BEBERAPA rakan penulis mempunyai anak autisme. Pernah beberapa kali penulis bersua muka dengan zuriat mereka secara berdepan.
Salah seorang daripadanya cukup unik. Apabila penulis memberinya mainan berupa lego, si kecil itu ralit bermain ketika kami berada di sebuah restoran di Pavilion Kuala Lumpur untuk makan tengah hari.
Bagaimanapun, beliau dikatakan sedikit 'mengganggu ketenteraman' premis berkenaan apabila menyusun kiub logo bermula dari kaunter pembayaran hingga ke meja makan sebuah keluarga.
Apabila dilarang, si cilik berkenaan meraung semahu-mahunya. Namun demikian, disebabkan kesedaran dalam kalangan masyarakat semakin meningkat, ramai antara pelanggan cuba memujuknya dengan memberi gula-gula dan coklat. Salah seorang daripada mereka, berbesar hati menghadiahkan satu bungkusan besar lego lagi.
Sesungguhnya, kejadian yang penulis saksikan itu sangat menyentuh perasaan. Bukan sahaja terharu dengan reaksi balas orang awam, tetapi bagaimana seorang ibu yang tinggi kesabaran menjaga seorang anak autisme.
Bagi mengulas lanjut tentang kategori anak-anak yang dilahirkan sebegitu, SinarPlus menghubungi Pakar Psikiatri, Kuliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Rozanizam Zakaria.
Dr Rozanizam berkata, berdasarkan ujian saringan M-CHAT menunjukkan kadar 1.6 kes bagi setiap 1,000 kanak-kanak di Malaysia mengalami autisme. Sementara, di peringkat dunia, Pertubuhan Kesihatan Dunia melaporkan, kadar satu kes bagi setiap 160 kanak-kanak.
Ujar pakar itu, dari aspek komunikasi, golongan tersebut mempunyai kelewatan atau kecelaruan pertuturan. Pada masa sama, mereka kekurangan kemahiran dalam interaksi dua hala.
"Dari sudut sosial, kanak-kanak ini mempunyai masalah terhadap minat sosial yang terhad, kurang kontak mata dan lebih banyak berada di dalam dunia mereka sendiri, berbanding bergaul dengan individu lain," jelasnya.
Dalam pada itu, The Diagnosa menghuraikan ciri-ciri lain kanak-kanak autisme. Antaranya seperti:
i. Terlalu peka atau tidak peka langsung terhadap kawasan deria seperti sakit, bunyi, lampu dan pergerakan.
ii. Menumpukan perhatian kepada satu objek sahaja.
iii. Tertekan ke atas perubahan kecil yang berlaku dalam persekitaran.
iv. Hanya berminat kepada satu atau dua perkara sahaja.
v. Suka menyusun sesuatu barang dengan warna yang sama.
Menurut Perunding Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, Hospital Columbia Asia Iskandar Puteri, Dr Nor Rahidah Abd Rahim, masalah autisme dalam kalangan kanak-kanak dapat dikesan seawal usia 12 hingga 18 bulan. Bagi pakar terlatih, mereka dapat mengenalpasti tanda-tanda itu lebih awal.
"Satu lagi inti pati yang perlu diketahui masyarakat, autisme mempunyai tahap yang berbeza. Dari segi satu spektrum, tingkah laku kanak-kanak ini sukar difahami atau tidak dapat difahami langsung oleh orang sekeliling mereka," ujar mereka.
Khidmat jurupulih pertuturan
Dr Rozanizam yang juga Penolong Profesor di UIAM selari dengan pandangan yang dilontarkan oleh Dr Nor Rahidah.
Katanya, anak-anak istimewa itu mempunyai tahap kemampuan yang berbeza. Justeru, intervensi awal terutama dalam mendapatkan bantuan daripada jurupulih pertuturan sangat disyorkan.
"Selain itu, ibu bapa perlu selalu berkomunikasi dengan anak mereka terutama ketika mereka sedang bermain. Perlu bertutur dengan jelas, di samping menggunakan bantuan bahan visual komunikasi. Kalau boleh, kata-kata yang diucapkan diulang berkali-kali," katanya sambil menambah konsep 'kanak-kanak autisme akan sembuh' tidak terpakai.
Baca juga Bapa reda, gara-gara anak autisme rumah sewa ditamatkan kontrak
Pakar berkenaan menambah, terdapat beberapa kaedah lain yang boleh membantu perkembangan anak kategori khas tersebut dalam memperoleh kemahiran baharu. Berikut huraiannya:
i. Terapi cara kerja
Terapi ini membantu aspek perkembangan sensori, motor dan kefungsian anak autisme. Apabila aspek sensori dan motor mereka berkembang dengan baik, ia akan mempengaruhi skil sosial, komunikasi dan tingkah laku.
ii. Terapi pertuturan
Ia lebih memfokuskan kepada aspek komunikasi termasuk latihan kemahiran prapertuturan dan berkomunikasi, membentuk suku kata, perkataan serta ayat. Dalam terapi ini juga, ajak si kecil berkawan dan berhubung dengan individu lain.
iii. Terapi tingkah laku
Terapi ini biasanya dilakukan oleh pakar psikologi klinikal atau perkembangan.
Mereka akan melakukan terapi khusus seperti (terapi) kelakuan analisis yang membantu membentuk tingkah laku anak seperti boleh mendengar arahan, mengurus diri dan berinteraksi dengan rangsangan di sekeliling.
Selain itu, pengawalan emosi seperti marah, mengurus tekanan dan mengendalikan konflik turut dititik beratkan.
Apa langkah yang perlu dilakukan ibu bapa jika mereka mengesan anak mereka mengalami autisme? Menjawab soalan itu, Dr Rozanizam berkata, si cilik perlu dibawa ke pusat perubatan bagi menilai tahap perkembangan fizikal, kognitif dan sosial.
"Kemudian, doktor akan menentukan penilaian lanjut yang diperlukan. Ini termasuk saringan pendengaran, penilaian kemahiran motor halus, kasar dan pertuturan mereka. Sekiranya perlukan (penilaian) lanjut, mereka akan dirujuk kepada doktor pakar," katanya.
Kepada ibu bapa, Dr Rozanizam berpesan, jangan sesekali putus asa atau menafikan seandainya cahaya mata sendiri disahkan mempunyai autisme.
"Seperti yang saya katakan tadi, penting untuk difahami bahawa intervensi awal dan sokongan ibu bapa adalah antara dua faktor paling penting dalam prognosis autisme," katanya.
Jangan lupa follow kami Instagram!
SOALAN-SOALAN yang kerap ditanya tentang autisme
i. Apa kaedah yang perlu dilakukan ibu bapa dalam memastikan anak-anak austime tidak ketinggalan dalam pembelajaran?
JAWAPAN: Keutamaan awal kanak-kanak adalah membantu perkembangan pertuturan dan tingkah laku. Maka, perhatian perlu diberikan terlebih dahulu dari aspek sensori (kemampuan mengendalikan rangsangan deria), motor (pergerakan), kemahiran bertutur dan bersosial.
Kemampuan belajar pula bergantung kepada tahap autisme mereka. Namun, secara umum, kanak-kanak autisme lebih mudah belajar dengan rutin yang teratur, rangsangan deria yang terkawal, input visual dan komunikasi yang jelas, ringkas serta tepat.
ii. Seandainya anak saya mengalami tantrum, apa yang perlu dilakukan?
JAWAPAN: Langkah paling penting adalah mengelakkan ia daripada terjadi. Ini boleh dilakukan dengan memerhatikan pola tingkah laku anak, melihat punca yang selalu mencetus dan cuba menghindarinya. Sebagai contoh, jika anak sensitif dengan bunyi, elakkan terlalu lama berada dalam suasana yang bising dan sesak.
Jika tantrum berlaku, pastikan anak selamat daripada objek atau situasi yang berbahaya. Peluk anak jika mereka berkemungkinan mencederakan diri. Tenangkan diri anda dan elakkan daripada beremosi ketika mengendalikan anak ini.
Sediakan juga alat yang biasanya membantu mereka menenangkan diri seperti mainan kegemaran, selimut kesukaan atau objek yang boleh mengalih perhatian mereka. Jauhkan tabiat menghukum, mengurung atau menyakiti anak.
iii. Adakah terdapat rujukan khas untuk anak-anak seperti ini?
JAWAPAN: Antara sumber yang bagus ialah laman web Genius Kurnia yang mempunyai platform khusus bagi ibu bapa untuk belajar mengenai autisme dan intervensi. Dapatkan sokongan keluarga yang seangkatan dan paling penting, jaga juga kesihatan mental anda.
Sumber Dr Rozanizam Zakaria
Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus
Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI