SEMUA umat Islam kini masih dalam suasana kemeriahan meraikan Aidilfitri.
Umumnya hari raya adalah hari yang ditunggu-tunggu ramai untuk menjamah juadah yang lazat.
Namun bagi ibu mengandung, mereka masih perlu berhati-hati dan menjaga pemakanan agar tidak memberi kesan kurang baik kepada bayi dalam kandungan.
Pemakanan yang sihat adalah sangat penting bagi perkembangan si kecil.
Seperti yang disyorkan Pengamal Perubatan Am, Dr Zubaidi Ahmad, berikut tip pemakanan sihat untuk ibu hamil;
1. Daging separuh masak
Pastikan daging yang dimakan masak sepenuhnya. Ia penting kerana takut terjadinya keracunan makanan. Daging yang kurang masak berisiko tinggi untuk mengundang pencemaran bakteria seperti salmonella, koliform dan toksoplasmosis.
2. Teh tarik, kopi, teh berkafein
Bila tengok teh tarik atau teh ais tu pasti rasa teringin untuk minum tetapi janganlah minum berlebihan. Pakar menasihatkan untuk mengehadkan pengambilan kafein kira-kira hanya satu cawan sehari (lebih kurang 200mg atau cawan 11auns).
Ini kerana kafein boleh melalui plasenta dan memasuki cecair amnion dan ke aliran darah bayi walaupun badan boleh menyingkirkan kafein tersebut tetapi bagi bayi yang sedang membesar ia akan mengambil masa yang lebih lama untuk memprosesnya.
3. Kuih raya, biskut raya
Bagi ibu yang mengalami kencing manis semasa hamil, mereka perlulah menahan diri daripada kuih raya dan seangkatan dengannya. Walaupun saiz biskut tidaklah besar tetapi kandungan gula dan lemak tepu di dalamnya sering menyebabkan kenaikan berat badan, masalah jantung dan juga kencing manis. Jadi berpada-padalah ya!
4. Minuman berkarbonat
Apabila menziarah sanak-saudara adakalanya mereka menghidangkan kita dengan air berkarbonat tetapi sangat disarankan untuk para ibu mengandung mengelak atau mengurangkan pengambilan.
Ini kerana minuman berkarbonat mengandungi gula, pewarna dan perasa tambahan yang kurang baik untuk kesihatan. Malah terdapat juga kafein di dalamnya dan ia boleh menyebabkan tekanan darah tinggi dan kelahiran pramatang.
Baca juga Instagram dan lawati portal SinarPlus
Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI