KEPADA ibu bapa yang masih muda, kebanyakannya mengadu tentang bagaimana pendekatan terbaik melatih dan memujuk anak mereka sama-sama berpuasa.
Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Justeru, pendedahan dari peringkat awal perlu dilakukan. Biarlah bersusah payah dulu, bersenang-lenang kemudian.
Baca juga Mira Filzah dan ibu hamil harus kenali tubuh dan kandungan sebelum berpuasa
Justeru, untuk mengetahui taktik untuk menambat hati si cilik berpuasa, SinarPlus menghubungi Pakar Pediatrik, Klinik Siti Pakar Pediatrik Kota Warisan, Dr Nor Azyati Yusof.
Ujar Dr Nor Azyati, sebenarnya tiada sasaran umur untuk menggalakkan kanak-kanak berpuasa. Ia boleh bermula seawal usia empat hingga lima tahun atau sebaik sahaja mereka faham konsep berpuasa.
"Pun begitu, ia bergantung juga kepada tahap kesediaan fizikal dan mental si cilik untuk melalui fasa tanpa makanan dan minuman selama beberapa jam.
"Lazimnya, apabila kanak-kanak itu sudah menjangkau umur tujuh tahun atau sudah akil baligh, rata-ratanya sudah mempunyai kefahaman yang baik untuk berpuasa," katanya ketika dihubungi.
Dalam usaha untuk merangsang golongan itu berpuasa, ibu bapa perlu bertindak lebih awal. Antaranya, sebelum memasuki Ramadan lagi, mereka sudah menceritakan tentang keistimewaan bulan yang penuh kemuliaan itu dan mengaitkannya dengan kisah-kisah menarik di dalam al-Quran.
"Selain itu, mak ayah juga boleh menunjukkan buku-buku bergambar berkenaan rutin harian ketika berpuasa bermula daripada niat berpuasa, bangun sahur, berbuka puasa termasuk ganjaran pahala mereka yang berpuasa.
"Gambar seperti aktiviti-aktiviti yang bakal dilaksanakan bersama keluarga pada bulan Ramadan juga boleh menyebabkan anak-anak teruja," ujarnya.
Bagi menarik lagi perhatian mereka, ibu bapa juga boleh memberi upah kepada si kecil seandainya berjaya menyelesaikan ibadah itu.
Lagi satu, pastikan semua makanan disimpan dengan rapi agar pemikiran mereka tidak terganggu sebaik ternampak jajan, buah atau apa sahaja hidangan yang mereka gemari.
Puasa tidak jejaskan kesihatan
Menjawab satu soalan lain, Dr Nor Azyati berkata, amalan berpuasa selama lapan hingga 12 jam tidak akan menjejaskan kesihatan kanak-kanak jika beberapa langkah penting diambil.
Pada masa sama, ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak tidak mempunyai masalah kesihatan yang lain.
Merujuk Journal of The Pakistan Medical Association, National Health Service United Kingdom, berpuasa tidak akan membahayakan kesihatan si kecil.
Malah, penulisan berkenaan turut menggalakan agar pendedahan untuk berpuasa dilakukan secara berperingkat supaya kanak-kanak menyedari tentang keperluan berpuasa.
Pun demikian, ujar Dr Nor Azyati, ibu bapa harus memantau tahap kesihatan anak masing-masing yang berpuasa. Berikut adalah situasi yang perlu diberi perhatian:
i. Sekiranya anak tidak sihat, sebaiknya mereka berehat dahulu daripada berpuasa.
ii. Begitu juga ketika proses berpuasa, ibu bapa perlu membenarkan mereka berbuka sekiranya anak-anak kelihatan lesu disebabkan dehidrasi.
iii. Galakkan anak-anak menjalankan aktiviti di dalam rumah bagi mengelakkan mereka terdedah kepada cuaca panas.
Baca juga 10 tip latih anak naik van sekolah, ibu bapa perlu terlibat minggu pertama, lakukan perkara ini
"Bagi memastikan amalan berpuasa tidak memberi mudarat kepada anak, ibu bapa perlu memastikan makanan yang tinggi kandungan glukosa dan berserat seperti bijirin, oat, nasi, kurma, buah-buahan serta sayuran ketika bersahur diambil supaya mereka kekal bertenaga sepanjang hari.
"Selain itu, sumber protein seperti daging dan ayam juga perlu ada dalam sajian mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, pakar tersebut berkata, pengambilan air sekurang-kurangnya enam hingga lapan gelas setiap hari juga penting kerana badan memerlukan cecair yang mencukupi bagi memastikan aktiviti sel tubuh berfungsi di tahap yang baik dan mengelakkan kelesuan.
"Teknik pengambilan air secara berjadual boleh diamalkan iaitu minum segelas air setiap satu hingga dua jam selepas berbuka.
"Amalan sunnah seperti melewatkan sahur juga digalakkan untuk mengelakkan anak cepat lapar,” jelasnya.
Jangan lupa follow kami Instagram!
Kepada SinarPlus, Dr Nor Azyati memberitahu, makanan ketika berbuka juga perlu dirancang dengan baik agar mereka menerima zat yang seimbang dan sihat.
"Sebaiknya, perancangan makanan perlu lengkap karbohidrat, protein dan berserat serta dipelbagaikan agar anak-anak tidak jemu.
Tambahnya, kehilangan berat badan anak berkait rapat dengan penurunan pengambilan cecair dan jumlah kalori setiap hari.
"Secara amnya, orang dewasa turut kehilangan berat sekitar 1 hingga 2 kilogram apabila berpuasa dan ia masih dalam julat yang sihat serta tidak memudaratkan kesihatan," ujar beliau.
Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus
Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI
ANEKDOT
MANFAAT berpuasa dibahagikan kepada tiga aspek:
i. Aspek fizikal
- Menggalakkan sistem metabolisme untuk berfungsi dengan aktif serta melancarkan sistem pencernaan makanan.
ii. Aspek kesihatan mental
- Melatih kekuatan emosi dan keazaman anak-anak dalam menyelesaikan ibadah puasa.
- Ia juga meningkatkan disiplin dan daya kawalan diri anak-anak dalam urusan kehidupan mereka.
iii. Aspek rohani
-Mengukuhkan kefahaman akidah anak-anak berkenaan konsep ketuhanan serta latihan amali dalam membuktikan kepatuhan kepada perintah ALLAH SWT.
Sumber Dr Nor Azyati Yusof