PROGRAM #samasamakenyang – Infaq Ramadan Dapur Pasak dan pelakon Amaris diteruskan dengan menyantuni 10 rumah asnaf serta berbuka puasa dan 100 anak yatim dan tahfiz dari Maahad Tahfiz Wa Ta’alimul Quran Arrahimiyah serta anak-anak yatim dari Kediaman Cahaya Ain di Taiping, Perak, baru-baru ini.
Amaris, 37, atau nama sebenarnya Amran Ismail berkata, pihaknya mengalu-alukan bantuan dari segi kewangan bagi membolehkan dia bersama badan bukan kerajaan (NGO) Dapur Pasak merealisasikan misi mereka sepanjang Ramadan ini.
"10 rumah asnaf ini memang yang betul-betul susah dan memerlukan. Ada juga yang rumah mereka elok tapi mungkin kerana kesempitan lain seperti sakit, tak boleh berjalan, tak boleh bercakap turut kami bantu juga.
"Kami memberi sumbangan berbentuk tunai dan barangan keperluan asas. Harapnya selepas ini ALLAH beri rezeki yang luar biasa.
"Saya sentiasa doa ada keajaiban yang ALLAH bagi supaya dapat bantu lagi ramai orang yang memerlukan.
"Jadi, saya mengajak dan mengalu-alukan orang ramai jika mahu berinfak dalam bulan ini boleh terus salurkan sumbangan ke akaun CIMB- 8604587212 atas nama Pertubuhan Kebajikan Dapur Pasak Kuala Lumpur.
"Insya-ALLAH, kami menyasarkan untuk penuhkan peti ais sebanyak 2000 rumah. Itu mis kami sepanjang Ramadan ini,” katanya.
[caption id="attachment_78859" width="800"] Program #samasamakenyang ini turut disertai penyanyi, Mas Idayu.[/caption]
Tambah Amaris, dia bersyukur apabila sasaran memenuhkan peti ais 100 rumah pada setiap hari Ramadan dapat dilaksanakan.
"Kami rancang untuk penuhkan peti ais 100 rumah. Tetapi dengan izin Allah kami dapat penuhkan lebih kurang 200 peti rumah pada hari pertama, kedua dan ketiga Ramadan.
"Kita akan teruskan lagi program infak ini dan bukan hanya dalam bulan Ramadan saja. Cuma dalam bulan Ramadan ini pada saya ia sangat luar biasa,” jelasnya.
Mas Idayu turut serta
Sementara itu, penyanyi dangdut terkenal Mas Idayu yang menyertai program itu sepanjang bulan ini turut berharap orang ramai dapat menghulurkan sumbangan bagi menjayakan lagi misi #samasamakenyang – Infaq Ramadan Dapur Pasak dan Amaris.
"Saya gembira sebab pertama kali turut serta. Cuma saya tak dapat buat banyak sebab ini pertama kali dan kadang-kadang saya tak tahu apa yang mereka perlu. Kita harap sangat-sangat ada bantuan daripada semua pihak yang prihatin.
[caption id="attachment_78858" width="800"] Mas Idayu meluahkan rasa gembira dan teruja kerana dapat menyertai program seumpama ini pada bulan Ramadan.[/caption]
"Selepas ini kita akan ke pusat tahfiz di sekitar Kuala Lumpur. Kita ada lebih kurang 30 tahfiz di KL dan kita akan menyantuni mereka serta berbuka puasa jika diizinkan.
"Jadi kita sedang rancang macam mana nak berbuka puasa dengan mereka, bawa makan sedap-sedap, pergi jalan-jalan dan bawa beli baju raya. Itu perancangan kita,” ujarnya.