APLIKASI MySejahtera diperkenalkan sejak Mac 2020. Ia dibangunkan kerajaan untuk membantu dalam menguruskan wabak Covid-19 di negara kita.
Dengan aplikasi itu, pengguna boleh melakukan penilaian kendiri kesihatan ke atas diri mereka dan ahli keluarga mereka, memantau kemajuan kesihatan mereka sepanjang wabak Covid-19.
Selain itu, ia juga merupakan saluran rasmi yang menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan oleh Kerajaan Malaysia yang menawarkan pendaftaran vaksinasi, pelantikan dan pengeluaran sijil digital pelalian wabak itu.
Bagaimanapun, hari ini Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) pada sidang media mengumumkan imbasan kod QR MySejahtera tidak lagi diwajibkan apabila seseorang memasuki premis atau tempat-tempat awam.
Berikut tujuh fakta berkaitan;
1. Daftar masuk MySejahtera tidak lagi diperlukan untuk memasuki premis atau kawasan awam mulai 1 Mei 2022.
2. Bagaimanapun, orang ramai diminta supaya mengaktifkan fungsi MySJ Trace untuk tujuan pengesanan kontak.
3. Individu dengan status berisiko tinggi pada aplikasi MySejahtera iaitu kes positif Covid-19 dan individu yang diberi arahan Perintah Pengawasan dan Pemantauan (HSO) tidak dibenarkan masuk ke premis.
4. Pihak pengurusan premis hendaklah menyemak status risiko individu dalam aplikasi MySejahtera yang akan memasuki premisnya.
6. Kemasukan ke premis dibenarkan tanpa mengira status vaksinasi.
7. Pemilik premis dikehendaki untuk menyemak status risiko pengunjung dalam MySejahtera.
Dalam pada itu, hasil tinjauan di media sosial, MySejahtera menjadi trending nombor satu di Twitter ketika ini.
Jadi, walaupun sudah tidak diwajibkan membuat daftar masuk, diharap semua dapat jujur pada diri sendiri demi menghentikan penularan wabak maut itu.
Jangan lupa untuk kekal #kitajagakita.