MINUM air yang mencukupi, bukan hanya dapat mencegah dehidrasi tetapi ia juga dapat mencegah serangan strok.
Tambah-tambah lagi dalam bulan puasa ini, sememangnya kita disarankan untuk mengambil air kosong yang cukup.
Kata Dr Zubaidi Ahmad, dengan meminum sekurang-kurangnya dua liter sehari air kosong, ia dapat mengimbangkan mineral dan cecair dalam tubuh.
Ia dapat memberi kesan kepada kelikatan darah dalam tubuh. Darah tidak menjadi terlalu pekat atau terlalu cair.
Bagi mereka yang mempunyai risiko mendapat strok yang tinggi seperti mereka yang mempunyai tahap kolestrol jahat (LDL) yang tinggi, masalah tekanan darah tinggi dan diabetes yang tidak terkawal, dinasihatkan agar meminum air secukupnya.
Waktu yang terbaik untuk meminum air kosong ialah sebelum tidur (sebagai persediaan untuk 'tidak makan dan minum' selama enam jam sepanjang tidur) dan waktu sebaik saja bangun tidur.
Selain minum air kosong, meminum air buah-buahan tanpa dibuang seratnya juga dapat membantu seseorang mencapai keseimbangan air dan mineral dalam tubuhnya kerana selain air dan mineral, antioksida yang banyak dalam buah-buahan dapat membantu mencegah serangan strok.
Selain itu, terdapat beberapa cara bagi mencegah serangan strok. Antaranya:
1. Melakukan senaman ringan
Salah satu cara terbaik untuk mencegah serangan strok, terutamanya mereka yang berumur 45 tahun ke atas dan mempunyai penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi dan diabetes adalah dengan cara melakukan senaman ringan seperti berjalan kaki dan melakukan senaman regangan.
Lakukan sekurang-kuranganya 30 minit setiap hari bagi melancarkan perjalanan darah, memperkuatkan otot-otot jantung dan mencegah pembentukan sumbatan dalam saluran darah.
2. Berhenti merokok
Semua orang tahu bahawa merokok bukanlah suatu amalan yang sihat kerana ia salah faktor yang menyebabkan masalah kardiovaskular termasuk serangan strok.
Nikotin dalam asap rokok menyebabkan sumbatan dalam saluran darah dan menyebabkan darah menjadi lebih pekat. Ini menyumbangkan kepada serangan strok.
3. Tidak minum alkohol
Alkohol juga mempengaruhi peredaran darah, kepekatan darah dan menyebabkan saluran darah terumbat. Ia meningkatkan risiko serangan strok.
4. Menjaga pemakanan
Bagi yang tidak mengamalkan pemakanan yang sihat, risiko untuk mendapat serangan strok meningkat.
Sebagai contoh, jika kita sering mengambil makanan yang tinggi karbohidrat, mengambil makanan yang mempunyai tahap natrium yang tinggi dan tidak mengambil serat yang mencukupi.
Juga menggalakkan pengambilan 'minyak sihat' seperti minyak zaitun bagi menghentikan proses keradangan dalam tubuh. Serangan strok juga mudah berlaku pada mereka yang mempunyai berat badan yang berlebihan.
5. Tidur malam yang cukup
Kurang tidur boleh menyebabkan masalah keradangan yang yang menyebabkan darah menjadi lebih pekat dan saluran darah tersumbat, seterusnya meningkatkan serangan strok.
Tidurlah antara 6 hingga 8 jam sehari. Jika tidak mencukupi di waktu malam, tidurlah sebentar di siang hari sebelum zohor.