AYAM percik antara juadah berbuka puasa yang cukup digemari ramai.
Di Port Dickson, Negeri Sembilan, ayam percik yang diusahakan Nurul Ismaliza Abdul Malik di Bazar Ramadan Teluk Kemang memang menjadi buruan ramai hingga terjual hampir 250 batang sehari.
Menurut peniaga berusia 41 tahun itu, resipi warisan keluarga tiga generasi menjadikan makanannya laris setiap hari.
"Cara pembuatannya cukup mudah. Biasanya saya akan perap ayam dengan rempah istimewa selama lebih kurang 20 minit dan dibakar garing.
"Kemudian dicelup dengan kuah percik yang likat, pedas, manis dan berempah cukup rasa,” kata anak jati Port Dickson tersebut.
Berbanding di bazar Ramadan lain, harga jualan ayam perciknya juga jauh lebih murah iaitu hanya RM4 sahaja.
"Memang saya sudah niat untuk mengekalkan kadar lama walaupun ramai peniaga berdepan kenaikan harga ayam pada tahun ini. Saya cuma memikirkan bahawa rezeki yang ALLAH bagi, kita kongsi bersama.
"Sambil berniaga, bolehlah saya bersedekah dengan cara ini," kata ibu kepada tiga cahaya mata itu yang sudah berniaga pelbagai jenis makanan sejak lebih 20 tahun lalu.
Baca juga Resipi ikan percik terbaik! Lazat dan menyelerakan #hariharikenamasak
Selain ayam percik menjadi rebutan, sosej, bebola ayam, tongkeng, hempedal, hati dan paru lembuyang percik turut dijual pada harga RM1 sahaja.
"Sambutan yang diterima setakat ini cukup menggalakkan apabila kesemua makanan habis terjual lebih awal.
"Saya pun tak sangka ayam percik tidak cukup untuk menampung permintaan pelanggan, mungkin selepas ini akan menambah stok terutamanya pada hujung minggu," ujarnya penuh ceria.
Nurul Ayam Percik
- Alamat: Bazar Ramadan Teluk Kemang (hadapan Pasaraya Mesra), Port Dickson, Negeri Sembilan
- Waktu operasi: 4 petang hingga 7 malam
- Menu signatur: Ayam percik dan tongkeng ayam
- Harga: Bermula RM1 hingga RM4
- Facebook: Nurul Ismaliza
Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus
Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI