SURIA FM memperkenalkan pengisian khas bertemakan Kumpul Pahala yang merangkumi program ilimiah, hiburan, shorties dan peraduan sepanjang Ramadan ini.
Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin, pengisian yang lebih pelbagai di Suria FM pada tahun ini diharapkan dapat memberi lebih manfaat kepada pendengar setia stesen tersebut.
"Seperti yang semua tahu, pahala amalan akan berganda pada bulan Ramadan. Dengan konsep begitu, Suria FM akan mengetengahkan tema #KumpulPahala dalam usaha menyeru orang ramai untuk sama-sama melipat gandakan amalan mengumpul pahala pada bulan yang mulia ini.
"Suria FM begitu menitik beratkan variasi pengisian Ramadan kali ini agar dapat memberi manfaat dan pada masa sama memberikan hiburan kepada pendengar dan penonton Suria menerusi semua platform Suria sedia ada, sama ada secara ke udara ataupun melalui platform digital,” katanya.
Antara pengisian menarik dalam Kumpul Pahala ialah program Tadabbur Suria bersama Quran Humaira dan 30 Hari Mencari Cinta Ilahi.
Tadabbur Suria bersama Quran Humaira akan menampilkan Ustaz Don Daniyal untuk menafsir, memahami maksud ayat dan mendalami isyarat-isyarat daripada ayat-ayat al-Quran sepanjang Ramadan ini. Program 11 episod ini akan bersiaran pada 4 April hingga 29 April.
Sementara 30 Hari Mencari Cinta Ilahi pula akan menyaksikan perkongsian dariapda Ustazah Datuk Dr. Nurhafizah mengenai topik-topik berkenaan mencari cinta Allah SWT di dalam bulan Ramadan. Proghram 30 episod ini bersiaran pada 4 April hingga 3 Mei.
Dalam pada itu, pendengar juga boleh membeli ‘Kotak Pahala’ yang tersenarai di Kedai Suria dan sertai program infak Suria kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terpilih.
Kotak Infak Suria tersebut mempunyai barangan seperti sejadah, minyak wangi mesra wuduk, pelitup muka dan hand sanitizer.
Tidak hanya itu, pendengar juga boleh raikan bersama ahli keluarga kegembiraan Raya ini dengan pengisian menarik dan terbaharu seperti drama raya dan muzik video Raya terbitan Suria Malaysia.
Selain boleh didengar menerusi frekuensi, Suria FM juga boleh disaksikan menerusi platform digital Suria seperti di laman web suria.my, saluran YouTube SuriaTV serta media sosial Suria Malaysia (Instagram, Facebook dan Twitter).
Muat turun aplikasi terbaru Suria Malaysia dan ikuti platform media sosial Suria Malaysia untuk mendapatkan info terkini mengenai program menarik dan menghiburkan sepanjang Ramadan dan Raya ini.