'Mak Leha' kembali, Liza Abdullah teruja tunggu reaksi penonton

Iklan
Liza Abdullah 7 Hari Mencintaiku 3

JIKA sebelum ini Liza Abdullah lebih dikenali dengan watak-watak komedi, namun sejak kebelakangan ini, namanya begitu sinonim karakter antagonis terutama selepas membintangi drama 7 Hari Mencintaiku.

Ternyata karakter Mak Leha yang dibawakan meninggalkan impak besar buat pemilik nama sebenar Norliza Abdullah, 58, sehingga peminat kini lebih mengenalinya dengan nama watak tersebut.

Iklan
Iklan

Apatah lagi drama yang memasuki musim ketiga itu, kembali menemui penonton di slot Akasia, TV3, setiap hari, jam 6.58 petang, bermula 16 April ini.

"Saya sangat bersyukur apabila drama ini mendapat sambutan begitu baik daripada penonton sehingga membawa kepada musim ketiga. Ketika buat musim pertama, saya tidak sangka ia akan membawa ke musim kedua dan seterusnya.

Iklan

"Sebagai pelakon, saya hanya lakukan yang terbaik untuk menghidupkan sesuatu watak agar memenuhi jalan cerita dan memberikan impak pada tontonan.

"Untuk musim baharu ini, banyak kelainan yang ditampilkan termasuklah watak Mak Leha sendiri di mana penonton akan lihat perkembangan watak itu daripada musim pertama sehingga yang terbaharu,” katanya ketika ditemui pada sidang media virtual drama 7 Hari Mencintaiku 3, pada Selasa.

Iklan

Mengulas tentang cabaran yang dilalui sepanjang 78 hari menjalani penggambaran drama arahan Jamal Khan itu, Liza berkata, ia lebih kepada usaha untuk menampilkan kelainan dalam watak yang dibawakan.

"Musim terbaharu ini benar-benar mencabar keupayaan, kesabaran dan kepelbagaian dalam lakonan saya. Saya mahu karakter Mak Leha itu nampak stabil dan lebih baik agar penonton yang mengikuti drama ini dapat melihat kelainan.

"Bagaimanapun ia bukan sesuatu yang mudah kerana karakter itu memerlukan energi yang luar biasa terutamanya apabila melibatkan babak-babak tegang dan berat. Apatah lagi sebahagian penggambarannya berlangsung dalam bulan puasa.

"Namun saya sentiasa pastikan diri bersedia ketika di set penggambaran dan jayakan watak dengan sebaiknya. Saya tahu ramai penonton tidak sabar menantikan kami semua beraksi dalam musim baharu ini,” katanya.

Anugerah

Menerusi drama terbabit, Liza yang mula bergiat aktif dalam industri seni pada era 1980-an itu telah dinobatkan sebagai pemenang Watak Antagonis Popular pada Anugerah Bintang Popular Ke-34 dan Pelakon Antagonis Terbaik (Anugerah Drama Sangat 2021).

Ditanya adalah dia mengharapkan perkara sama untuk 7 Hari Mencintaiku 3, tegas Liza, apa yang lebih penting bagi dirinya adalah untuk menyempurnakan lakonannya.

"Saya hanya lakukan yang terbaik untuk watak itu dan tak pernah sangka apatah lagi target untuk menang anugerah.

"Bagi saya, reward itu sebenarnya adalah untuk seluruh team yang terlibat kerana jika mereka tak ‘memberi’, saya juga tak dapat rasa watak ini.

"Jadi saya tak mengharap apa-apa kemenangan secara peribadi, tetapi lebih kepada harapan agar musim baharu diterima dengan lebih baik dan penonton menghargai setiap orang yang terlibat dalam drama ini,” katanya.