akui dulu tak ada pasukan di belakang, semua buat sendiri. Sekarang kerja-kerja saya diuruskan oleh pasukan yang profesional.
"Kalau dulu, umpamanya saya sikat rambut dan pakai gel rambut sendiri saja, sekarang dah ada pasukan yang siapkan.
"Boleh dikatakan adalah perubahan itu dari semasa ke semasa untuk saya tampil menarik depan kamera," jelasnya.
Hael ditemui pada majlis pelancaran Cahaya Festira Festival Ramadan Selangor 2022 yang diadakan di SACC Mall, di Shah Alam pada Rabu.
Festival anjuran PKNS Real Estate (PREC) itu adalah acara tahunan yang direka khusus bagi menyokong agenda kerajaan negeri dalam usaha membantu usahawan kecil sederhana dan pengusaha tempatan yang mensasarkan 3.5 juta pembeli sebelum era pandemik.