Emma Maembong hampir tarik diri kerana Hawa

Iklan
EMMA MAEMBONG

MEMBAWAKAN watak seorang gadis yang baran, ego dan degil menjadi cabaran terbesar buat pelakon, Emma Maembong.

Akui Emma, wataknya sebagai Hawa dalam drama Nusyuz Berkiblat Cinta, berbeza daripada watak-watak dalam drama lakonannya sebelum ini.

Iklan
Iklan

Keluar dari zon selesanya selepas 13 tahun, Emma berharap lakonannya kali ini boleh memberi kesan kepada penonton.

"Ketika mula-mula mendapat tawaran ini, saya pernah maklumkan kepada pengarah, Hadith Omar yang saya rasa tak boleh bawa watak ini sebab terlalu ekstrem.

Iklan

"Saya rasa nak tarik diri sebab terlalu gementar untuk bawa watak seperti ini. Walaupun saya akui agak kasar, tetapi tidaklah seperti Hawa.

"Boleh dikatakan, setiap kali masuk set saya rasa lalui situasi sukar, saya susah untuk terjemahkan karakter Hawa seperti dimahukan Hadith.

Iklan

"Hadith pula pada awalnya sentiasa tidak berpuas hati dengan cara pembawakan saya. Sehinggalah suatu hari saya dapat gambaran watak Hawa daripada Hadith sendiri, dan saya cuba potretkan dengan gabungan daripada pemerhatian orang sekeliling saya juga,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media secara maya drama Nusyuz Berkiblat Cinta baru-baru ini.

Walaupun dipuji ramai selepas dua episod bersiaran, Emma berkata, watak Hawa juga kadangkala memberi tekanan kepadanya sehingga dia jarang meluangkan masa bersama suami dan anak ketika selesai penggambaran.

"Selalu saya bawa watak didera, putus cinta, tetapi kali ini saya pula yang perlu mendera orang lain. Disebabkan Hawa, buat pertama kalinya saya tak lekang dengan skrip, walaupun ketika rehat.

"Hawa bukan hanya baran, tetapi ada ego dan kedegilan yang membuatkan saya perlu bertukar karakter dan ekspresi wajah.

"Walaupun ada beberapa babak yang saya rasa boleh buat lebih baik, namun saya harap penonton akan nampak perbezaan karakter saya dan mesej sebenarnya yang cuba disampaikan,” jelasnya.

Terbawa-bawa

Ditebak adakah dia terbawa-bawa karakter Hawa di luar set, pemilik nama sebenar Fatimah Rohani Ismail itu tidak menafikannya.

"Selalu yang jadi mangsa adalah pembantu peribadi saya. Kadangkala saya cepat nak melenting dengan dia.

"Bagaimanapun saya sentiasa ingatkan diri bahawa itu bukan karakter sebenar saya. Apatah lagi sejak dulu, saya belajar untuk mengawal emosi,” ujarnya.