NAMA Ayu Raudhah bukan asing dalam dunia lakonan, bagaimanapun selepas mendirikan rumah tangga pada 21 Januari 2011 dengan pemain bola sepak Negeri Sembilan, Zaquan Adha, wanita berusia 37 tahun itu dilihat mula memperlahankan karier seninya.
Namun jauh di sudut hati, adik kepada aktres Rozita Che Wan ini tidak pernah melupakan lapangan seni, sebaliknya memilih untuk berkorban demi keluarga tercinta.
"Rindu terhadap dunia lakonan itu tidak pernah surut. Tambah kalau tengok drama lakonan sendiri diulang siar di TV, lagi menebal kerinduan.
"Kali terakhir saya berlakon drama Cinta Bukan Kristal untuk slot Akasia TV3 pada 2018. Drama itu diterajui Sharnaaz Ahmad dan Ayda Jebat. Saya berlakon watak Ma Su Faridah.
"Ikutkan sampai sekarang tawaran berlakon masih kunjung tiba. Tapi sejak merantau ikut tuntutan kerja suami termasuk ke Kedah dan kini Seremban, memang saya fikir banyak kali nak terima tawaran berlakon.
"Tambah pula berlakon perlu pengorbanan masa. Saya pula seboleh-bolehnya nak tengok anak membesar depan mata," katanya yang mula menceburi bidang seni pada tahun 2007.
[caption id="attachment_77890" width="800"] Keluarga besar Ayu dan Zaquan.[/caption]
Kini tumpuan terarah membesarkan lima cahaya mata iaitu Muhammad Aisy Qaiser, 8, Muhammad Aisy Aryann, 7, Laura Zuleykha, 4, Muhammad Aisy Khaliq, 2, dan Muhamad Aisy Al Jibreel, 10 bulan.
Namun dalam kesibukan tanggungjawab sebagai ibu, Ayu mengakui mula berjinak-jinak menceburi dunia perniagaan termasuk mengeluarkan produk kecantikan kulit, pakaian Muslimah dan lelaki serta tudung.
Rezeki berganda
Terbaru sejak lebih sebulan lalu, Ayu dan suami membuka kafe makanan di Seremban dan turut dilantik menjadi duta pakaian wanita mampu milik, byLR.
"Ada kalanya bila tumpuan terarah kepada bidang perniagaan, suami ada merungut manja sebab masa dengannya tak banyak. Macam idea buka kafe pun bertitik tolak sebab suami nak makan air tangan saya.
"Tapi lama-kelamaan suami faham. Apa kami lakukan dengan mencari rezeki ini untuk kebaikan bersama termasuk masa depan anak.
"Rezeki ALLAH itu juga luas, baru-baru ini pihak byLR mempelawa untuk menjadi rakan strategik bagi memasarkan jenama itu, saya cabar diri.
"Komitmen saya bukan setakat duta, tapi juga ke depan dalam meningkatkan pengaruh serta kesedaran jenama itu.
"Saya fikir ini juga masa dan peluang terbaik untuk melangkah ke fasa lain sebagai usahawan. Ketika ini perhatian tertumpu kepada koleksi sedondon raya si ibu dan anak perempuan dan sebanyak 10, 000 helai pakaian diterbitkan sempena kehadiran Ramadan dan Syawal," ujar Ayu yang turut menampilkan anak perempuannya sebagai model baju raya si cilik.
[caption id="attachment_77888" width="800"] Ayu turut menampilkan anak perempuannya, Laura Zuleykha, 4, sebagai model baju raya si cilik.[/caption]
Ditanya wanita bertaraf figura umum atau public figure, apakah jenama diwakilinya itu seiring dengan statusnya, Ayu tidak kisah dengan pandangan orang.
"Sebenarnya saya bukanlah seorang yang terlalu ringkas dalam bergaya. Kalau sudut artis, pakaian digayakan bergantung kepada majlis dan situasi.
"Namun atas kapasiti usahawan, saya tak boleh ikut kehendak sendiri. Pakaian cantik dan mahal belum tentu orang ramai pakai. Tapi pakaian cantik, selesa, ringkas dan harga munasabah tentu-tentu ramai nak.
"Sekarang ini pun, koleksi terdahulu dijual pada harga diskaun 30 peratus sempena pra Ramadan. Kami juga menjual baju kurung kain kapas premium dan corak ala songket untuk Ramadan kali ini.
"Saya juga nak ajak semua tambah pendapatan sempena raya kali ini dengan menjadi 'dropship',” jelasnya mengenai jenama di bawah syarikat Iwan Industry Factory Sdn Bhd beribu pejabat di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang itu.
Sebagai permulaan, Ayu turut mengumumkan akan mengedar 10,000 tudung percuma dan baucar RM10 kepada peminatnya.