MASALAH mulut berbau memang sesuatu yang tidak dapat dielakkan tidak kira pada bulan puasa atau tidak.
Sejak kita menggunakan pelitup muka, mungkin masalah itu dapatlah kita kekang daripada pengetahuan orang sekeliling.
Namun, kalau pelitup dibuka, bagaimana pula itu?
Berdasarkan artikel I-Medik, dilema mulut berbau atau halitosis lazimnya terjadi akibat tindak balas bakteria dengan makanan yang tertinggal di dalam mulut lalu merembeskan asid dan sulfur.
Adakah terdapat cara untuk mengatasi permasalahan yang dialami oleh kebanyakan daripada kita?
Untuk menjawab pertanyaan itu, seorang pengamal perubatan, Doktor Perubatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan berkongsi enam cara yang barangkali kita semua boleh praktikkan.
i. Minum air secukupnya
- Mulut berbau terjadi kerana kekeringan mukosa pada bahagian mulut akibat kekurangan air semasa berpuasa.
- Semasa bersahur, minum air kosong secukupnya supaya badan sentiasa terhidrat dan mulut tidak kering.
ii. Elak minum kopi atau teh ketika waktu sahur
- Kopi dan teh merupakan sejenis diuretik iaitu bahan yang menggalakkan penghasilan air kencing.
- Ia akan menyebabkan badan hilang banyak air melalui air kencing sekali gus menyebabkan dehidrasi dan menyumbang kepada mulut berbau.
Baca juga Perut lebam, mulut berdarah, polis buru pengkhianat 20 ekor kucing bergelimpangan di Besut
iii. Kurangkan bercakap dan makan bawang
- Kurangkan bawang. Bawang putih dan bawang merah antara makanan yang membuatkan nafas berbau.
- Manakala, terlalu banyak bercakap boleh menyebabkan kelembapan mulut mudah tersejat, lalu menyebabkan mulut menjadi kering dan berbau.
iv. Ambil karbohidrat secukupnya
- Ramai cuba mengurangkan berat badan secara intensif dengan tidak mengambil karbohidrat serta gula.
- Ini memaksa tubuh mendapatkan tenaga secara ketosis dan menghasilkan keton yang menyebabkan nafas berbau. Jadi, makanlah karbohidrat walaupun sedikit.
v. Gosok gigi dan bersihkan lidah
- Bakteria merupakan salah satu penyumbang mulut berbau.
- Gosok gigi sebelum tidur dan 30 minit selepas sahur.
- Gunakan flos untuk membersihkan sisa makanan di celahan gigi dan bersihkan lidah menggunakan berus gigi.
- Boleh juga berkumur menggunakan larutan pembersih mulut.
vi. Pastikan tiada masalah mulut dan hidung
- Sekiranya semua cara telah diusahakan tetapi mulut masih berbau. Segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan.
- Kemungkinan mulut berbau disebabkan masalah pada rongga hidung, sinus, gigi, lidah, gusi atau tonsil.
Diharapkan tip-tip yang diberikan Dr Kamarul Ariffin boleh membantu mereka yang mengalami masalah mulut berbau.
Selepas ini, anda dah tak perlu risau untuk bercakap dengan orang lain.
Apa-apa pun jika cara itu tidak berkesan, berjumpa doktor gigi bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.
Semoga bermanfaat dan selamat menjalani ibadah puasa!
Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus
Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI