Awas! Kesilapan yang mungkin tak sedar kita buat ketika memburu malam lailatulqadar

Iklan
Kesilapan ketika memburu lailatulqadar

RASANYA baru saja kita berpuasa, tapi rupanya dah masuk 22 Ramadan pada hari ini. Syukur alhamdulillah dengan izin-NYA dapat kita menjalani ibadah puasa pada tahun ini dengan baik biarpun dalam keadaan negara masih dihimpit dengan wabak Covid-19.

Dalam keterpaksaan 'berkurung' di rumah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) pun ada kemanisannya. Kita mula belajar menghargai insan di sekeliling kita. Di samping dapat berpuasa dan beribadah terutama solat tarawih bersama keluarga di kediaman masing-masing.

Iklan
Iklan

Ya, ia nampak suatu yang pelik dan janggal pada awalnya. Kini, ia semacam menjadi satu kebiasaan yang baharu bagi kita semua. Alangkah indahnya kenangan Ramadan kita tahun ini.

Namun, lapan hari lagi, Ramadan akan mengucapkan selamat tinggal kepada kita. Sayu pula rasa hati ini. Datangnya barang sebentar, tetapi rahmat dan kemuliaan yang ada pada bulan ini memang tidak terhitung.

Iklan

Apatah lagi, kita kini berada dalam fasa terakhir iaitu 10 terakhir bulan Ramadan. Usah biarkan bulan al-Mubarak ini berlalu begitu sahaja. Di sinilah kemuncak kepada bulan barakah ini.

Segala ibadah dan amal perlu ditingkatkan demi memburu malam lailatulqadar yang mempunyai kelebihan.

Iklan

Kenapa malam lailatulqadar lebih baik daripada 1,000 bulan? Apakah kesilapan yang sering dilakukan ketika kita memburu malam penuh rahmat dan barakah itu?

Ujar pendakwah, Ustaz Fauzi Mustafa, ada sebab ayat dan surah berkenaan diturunkan sepertimana disebutkan dalam kitab tafsir al-Jalalain tulisan Imam al-Suyuti.

[caption id="attachment_4305" width="676"] USTAZ FAUZI[/caption]

Ulama terkenal Mazhab Syafie itu memasukkan sebuah hadis mursal daripada Mujahid bin Jabir, seorang tabi'in.

Mujahid berkata bahawa Rasulullah SAW menceritakan kepada sahabat-sahabatnya tentang seorang lelaki Bani Israel. Lelaki itu berjihad dengan senjatanya selama 1,000 bulan. Para sahabat begitu terpegun dengan jihad lelaki tadi dan merasakan diri mereka kerdil. Dengan sebab itu, ALLAH pun menurunkan Surah al-Qadr.

Ustaz Fauzi berkata, kisah itu seakan-akan menyebut bahawa para sahabat sangat cemburu dengan lelaki Bani Israel tadi yang dapat berjihad di jalan ALLAH selama 1,000 bulan kerana mereka tidak mampu buat begitu.

Bayangkan umur umat nabi tedahulu lebih panjang. Misalnya, Nabi Nuh AS sendiri mengambil masa 950 tahun untuk berdakwah. Itu belum dikira umur ketika baginda masih kecil dan sebelum diangkat menjadi Nabi. Ia berbeza berbanding kita sekarang yang rata-ratanya tidak sampai usia 100 tahun, jelasnya.

Berbicara tentang amalan Rasulullah SAW ketika 10 malam terakhir, agamawan itu menjelaskan, baginda bersungguh-sungguh beribadah dan mengejutkan isteri-isteri serta ahli keluarganya bangun qiamullail. Ia sebagaimana hadis Aisyah RA yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim.

"Baginda juga tidak bersama dengan isteri-isterinya pada 10 malam terakhir. Dalam satu riwayat, Nabi Muhammad sangat bersungguh-sungguh beribadah dalam bulan Ramadan melebihi bulan lain, lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir melebihi malam-malam Ramadan yang lain,” ujar beliau.

(Artikel berkaitan: Rebut peluang, 4 tanda malam lailatulqadar)

Usah 'memancing'

Dalam pada itu, agamawan tersebut turut menegur beberapa kesilapan yang seringkali dilakukan masyarakat ketika memburu malam lailatulqadar. Sebilangan umat Islam lebih suka 'memancing' daripada 'menjala' ketika memburu lailatulqadar.

[caption id="attachment_9306" width="1024"] TINGKATKAN amal ibadah pada 10 malam terakhir Ramadan untuk meraih ganjaran pahala lailatulqadar yang lebih baik daripada 1,000 bulan.[/caption]

Tambah beliau, rugi andai 'memancing' malam sekian-sekian adalah lailatulqadar dan kemudian kita abaikan amal ibadah pada malam yang lain. Dibimbangi pacingan tadi tidak mengena. Lebih baik seandainya 'memukat' dan terus 'menjala' sepanjang 10 malam terakhir Ramadan sepertimana dilakukan oleh Rasulullah SAW daripada 'memancing' pada malam tertentu sahaja.

Seperkara, beliau turut mengingatkan kita agar tidak melakukan kesilapan lagi ketika mencari lailatulqadar. Buanglah sikap tidak bersungguh-sungguh pada 10 malam terakhir Ramadan ini.

"Jangan lupa untuk kejut isteri, anak dan ahli keluarga lain untuk sama-sama beribadah. Jangan bangun seorang diri untuk lakukan qiamullail sendiri tanpa mengajak keluarga kita," nasihatnya.

Takdir diperbaharui

Pendakwah, Senator Ustazah Asmak Husin pula berkata, lailatulqadar dikaitkan dengan malam keberkatan.

[caption id="attachment_5482" width="1024"] USTAZAH ASMAK[/caption]

Tambah beliau, begitu agungnya malam berkenaan kerana semua malaikat akan turun memenuhi setiap inci muka bumi ini dengan izin ALLAH SWT.

Namun begitu, Ustazah Asmak turut berpesan agar kita tidak menunggu malam lailatulqadar semata-mata untuk beribadah.

Hakikatnya, al-Qadar sebenarnya dikaitkan dengan ibadah yang istiqamah iaitu sepanjang Ramadan dan tahun.

"Jadi pada malam-malam mana sekalipun turunnya lailatulqadar, insya-ALLAH kita akan mendapatkannya. Andai kata kita memilih, tahap iman kita seperti kanak-kanak yang lebih memfokuskan kepada tanda-tanda fizikal.

"Benar, memang iman manusia ini ada turun dan naiknya. Tapi, pastikan kita masih berada di landasan yang benar walaupun penuh onak dan duri,” ujar beliau.

Apa pun, beliau mengingatkan bahawa malam lailatulqadar merupakan pelengkap dan sokongan 'tenaga' kepada ibadah-ibadah dan perjalanan hidup manusia di atas muka bumi ini.

Jom kita sama-sama berdoa agar diberi kekuatan untuk memburu malam lailatulqadar penuh agung itu.

Ya ALLAH, temukanlah kami dengan malam lailatulqadar. Ampunilah segala dosa-dosa kami yang tidak terhitung banyaknya. Sesungguhnya ENGKAU ZAT YANG MAHA PEMAAF dan PEMURAH, maafkanlah kami, ya ALLAH.

Amin ya Rabbal 'alamin

Foto: Bernama & 123rf