KERANCAKAN industri automotif sama rentaknya dengan arena fesyen yang sentiasa berubah. Namun, matlamat yang direncanakan oleh jurutera pembuatan jentera, mahupun pereka fesyen tetap sama iaitu demi memenuhi selera pelanggan yang tinggi dan berbeza cita rasa.
Baru-baru ini, knowinsiders.com telah menyenaraikan beberapa kenderaan utiliti sukan (SUV) yang bakal menggegarkan tahun 2022.
Selepas membaca satu persatu rumusan yang dibuat oleh laman web berkenaan, SinarPlus mendapati, rata-rata jentera pilihan dikuasakan dengan tenaga elektrik yang menjadi pilihan pengguna masa kini.
Sesuai dengan harga, spesifikasi, kapasiti dan kemampuan, setiap pengeluar menyediakan pek bateri yang lebih tahan lama dengan jarak pemanduan hingga mencecah 500 kilometer (km).
Pada masa sama, pemanduan autonomi dengan sistem kecerdasan buatan (AI) yang terus dipertingkatkan antara 'karakter' paling signifikan diterapkan pada setiap jentera.
Tidak seperti dua tahun sebelum ini yang muram akibat Covid-19, pada tahun 2022, penjualan kenderaan turut diramal mencatatkan peningkatan.
Berikut lima jenama terkemuka yang dijangka bakal mencuri tumpuan pengguna di seluruh dunia termasuk di Malaysia.
1. LEXUS EV SUV
Tahun: 2022
Keluaran: Jepun
Harga: Bermula RM256,239.62
- Jenama premium keluaran negara Matahari Terbit ini bakal membuatkan penggemarnya ternanti-nanti kemunculan jentera elektrik pertama yang diklasifikasikan lebih dinamik dan berkuasa tinggi.
- Prototaip varian SUV dengan 201 kuasa kuda dan mampu mencecah julat jarak 305 hingga 315 kilometer (km) tersebut sebenarnya sudah diperkenalkan sejak tahun 2020 lagi.
- Difahamkan reaksi awal yang diterima amat memberangsangkan.
- Kemajuan teknologi dengan ciri Lexus Encore Platinum mampu menandingi kehebatan beberapa pesaing lain seperti Volvo XC40 Recharge Full Electric, Mercedes-Benz EQA, Hyundai Ioniq 5 dan Tesla Model Y tidak lama lagi.
- Apa yang pasti, kini LEXUS EV SUV sedang diperkemaskan untuk pasaran benua Eropah.
2. CADILLAC LYRIQ
Tahun: 2022
Keluaran: Amerika Syarikat
Harga: Bermula RM254,370
- Jenama mewah keluaran General Motors akhirnya memperkenalkan varian berkuasa elektrik yang pertama mereka pada tahun ini.
- Kemampuan fitur baharu tersebut bukan calang-calang. Ia menampilkan ciri reka bentuk kejuruteraan bateri ultium pada skala 100 kilowat per jam (kWj) dengan pengecasan lebih pantas.
- Kehandalan teknologi itu dikatakan boleh mencapai jarak pemanduan hingga 482.8km untuk sekali cas sahaja.
- Cadillac baru-baru ini telah berkongsikan beberapa foto yang membuatkan orang ramai tidak sabar menanti kemunculan jentera hebat berkenaan.
Baca juga Lagi canggih dan jimat minyak, kenali kelebihan 5 jentera premium paling ringan di dunia
3. MERCEDES-BENZ EQA
Tahun: 2022
Keluaran: Jerman
Harga: Bermula RM241,651.50
- Pengeluar automotif terkemuka Jerman ini tidak ketinggalan untuk mempamerkan model versi SUV baharu yang dikuasakan dengan tenaga elektrik.
- Seperti yang diperkatakan ramai pihak, reka bentuk asal daripada kelas GLA sub kompak dikatakan lebih keterhadapan dengan kapasiti bateri 66.5kWh yang menjanjikan jarak hingga 423.3km hanya dengan satu cas penuh.
- Selain menawarkan ciri paparan skrin sesentuh, arahan suara dan kawalan stereng, sistem keselamatan moden yang dipertingkatkan pasti membuatkan penggemar jenama ini teruja.
4. KIA EV6 SERBA BAHARU
Tahun: 2022
Keluaran: Korea Selatan
Harga: Bermula RM238,683.85
- Kejayaan Hyundai Ioniq 5 EV membuatkan jenama Korea Selatan ini terus mara ke hadapan dengan memperkenalkan varian crossover EV6 terbaharu.
- Jentera hibrid yang dipacukan kuasa elektrik sepenuhnya dilengkapi dengan pek bateri berkapasiti 77kWj dan mampu mencecah jarak pemanduan sejauh 511.7km.
- Boleh diklasifikasikan antara kenderaan elektrik terbaik di dunia, KIA EV6 bakal menembusi pasaran Amerika Syarikat pada suku pertama tahun ini.
5. VOLKSWAGEN ID SPACE VIZZION
Tahun: 2022
Keluaran: Jerman
Harga: Bermula RM233,172.50
- Agak mengujakan apabila Volkswagen turut serta menonjolkan keluaran terbaharu, ID Space Vizzion yang memiliki kelebihan kabin lebih luas dan ditambah ciri kecekapan kenderaan elektrik modular yang mengagumkan.
- Bukan sahaja dikenali dengan prestasi pemanduan cekap, motor elektrik dengan 275 kuasa kuda itu mampu membawa pengguna melewati perjalanan sejauh 482.8km.
- Selain menawarkan sistem 4Motion, fitur baharu ini mampu mencapai pecutan mengagumkan iaitu 100km/jam dalam tempoh 5.4 saat. Memang pantas!
Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus
Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI