Generasi akan datang tak akan kenal rokok, vape bila pelaksanaan Generasi Penamat (GEG) diperkenalkan

Iklan
cover rokok

APABILA Tinjauan Kesihatan Remaja oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2017 mendedahkan, penggunaan rokok konvensional dalam kalangan remaja perempuan semakin meningkat, ia merupakan suatu fenomena yang amat mendukacitakan.

Seiring dengan perkembangan semasa, kelompok itu dilihat semakin menjadi-jadi apabila beralih kepada produk merokok alaf baharu iaitu rokok elektronik atau vape pula.

Iklan
Iklan

Buktinya, penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia yang melakukan kajian ke atas 422 pelajar di tiga buah sekolah menengah di Kuala Lumpur mengesahkan, 42.2 peratus antara mereka menggunakan peranti itu untuk melepaskan ketagih.

Iklan

Berdasarkan penyelidikan Adolescent Health Survey pula, seramai 211,000 orang (lelaki, 17 peratus dan wanita, 2.8 peratus) dilaporkan melakukan perbuatan serupa.

Itu satu situasi. Kajian oleh Tobacco and E-Cigarette Survey Among Malaysia Adolescents yang dijalankan oleh Institut Kesihatan Umum pada tahun 2016 memperlihatkan, seramai 330,000 remaja berumur (antara 13 hingga 17 tahun) merokok dengan lelaki sebanyak 27.8 peratus, manakala perempuan 2.6 peratus.

Iklan

Pada tahun berikutnya, melalui kajian Adolescent Health Survey mendapati, trend menghisap rokok konvensional untuk kumpulan sasaran sama menunjukkan penurunan iaitu seramai 295,000.

Dr Noraryana Hassan yang merupakan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Kawalan Tembakau & Urusetia Konvensyen Rangka Kerja Mengenai Kawalan Tembakau (FCTC), Bahagian Kawalan Penyakit, KKM meluahkan kekhuatirannya kepada SinarPlus terhadap keadaan kurang sihat itu.

Beritahu beliau, hasil dapatan kementerian, peratusan merokok di Malaysia secara keseluruhannya menunjukkan penurunan yang sangat sedikit. Melalui Tinjauan Morbiditi Kebangsaan, kadar yang sangat perlahan dapat dilihat dengan jelas dari tahun 2015 (22.8 peratus) kepada 21.3 peratus pada tahun 2019.

"Pada masa sama, trend penghisap vape juga semakin membimbangkan. Jika dikira berdasarkan jumlah penduduk, penggunaan vape meningkat daripada 600,000 orang kepada 1.2 juta orang," katanya.

GEG & EVALI

Justeru, apa solusi kepada permasalahan tersebut? Ujar Dr Norayana, bagi melahirkan generasi pada masa akan datang yang tidak lagi kenal apakah itu rokok atau vape, KKM telah memperkenalkan Generasi Penamat (GEG).

New Zealand dan Denmark antara dua negara yang telah mempraktikkan GEG.

Ujar Dr Noraryana, GEG merupakan satu konsep yang telah diketengahkan oleh pakar-pakar di peringkat antarabangsa bagi memperkukuhkan kawalan tembakau sedia ada yang telah dilaksanakan di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) FCTC.

Antara objektif GEG yang digariskan adalah seperti berikut:

i) Peratusan merokok dikurangkan kepada 5 peratus atau kurang daripadanya.

ii) Menamatkan penjualan komersial produk-produk tembakau.

iii) Menjadikan merokok sebagai budaya yang tidak boleh diterima masyarakat.

iv) Sifar pendedahan mengenai penggunaan tembakau dan produk merokok kepada generasi muda.

Seperti yang diuar-uarkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin baru-baru ini, kementerian sedang dalam usaha untuk mewujudkan larangan merokok bagi generasi akan datang di bawah draf Rang Undang-Undang Akta baharu yang bakal dibentangkan dalam masa terdekat, ujar Dr Noraryana.

Dengan pemahaman mudah, selepas ini, golongan tersebut yang lahir bermula pada tarikh berkenaan dilarang untuk membeli, menggunakan dan berada dalam milikan sebarang produk merokok sepanjang hayat mereka.

Sesungguhnya, kata Dr Noraryana yang juga Pakar Perunding Kesihatan Awam dan Epidemiologi NCD, pelaksanaan GEG amat signifikan untuk dilaksanakan.

Terkini, beritahu pakar itu, penggunaan vape boleh menyebabkan keradangan pada selaput paru-paru yang dikenali sebagai penyakit EVALI atau Electronic Vape Associated Lung Injury. Ia telah mula dikesan di Amerika Syarikat pada tahun 2019 dan malangnya, kes itu telah berlaku di Malaysia.

Jelasnya, kos bagi merawat EVALI bukan calang-calang kerana ia akan mencecah sebanyak RM369 juta menjelang tahun 2030.

Ramadan masa terbaik

Mengulas lanjut, Dr Noraryana berkata, jangka hayat bagi golongan perokok diramal akan berkurangan sebanyak 10 tahun jika dibandingkan dengan individu yang sihat.

Tuturnya, pakar penyelidik dari Universiti Monash Malaysia menerusi kajian bertajuk Kesan Penggunaan Tembakau Terhadap Kesihatan dan Produktiviti Kerja di Malaysia menunjukkan, 45 peratus kematian yang berlaku di Malaysia adalah dalam kalangan perokok lelaki. Daripada jumlah itu, 23 peratus terdiri di dalam kumpulan yang produktif.

Berdasarkan Quality Adjusted Life Years (QALY) iaitu satu bentuk pengukuran yang digunakan untuk menganggarkan kualiti kehidupan seseorang, individu yang merokok mengalami pengurangan kualiti kehidupan sebanyak 1.3 QALY.

Ungkap Dr Noraryana, seandainya peratusan merokok dapat dikurangkan sebanyak 50 peratus, kos kerugian akibat permasalahan berkenaan dapat dijimatkan sebanyak RM137.7 bilion.

Sehubungan itu, menjelang bulan Ramadan yang akan disambut pada minggu hadapan, beliau berkata, ia merupakan masa terbaik untuk orang ramai tidak mengira lapisan umur untuk menghentikan tabiat merokok.

"Saya faham, dalam masa sehari, dua memang akan perit sedikit. Apa yang dimaklumkan oleh rakan kongsi perkhidmatan berhenti merokok di farmasi swasta, ubat nikotin patch dan gula-gula getah akan laku kerana ramai perokok yang cuba untuk berhenti merokok.

"Cuma, apa yang saya dapati, cara penggunaan ubat itu tidak betul. Ubat yang kita bagi, ia bukanlah terus beri kesan cepat, tetapi ia mengambil sedikit masa. Jika mereka jenis tidak sabar, kemungkinan amalan buruk itu akan diteruskan. Itu sebab saya katakan, teknik menggunakannya kena tepat," jelasnya.

Sekiranya pendekatan tersebut gagal, Dr Noraryana mengesyorkan agar orang ramai mendapatkan bantuan untuk berhenti merokok dengan melayari www.jomquit.com yang dijalankan dengan kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia.

 

‘Denda paling berat kepada anak saya dan kawan-kawan yang terjebak sama‘

SEORANG ibu yang mahu disapa sebagai Azwa, 45, berkata, memiliki seorang anak yang kaki hisap vape membuatkan beliau sangat tertekan.

Hatinya hancur apabila si anak rupa-rupanya sudah mula berjinak-jinak dengan perbuatan buruk itu sejak berada di tingkatan 2 lagi.

Sebaik dimaklumkan tentang konsep Generasi Penamat (GEG) yang bakal dilaksanakan kelak, Azwa menyokong 100 peratus cadangan itu.

"Saya setuju sangat, ia sebagai satu denda paling berat kepada anak saya dan mungkin kawan-kawan lain yang terjebak sama. Namun, saya harap penguatkuasaan kepada usaha itu diperketatkanlah. Jangan pula ada isu rokok atau vape seludup pula," katanya.

Sementara itu, sebagai seorang Ketua Pengawas di sebuah sekolah di Kuala Lumpur, Mohd Andi (nama samaran) yang sering menyaksikan ketagihan merokok dalam kalangan pelajar berpendapat, GEG adalah satu usaha yang sangat dialu-alukan.

Mohd Andi kemudian memperkenalkan kepada penulis seorang rakannya, Jali, 15.

Jali merupakan bekas perokok tegar juga berharap GEG dapat terus ‘membutakan‘ mata generasi sepertinya daripada terus mengenali rokok atau vape.

"Macam saya, mula-mula saya rasa syok dan gian, tapi saya terlupa saya ada penyakit jantung berlubang. Asap rokok memang beri kesan kepada saya. Jadi, kepada remaja yang terasa ingin mencuba hisap rokok atau vape, lupakan hasrat itu kerana impaknya kalau tak rasa sekarang, mungkin bila kita dah tua nanti," katanya.

Akui Jali, pada tahun lepas beliau tidak berpuasa gara-gara ketagihan. Namun, selepas meninggalkan vape pada pertengahan Julai tahun lepas, dirinya nekad untuk menunaikan ibadah itu dengan baik. -MAZLINA ABDUL MAJID