SUNGGUHPUN sambutan Aidilfitri pada tahun ini dapat kembali diraikan meriah sebagaimana sebelum pandemik Covid-19, penyanyi Aizat Amdan mengakui tetap menyambutnya secara sederhana.
Aizat, 33, yang menyambut 1 Syawal bersama keluarganya di Kuala Lumpur berkata, persiapan yang dilakukan hanyalah biasa-biasa sahaja kerana tumpuan lebih kepada rasa teruja untuk kembali bertemu saudara-mara terdekat.
"Ramadan dan raya tahun ini sangat istimewa kerana kita semua dapat kembali menjalani rutin yang biasa dilakukan pada tahun-tahun sebelum pandemik.
"Dapat tarawih di masjid, dapat pergi bazar Ramadan dan paling penting raya nanti semua orang dah dapat beraya di kampung halaman masing-masing tanpa sekatan.
"Saya sendiri biarpun hanya beraya di Kuala Lumpur, tetapi tetap rasa tak sabar untuk beraya dan menziarahi saudara-mara yang kebanyakkan memang tinggal di sekitar Kuala Lumpur. Selain itu, semestinya mahu menziarahi pusara arwah bapa pada 1 Syawal nanti,” katanya.
Dalam pada itu, penyanyi Hanya Kau Yang Mampu itu juga berkongsi perkhabaran gembira bakal menamatkan zaman bujangnya bersama gadis pilihan, Elyssa Alia, 34, pada tahun ini.
"Insya-ALLAH jika semuanya berjalan lancar sebagaimana dirancang, raya tahun ini adalah yang terakhir saya beraya sebagai orang bujang. Harap semua dapat doakan kami.
"Jadi raya tahun ini memang saya akan fokus kepada keluarga dan cipta lebih banyak kenangan bersama mereka.
"Teringat raya tahun lalu, kami buat photoshoot sendiri untuk kenangan raya. Selalunya saya buat bersama majalah atau surat khabar, tetapi disebabkan pandemik buat sendiri untuk keluarga pula,” akhirinya.