DALAM artikel Kisah Masyarakat yang merupakan salah satu kolum popular menerusi sisipan SinarPlus, penyakit sawan menjadi masalah yang membelenggu ramai pesakit.
Sebagai contoh, kisah duka dua beradik, Nor Rahil Raihan, 3, dan Nor Iman Shah, 7, yang kerap diserang sawan lantaran menderita sakit lebihan air di dalam kepala atau hydrocephalus.
Menurut ibunya, Nor Iman pernah mengalami situasi mencemaskan itu lebih 20 kali dalam sehari.
Bayi yang diberi nama indah, Nur Iman Fitriyah Abdullah dari Negeri Sembilan pula dilaporkan hampir 20 kali mengalami kekejangan akibat serangan sawan dalam tempoh yang sama dengan Nor Iman.
Begitu juga dengan situasi yang berlaku ke atas adik Nurul Syahera Edmal, 15, yang sedang menanggung sakit usus dan Systemic Lupus Erythematosus.
Cerita-cerita pilu itu kemudian penulis lanjutkan ke ruangan Medik bagi mengupas lebih terperinci mengenai penyakit sawan.
Pakar Perubatan Dalaman dan Neurologi, Dr Hana Maizuliana Solehan dan Pakar Perubatan Dalaman, Dr Tan Wei Ming, masing-masing dari Klinik Pakar Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan membantu memberi pencerahan.
Ujar mereka, sawan berlaku adalah akibat lebihan arus elektrik yang mengalir di dalam sel-sel otak.
Terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan seseorang mengalami krisis kesihatan itu.
Antaranya adalah disebabkan epilepsi yang merupakan penyakit yang menjejaskan saraf pusat.
"Pesakit yang mempunyai epilepsi boleh mengalami sawan pada bila-bila masa tanpa rangsangan atau penyebab yang jelas. Epilepsi boleh terjadi kepada mereka yang mengalami kecacatan otak, strok atau pun yang mengalami masalah genetik," ujar mereka.
Selain epilepsi, terdapat beberapa masalah kesihatan akut yang menjadi penyebab sawan.
Selain jangkitan kuman atau radang pada otak, seseorang yang menghidap hipoglisemia (kurang aras gula dalam darah), hiponatremia (kurang aras garam sodium dalam darah) dan hipernatremia (lebihan aras garam sodium dalam darah) juga berpotensi mendapat serangan.
Ubat-ubatan atau dadah tertentu dan ketumbuhan dalam otak juga boleh menjadi punca.
Dalam pada itu, menurut Healthline, demam panas, tekanan darah yang sangat tinggi, tercekik termasuk genetik sangat mempengaruhi.
"Namun, dalam sesetengah keadaan terutamanya kanak-kanak kecil, punca sawan mungkin bersifat tidak diketahui (unknown)," kongsi laman web perubatan terkemuka itu.
Kekejangan
Dr Hana Maizuliana dan Dr Wei Ming turut memperincikan bagaimana untuk mengetahui seseorang terkena sawan?
Tanda-tanda yang jelas adalah tubuh badan pesakit akan kejang dan lazimnya berlaku pada anggota kaki dan tangan.
Mereka juga tidak sedarkan diri, terdiam seketika atau mata akan berhenti berkedip, pengsan dan sebagainya.
"Terdapat juga di antara pesakit yang mengalami gejala sawan dalam keadaan sedar iaitu mereka tahu diri sedang mengalami masalah pergerakan tangan, kaki atau mulut, namun tidak mampu menghentikan segala pergerakan tersebut," jelas dua pensyarah perubatan itu.
Healthline dalam penulisannya menambah, simptom-simptom lazim lain adalah seseorang akan mengetap gigi, menggigit lidah, mengeluarkan bunyi yang luar biasa, hilang kawalan fungsi pundi kencing termasuk mengalami perubahan mood yang mendadak.
Baca juga Pesakit diabetes kena dapatkan nasihat doktor sebelum berpuasa, elak risiko koma, sawan dan pengsan
Sawan kata sumber itu, boleh terjadi ke atas semua peringkat umur, kaum dan latar belakang.
Dalam pada itu, beritahu Dr Hana Maizuliana dan Dr Wei Ming, sekiranya seseorang terkena sawan buat kali pertama, tanpa berlengah, mereka perlu dibawa berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan ujian lanjut.
[caption id="attachment_81365" width="800"] DR HANA MAIZULIANA.[/caption]
Antara langkah susulan yang akan dilakukan pihak klinik atau hospital adalah seperti berikut:
i) Doktor akan mengambil riwayat kejadian sawan.
ii) Latar belakang kesihatan pesakit dengan terperinci akan diminta daripada waris.
iii) Melakukan pemeriksaan fizikal dan beberapa ujian darah.
iv) Imbasan otak iaitu Computerized Tomography Scan atau Magnetic Resonance Imaging.
v) Ujian electroensefalogram mungkin akan dilakukan sekiranya perlu. Ujian tersebut bertujuan untuk melihat gelombang otak yang tidak normal yang berkemungkinan terjadi sehingga mengakibatkan sawan.
Bagi individu yang sudah beberapa kali mengalaminya seperti pesakit yang disahkan menghidap epilepsi, pasti akan tertanya-tanya adakah terdapat ubat yang dapat menyembuhkan penyakit itu?
Menjelaskan situasi tersebut, kedua-dua pakar itu berkata, di pasaran memang terdapat pelbagai ubat sawan yang dapat membantu mengawal atau mengurangkan kekerapan terjadinya situasi yang tidak diingini itu.
Bagaimanapun, ubat-ubatan berkenaan tidak dapat menyembuhkan penyakit epilepsi.
[caption id="attachment_81366" width="800"] DR WEI MING.[/caption]
"Pun demikian, sindrom epilepsi dalam kalangan pesakit kanak-kanak berpotensi untuk baik (sembuh) apabila golongan tersebut membesar," kata kedua-dua pakar itu sambil menambah, rawatan pembedahan juga boleh dilakukan ke atas segelintir pesakit epilepsi yang bersesuaian bagi membantu memulih atau mengurangkan kekerapan terkena sawan.
Rawatan VNS
Menyentuh mengenai pembedahan, SinarPlus merujuk artikel yang disiarkan oleh Johns Hopkins Medicine.
Memetik huraian penyelidik dari Amerika Syarikat itu, prosedur mungkin dilakukan untuk membuang bahagian otak ‘tempat‘ sawan berlaku atau pembedahan dilaksanakan bagi membantu menghentikan penyebaran arus elektrik yang lebih buruk melalui otak.
"Ia (pembedahan) mungkin menjadi pilihan jika sawan seseorang sukar dikawal dan sentiasa bermula pada satu bahagian otak yang tidak menjejaskan pertuturan, ingatan atau penglihatan," kata mereka.
Ujar penulisan itu lagi, pembedahan untuk sawan epilepsi adalah sangat kompleks dan lazimnya akan dilakukan oleh pasukan pembedahan yang khusus.
"Pesakit mungkin terjaga semasa pembedahan. Otak tidak berasa sakit. Jika pesakit terjaga dan dapat mengikut arahan, pakar bedah akan memeriksa kawasan otak semasa prosedur berlangsung. Pun demikian, kaedah ini bukan pilihan untuk semua orang yang mengalami sawan," jelas Johns Hopkins Medicine.
Dalam rujukan yang sama menyebut, selain pembedahan, jikalau ubat tidak memberi kesan kepada penyakit sawan, salah satu yang diusahakan adalah rawatan Rangsangan Saraf Vagus (VNS).
Saraf vagus antara lain membawa maklumat fisiologi badan ke otak seperti menelan, kepantasan degupan dan kadar pernafasan. Rawatan tersebut berperanan menghantar nadi kecil tenaga ke otak dari salah satu saraf vagus
"VNS dilakukan dengan cara meletakkan bateri kecil ke dalam dinding dada melalui pembedahan. Wayar kecil kemudiannya dipasang pada bateri dan diletakkan di bawah kulit dan di sekeliling salah satu saraf vagus.
Baca juga MIS-C boleh sebabkan kegagalan jantung, sawan dan gangguan neurologi lain kepada kanak-kanak
"Bateri kemudiannya diprogramkan untuk menghantar impuls tenaga setiap beberapa minit ke otak. Apabila pesakit dapat rasakan sawan mereka datang, mereka boleh mengaktifkan impuls dengan memegang magnet kecil di atas bateri.
"Dalam kebanyakan kes, pendekatan itu akan membantu menghentikan sawan. Namun demikian, VNS boleh mempunyai kesan sampingan seperti suara serak, sakit tekak atau perubahan pada suara," terang mereka.
Seperti kata Hello Doktor, sawan boleh dikawal dengan bantuan doktor. Selain pembedahan otak dan VNS, amalan pemakanan ketogenik iaitu dengan mengamalkan diet tinggi lemak boleh mengawal simptom sawan.
"Banyak kajian berkaitan dengan rawatan penyakit epilepsi sedang dibuat oleh ahli akademik di seluruh dunia. Tidak mustahil pada suatu hari nanti, kaedah implan cip di dalam otak bagi mengawal ‘tembakan‘ neuron boleh dijalankan untuk mengurangkan simptom sawan," kata Hello Doktor.
Ingat, orang yang mengalami sawan bukan dirasuk hantu. Tolong singkirkan jauh-jauh persepsi jahat itu.
Sawan biasa berlaku dalam kalangan individu yang mengalami Autism Spectrum Disorder
MEMILIKI anak autisme merupakan cabaran terbesar buat Rafidah Ahmad (bukan nama sebenar).
Status mild autisme anak keduanya, Zetty (nama samaran) yang kini berusia lima tahun enam bulan, menuntut kesabaran besar untuk beliau sekeluarga menjaga anak syurga itu.
Sebenarnya kata Rafidah, dirinya tidak menyangka Zetty berada dalam kondisi seperti itu memandangkan pada awal kelahiran, semuanya baik-baik sahaja.
"Namun, ketika berusia tiga tahun, saya nampak sikapnya yang pelik. Tak seperti anak pertama saya, dia tak memberi respons ketika nama dia dipanggil dan sangat pasif.
"Saya bawa Zetty jumpa pakar pediatrik dan berdasarkan penilaian, dia disahkan autisme selepas beberapa ujian dijalankan," katanya.
Kerisauan hati wanita berusia 42 tahun itu berterusan apabila Zetty diserang sawan buat pertama kalinya tiga bulan lalu.
"Ketika itu, dia sedang ‘khusyuk‘ main lego, tiba-tiba kaki dan tangannya kejang dan mulut berbuih. Saya bawanya terus ke klinik yang kebetulan memang dekat dengan rumah dan keadaan menjadi terkawal," katanya.
Baca juga Minyak panas tak boleh disapu sembarangan pada bayi. Selain sawan, ini impak buruk lain
Pun demikian, episod sawan itu berulang baru-baru ini sehingga memaksa jurutera itu merujuk pakar neorologi di sebuah hospital swasta.
"Terlalu awal untuk saya kongsikan apa prosedur yang perlu kami lakukan untuk si kecil ini," katanya.
Dalam pada itu, merujuk laman web https://www.autism.org/, meskipun korelasi sawan dan autisme wujud, bagaimana ia mempengaruhi di antara satu sama lain masih belum dapat ditentukan dengan jelas.
Sementara dalam penulisan The Autism Community in Action (TACA), Amerika Syarikat pula menyebut, sawan agak biasa berlaku dalam kalangan individu yang mengalami Autism Spectrum Disorder (ASD).
Beberapa subkumpulan tertentu dalam autisme iaitu mereka yang mempunyai kecacatan intelek komorbid, keabnormalan genetik atau kecacatan otak mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat sawan dan epilepsi, kata TACA.
Baca juga Bayi boleh terkena sawan tarik, kembung jika minum air putih? Ibu bapa sila ambil perhatian
"Individu yang menghidap epilepsi terutamanya mereka yang mengalami sawan yang kerap atau berpanjangan, harus mempunyai ubat kecemasan yang sedia ada untuk menghentikan sebarang sawan umum yang berlaku selama lima minit atau lebih.
"Ubat kecemasan yang paling biasa ialah rectal diazepam rektum yang boleh menyebabkan rasa mengantuk. Dos yang tinggi (diazepam) boleh menyebabkan pernafasan menjadi perlahan dan tidak berkesan.
"Oleh itu, penjaga harus mendapat penilaian daripada pakar sebelum menggunakannya," kata TACA sambil menambah, terdapat juga peranti semburan hidung yang baharu dan mudah digunakan.
Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus
Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI