KEWUJUDAN pelbagai genre muzik moden pada hari ini menjadikan lagu puisi kurang mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.
Menyedari situasi itu, penyanyi lagu puisi terkenal, Siso Kopratasa kembali dengan buah tangan terbaharu, Detik Cinta.
Menurut Siso atau nama sebenarnya Syed Indera Syed Omar, penghasilan lagu tersebut merupakan inisiatif untuk memberikan nafas baharu kepada lagu-lagu puisi agar terus dihayati dan diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat.
"Sampai masanya kita perlu memberikan nafas baharu kepada lagu genre ini agar susunan puitis dan maksud mendalamnya juga mendapat tempat di hati generasi muda hari ini.
"Penghasilan Detik Cinta bermula dengan penulisan puisi. Berbeza dengan penghasilan lagu dalam genre lain yang kebiasaannya terhasil daripada penciptaan melodi terlebih dahulu.
"Lagu ini merupakan sebuah puisi berbentuk luahan rasa cinta, syukur dan sayang seorang isteri kepada suaminya,” ujarnya.
Melodi lagu terbitan Luncai Emas itu dihasilkan sendiri oleh Siso, menakala lirik pula oleh Adi Syahid dan Alim Gutrah.
Menariknya, karya yang merupakan jawapan kepada lagu Permata Buat Isteri yang pernah dinyanyikan Kopratasa itu diberikan nafas baharu dengan sentuhan muzik pop latin berlatar belakangkan keindahan bunyian alat muzik soprano.
Mengulas lanjut tentang lagu ciptaannya itu, Siso berkata, karya istimewa itu menjalani rakaman di Kashfi Studio pada 22 September 2021 dan dilancarkan pada 12 Februari lalu di saluran YouTube Luncai Emas.
"Lagu ini mengambil masa selama setahun untuk dihasilkan, dari mula pembikinan lirik, gubahan muzik, rakaman lagu dan pembikinan video klip lagu Detik Cinta.
"Prosesnya mengambil masa yang panjang kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan pelbagai kekangan lain ketika pandemik melanda,” katanya.
Irama Segar
Sementara itu, Adi Syahid dan Alim Gutrah selaku penulis lirik menjelaskan, jika lagu Permata Untuk Isteri adalah puisi seorang suami kepada seorang isteri, Detik Cinta pula adalah puisi seorang isteri kepada suaminya.
"Kami memberikan kesinambungan kedua-dua lagu dalam bentuk puisi ketuhanan dan kesufian kerana itu ada perkataan, ‘aku berjalan di dalam kelam meraba-raba sepanjang jalan, sekadar tahu tanpa mengenal, menyinta tanpa rasa’,” katanya.
Siso yang sinonim dengan lagu-lagu puisi berharap agar karya terbaharunya itu dapat diterima baik peminat terutamanya generasi muda.
"Puisi Detik Cinta ini merupakan satu seni kata yang merujuk kepada kehidupan. Perjalanan hidup yang gelap memerlukan satu cahaya walau sebesar lilin sebagai panduan meniti jalan yang penuh onak dan ranjau.
"Saya harapkan lagu ini dapat mengangkat kembali lagu-lagu puisi dengan irama yang lebih segar. Seterusnya mendapat tempat di hati semua golongan masyarakat di Malaysia khususnya dan nusantara amnya,” ujarnya lagi.
Lagu Detik Cinta kini boleh didengar menerusi semua platform muzik digital dan streaming, manakala muzik videonya pula di saluran YouTube Luncai Emas.
(FOTO: Luncai Emas)